VAKSINASI adalah salah satu cara untuk mencapai imuniti.
VAKSINASI adalah salah satu cara untuk mencapai imuniti.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


Sistem imuniti (pertahanan) badan bertindak menentang bakteria dan virus berbahaya yang masuk ke dalam badan.

Bakteria dan virus ini dikenali sebagai antigen (musuh) selain akan dikenal pasti sistem imuniti sebagai ancaman kepada badan. Seterusnya, sistem imuniti akan diaktifkan untuk menghapuskan antigen ini.

Salah satu cara sistem imuniti bertindak balas menentang antigen adalah dengan menghasilkan antibodi. Setiap antibodi adalah khusus untuk setiap bakteria atau virus.

Antibodi ini akan kekal dalam badan walaupun selepas individu terbabit bebas atau pulih daripada jangkitan itu.

Oleh itu, sekiranya jangkitan yang sama berlaku lagi, antibodi ini sudah bersiap sedia untuk menentangnya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, kadangkala badan tidak berjaya menentang jangkitan yang baru pertama kali dialami.

"Lebih malang, ada jangkitan yang boleh membawa maut termasuk jangkitan Covid-19.

"Ada individu yang dapat pulih daripada jangkitan ini dan ada juga yang maut," katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi ancaman Covid-19, vaksinasi adalah salah satu cara yang dapat membantu kita mencapai imuniti untuk melawan virus SARS-COV-2.

PICK adalah antara langkah melawan Covid-19.
PICK adalah antara langkah melawan Covid-19.

"Vaksin mengandungi antigen dalam bentuk bahagian-bahagian virus atau virus yang sudah mati.

"Sistem imuniti badan akan mengenal pasti antigen ini sebagai musuh dan mengaktifkan penghasilan antibodi bagi menentang antigen ini," katanya.

Mengulas lanjut, sekiranya individu yang sudah divaksin dijangkiti Covid-19, antibodi yang terhasil daripada proses imunisasi sebelum ini sudah bersiap sedia dan dapat terus bertindak balas menentang virus SARS-COV-2 ini.

"Berbeza dengan mereka yang tidak divaksin. Sekiranya mereka dijangkiti Covid-19, sistem imuniti badan perlu terlebih dahulu mengenal pasti antigen itu dan kemudiannya menghasilkan antibodi yang diperlukan.

"Proses ini akan mengambil masa. Dikhuatiri, virus sudah merebak lebih teruk sebelum tindak balas imuniti pertahanan badan baru berkesan," katanya.

NORMA baharu perlu terus diamalkan biarpun sudah divaksin.
NORMA baharu perlu terus diamalkan biarpun sudah divaksin.

Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai salah satu langkah melawan Covid-19.

"Vaksinasi dengan vaksin Covid-19 bertujuan membentuk sistem pertahanan badan sebelum seseorang itu dijangkiti Covid-19.

"Bagi mereka yang dijangkiti Covid-19, vaksinasi bertujuan mengukuhkan lagi sistem pertahanan badan menentang Covid-19," katanya.

Jelasnya, perlu diingat, vaksinasi tidak akan menghalang jangkitan dan bukanlah penawar untuk Covid-19.

"Vaksinasi hanya berfungsi untuk meningkatkan daya tahan tubuh apabila dijangkiti Covid-19.

VAKSINASI dapat melindungi diri dan orang lain.
VAKSINASI dapat melindungi diri dan orang lain.

"Seterusnya, ia dapat mencegah atau mengurangkan komplikasi akibat penyakit ini. Oleh itu, amat penting bagi mereka yang divaksin untuk terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19," katanya.

Tambahnya, norma-norma baharu seperti memakai pelitup muka dengan betul, kerap mencuci tangan dengan air atau cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal mesti terus diamalkan.

"Selain itu, ia bertujuan melindungi golongan yang tidak boleh divaksin, terutamanya golongan bayi dan kanak-kanak.

"Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah mengenai pengamalan norma baharu walaupun sudah lengkap divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:35 AM