SERANGAN jantung boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda.
SERANGAN jantung boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

[email protected].

SEJAK kebelakangan ini, ada banyak kes kematian mengejut disebabkan serangan jantung dilaporkan media di seluruh negara yang membabitkan individu pelbagai latar belakang tidak mengira usia.

Serangan jantung kini bukan lagi penyakit golongan berumur kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda.

Data Pangkata Data Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD) menunjukkan bahawa purata umur pesakit serangan jantung di Malaysia adalah 57 tahun iaitu lebih muda dari umur pesakit di negara maju lain.

Lebih membimbangkan, kira-kira 24 peratus pesakit serangan jantung terdiri daripada mereka yang berumur kurang dari 50 tahun.

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Zul Hilmi Yaakob berkata, serangan jantung berlaku apabila salur darah jantung (salur darah koronari) tersumbat dan berlaku secara tiba-tiba.

Ia berlaku apabila lapisan lemak atau aterosklerosis plak di lapisan dalam salur darah koronari secara tiba-tiba pecah.

"Keadaan itu mengakibatkan pembentukkan darah beku yang menyumbat pengaliran darah seterusnya menyebabkan bekalan oksigen kepada otot-otot jantung terhenti.

"Antara risiko yang boleh menyebabkan serangan jantung adalah faktor yang menyumbang kepada pembentukkan aterosklerosis plak berkenaan antaranya merokok, menghidap kencing manis, hipertensi (darah tinggi), tinggi lemak dan kegemukan.

"Dalam kalangan orang muda, kebanyakan pesakit jantung adalah lelaki (kira-kira 80

peratus) dan faktor penyebab utama adalah merokok," katanya.

Menurut Dr Zul Hilmi, antara simptom yang biasanya dialami pesakit serangan jantung adalah seperti sakit dada (rasa berat, ketat atau tertekan di bahagian tengah dada), sukar bernafas, lenguh tangan kiri, berpeluh, sakit ulu hati dan sakit tengkuk seperti rasa tercekik.

SALUR darah jantung (salur darah koronari) yang tersumbat dan berlaku secara tiba-tiba menyebabkan serangan jantung.
SALUR darah jantung (salur darah koronari) yang tersumbat dan berlaku secara tiba-tiba menyebabkan serangan jantung.

Katanya, pada peringkat awal, penyempitan salur darah menyebabkan sakit dada dan susah bernafas apabila bersenam atau bekerja.

"Kebanyakan serangan jantung mempunyai simptom seperti yang dinyatakan.

"Namun, pesakit yang ada kencing manis boleh terkena serangan jantung secara senyap atau tanpa sebarang simptom," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zul Hilmi berkata, keturunan atau genetik juga antara salah satu faktor (tidak boleh diubah) yang meninggikan lagi risiko penyakit jantung.

PESAKIT jantung adalah golongan berisiko tinggi yang perlu mengambil vaksin.
PESAKIT jantung adalah golongan berisiko tinggi yang perlu mengambil vaksin.

Ia terutama jika membabitkan ibu bapa atau adik-beradik yang terkena serangan jantung di usia muda.

Kata beliau, jika sudah mempunyai simptom, seseorang itu perlu segera berjumpa doktor atau pakar jantung.

Katanya, ujian awal yang dijalankan di hospital ialah Eletrocardiogram (ECG) dan ujian darah manakala terdapat juga ujian lain untuk pesakit yang belum sampai peringkat serangan jantung atau untuk pengesanan awal penyakit koronari seperti ujian tekanan senaman, Stress Echocardiogram dan tomografi berkomputer (CT) koronari.

"Jika terbukti serangan jantung yang major pesakit akan dibawa terus ke bilik 'cardiac catheterization' untuk menjalani prosedur koronari angiogram dan angioplasti.

MEROKOK adalah antara risiko yang boleh menyebabkan serangan jantung.
MEROKOK adalah antara risiko yang boleh menyebabkan serangan jantung.

"Dalam prosedur ini, salur darah yang tersumbat dikenal pasti dan dibuka menggunakan belon dan sten," katanya.

Menurut Dr Zul Hilmi, selain dari prosedur itu pesakit juga perlu mengambil ubat-ubatan seumur hidup mereka, namun usah dikhuatiri keselamatan ubat berkenaan.

"Faktor risiko lain seperti kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol juga perlu dikawal," katanya.

Dr Zul Hilmi berkata, kebanyakan pesakit serangan jantung yang dirawat awal dapat kembali hidup normal selepas dua hingga empat minggu.

Kata Dr Zul, ada program rehabilitasi yang boleh dijalankan terutama untuk pesakit yang mengalami serangan jantung besar.

"Faktor risiko penyakit salur darah koronari ini berkait rapat dengan gaya hidup seperti faktor makanan.

"Mengurangkan gula, lemak dan garam dalam makanan selain aktif bersenam dan jauhi merokok antara langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko penyakit koronari jantung," katanya.

Dalam pada itu, masyarakat sedia maklum mengenai gejala biasa yang berlaku disebabkan bawaan virus Covid-19, antaranya sesak nafas yang hampir sama dengan gejala serangan jantung.

Jelas Dr Zul Hilmi, kedua-dua serangan jantung dan jangkitan Covid boleh menyebabkan seseorang itu susah untuk bernafas.

"Tetapi, kita ada ujian yang boleh dijalankan untuk mengesan setiap penyakit itu.

"Kadang-kadang kedua-duanya boleh berlaku serentak di mana virus Covid juga menyebabkan masalah jantung pada masa sama," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana virus berbahaya berkenaan boleh memberi kesan terhadap kesihatan jantung dan kesan terhadap pesakit jantung jika dijangkiti? Jawab Dr Zul Hilmi, ada data menujukkan pesakit Covid-19 mempunyai risiko penyakit jantung iaitu serangan jantung dan radang otot jantung (myocarditis).

"Jika pesakit yang sudah mempunyai masalah jantung terkena virus Covid, jangkitan menjadi lebih serius dan bahaya atau lebih tinggi risiko.

"Jadi, pesakit jantung adalah golongan berisiko tinggi yang perlu mengambil vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 7:00 AM