KAJIAN dapati ia boleh berada di udara antara tiga hingga sembilan jam
KAJIAN dapati ia boleh berada di udara antara tiga hingga sembilan jam
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PADA awal penularan pandemik Covid-19 dulu, pengetahuan yang diperoleh adalah berdasarkan virus yang hampir sama dan kebanyakannya tersebar melalui titisan (cecair badan).

Titisan itu adalah partikel besar yang jatuh ke tanah atau permukaan dengan cepat dan ia tidak tersebar jauh.

Namun, kini dengan ilmu pengetahuan didapati melalui penyelidikan, pakar sains cukup yakin bahawa kebanyakan virus Corona tersebar secara aerosol (partikel lebih kecil atau ampaian zarah).

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Ketua Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Perubatan International Medical University (IMU), Profesor Dr James Koh berkata, untuk memahami dengan mudah bagaimana virus boleh tersebar melalui udara, beliau memberikan contoh penyemburan racun serangga di dalam bilik.

"Apabila anda masuk ke dalam bilik itu sejam kemudian, bauannya masih boleh dihidu kerana selagi udara tidak bergerak, selagi itulah partikel itu akan terus terapung di udara.

USAHA menangani virus itu akan menjadi berpanjangan dan ia terarah kepada suntikan penggalak  yang sudah pun menjadi topik perbincangan hangat.
USAHA menangani virus itu akan menjadi berpanjangan dan ia terarah kepada suntikan penggalak yang sudah pun menjadi topik perbincangan hangat.

"Begitulah juga keadaannya dengan virus Corona, jika kita membawa virus dan bercakap, menyanyi, menjerit bahkan bernafas diam-diam di dalam bilik yang tiada pergerakan udara, virus yang terhambur keluar akan terus terapung di udara," katanya menjelaskan mengenai varian Delta ketika siri webinar #NextNormal anjuran universiti itu, baru-baru ini.

Menurut Dr Koh lagi, berdasarkan kajian, virus terbabit akan terus terapung di udara selama tiga hingga sembilan jam.

"Pakar berpendapat yang kita akan terdedah kepada virus apabila bernafas dalam udara yang tercemar di sekeliling kita," katanya.

Bertentangan dengan kefahaman sebelum ini, bukti menunjukkan bahawa menyentuh permukaan tercemar agak tidak menyumbang kepada penularan Covid-19.

Inilah sebabnya mengapa prosedur operasi standard (SOP) hari ini tidak terhad kepada penjarakan fizikal semata-mata sebaliknya masih perlu memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan mengelap permukaan.

Selain itu, langkah-langkah tambahan seperti memastikan aliran udara dan pengaliran udara yang baik serta menggalakkan pemakaian dua lapis pelitup muka selain pelindung muka turut diberi perhatian.

"Apapun, adalah lebih selamat untuk berada di luar di mana udara bergerak bebas, berbanding di dalam bangunan yang udaranya diedarkan semula," katanya.

Dalam pada itu, Dr Koh menekankan bahawa mendapatkan vaksinasi masih menjadi salah satu daripada perlindungan yang paling penting.

Beliau berkata, meskipun sudah menerima vaksin penuh namun orang ramai tetap mempunyai risiko yang sama untuk mendapat jangkitan virus.

Kata Dr Koh, individu yang divaksin dapat melawan jangkitan dengan lebih baik tetapi mereka yang mempunyai komorbiditi masih berisiko untuk dimasukkan ke ICU dan salah satu perlindungan penting ialah mengamalkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, penyelidik mendapati apabila terdedah kepada varian Delta, penerima vaksin menunjukkan jumlah kesan virus yang sama dengan orang yang tidak divaksin.

"Ini bermakna kedua-dua golongan, iaitu yang sudah divaksin dan tidak divaksin boleh menularkan jangkitan apabila dijangkiti.

MASYARAKAT kini perlu terima hakikat dan belajar untuk hidup bersama virus berkenaan.
MASYARAKAT kini perlu terima hakikat dan belajar untuk hidup bersama virus berkenaan.

"Satu perbezaan antara dua golongan itu adalah pada tempoh kebolehjangkitan, di mana tempohnya lebih singkat bagi orang yang sudah divaksin berbanding individu tidak divaksin.

"Tempoh kebolehjangkitan individu yang sudah divaksin mungkin beberapa hari saja tetapi tempoh itu lebih lama bagi individu yang tidak divaksin," katanya.

Menurut beliau lagi, konsep imuniti kelompok sudah banyak diperkatakan dan ia berdasarkan kepada pencapaian 80 peratus kadar vaksinasi penduduk.

Kata Dr Koh, kelompok 80 peratus penduduk yang sudah divaksin itu akan bertindak sebagai tembok penghalang atau pelindung jangkitan untuk golongan yang tidak boleh mendapatkan vaksin, seperti penghidap penyakit yang tidak membenarkan mereka divaksinkan.

Katanya, pada masa sekarang, Malaysia memberikan vaksinasi pada kadar yang sangat tinggi dan negara sudah pun mula melihat hasil daripada inisiatif itu.

"Contohnya di Selangor, imuniti kelompok sudah dicapai dan jumlah kes juga turun mendadak.

"Namun, untuk mengekalkan imuniti kelompok, penduduk mestilah statik (berada di tempat yang sama) dan saya lebih suka dengan istilah 'imuniti kelompok setempat' untuk menerangkan tahap vaksinasi dalam komuniti tertutup.

"Sebaik sahaja sempadan dibuka dan orang ramai mula merentas negeri atau negara, nisbah yang sudah divaksin kepada tidak divaksin akan sentiasa berubah-ubah," katanya

Dr Koh berkata, masyarakat perlu melihat perkara itu secara global dan sebaiknya, semua rakyat perlu divaksinkan.

Ini kerana, tiada sesiapa pun yang akan selamat sehingga semua orang selamat

Katanya, usaha menangani virus itu akan menjadi berpanjangan dan ia terarah kepada suntikan penggalak yang sudah pun menjadi topik perbincangan hangat.

INDIVIDU yang divaksin dapat melawan jangkitan dengan lebih baik.
INDIVIDU yang divaksin dapat melawan jangkitan dengan lebih baik.

"Dengan adanya laporan yang mengatakan antibodi menyusut selepas enam bulan daripada suntikan kedua, negara-negara seperti Amerika Syarikat, Israel dan Singapura kini sudah mula merancang untuk memberikan suntikan penggalak bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"Suntikan penggalak itu sememangnya tidak dapat dielakkan, ia sama seperti perlindungan untuk Influenza dan virus lain," katanya.

Sementara itu, Dr Koh berkata, masyarakat kini perlu terima hakikat dan belajar untuk hidup bersama virus berkenaan.

Katanya, masyarakat akan melakukan perubahan dan penyesuaian, mungkin suatu hari nanti sudah tidak perlu lagi memakai pelitup muka.

"Tetapi virus itu sendiri tidak akan lenyap.

Inilah keadaan normal baharu dan kita mungkin tidak akan dapat kembali kepada normal asal sebelum pandemik.

"Jadi, tidak kira sama ada sudah divaksin atau tidak, buat masa sekarang anda perlu berhati-hati dengan orang lain dan terus patuhi SOP sehingga masyarakat semua sudah divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:00 AM