KERAP memeluk anak dapat mengurangkan tekaan dan kegelisahan.
KERAP memeluk anak dapat mengurangkan tekaan dan kegelisahan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENULARAN Covid-19 yang berlarutan dan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya memberikan kesan kepada masyarakat.

Antara golongan paling terkesan adalah ibu bapa yang bukan sahaja risau dengan kewangan keluarga, malah kesihatan dan pembelajaran anak masing-masing.

Namun, sebagai ibu bapa, anda perlu bijak menangani masalah tekanan dalam keluarga bagi memastikan anak tidak merasa tempiasnya sekali.

Perunding keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar berkata, tiga cara terbaik untuk mengurangkan tekanan sebagai ibu bapa ketika musim pandemik ini ialah dengan merendahkan jangkaan terhadap anak, raikan kejayaan anak walaupun ia kejayaan kecil dan kerap memeluk anak.

Kata Noor Afidah, jangkaan yang terlalu tinggi sememangnya hanya menyesakkan dada ibu bapa itu sendiri.

Katanya, kanak-anak juga berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat keluar, bersekolah, bersosial dan bermain seperti biasa.

"Semua itu adalah satu keperluan bagi kanak-kanak dan remaja.

"Mereka tidak akan dapat memenuhi jangkaan dan harapan tinggi ibu bapa disebabkan keterbatasan dari segi fizikal, emosi, mental dan sosial yang dialami sekarang.

"Jadi, tetapkan jangkaan yang realistik bersesuaian dengan usia, kemampuan dan situasi anak selain jangan bandingkan mereka kerana setiap anak adalah unik," katanya.

Menurut Noor Afidah lagi, ibu bapa juga perlu meraikan kejayaan anak walaupun ia adalah kejayaan yang kecil.

Ini kerana kejayaan dicapai dalam pelbagai bentuk dan bukan hanya tertumpu kepada bidang akademik semata-mata.

"Ada kanak-kanak yang mencapai kejayaan dalam bidang akademik, ada yang membabitkan kejayaan usaha, kejayaan strategi, kejayaan dalam penembahbaikan, kejayaan pada sikap dan akhlak, kejayaan dalam beribadah dan pelbagai lagi bentuk kejayaan lain.

"Sebagai ibu bapa, raikan kejayaan anak anda walaupun kecil.

"Ia secara tidak langsung akan memberi harapan kepada anda sendiri bahawa anda bukan ibu bapa yang gagal seperti yang disangkakan," katanya.

Dalam pada itu, Noor Afidah turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih kerap memeluk anak mereka.

Ini kerana terjemahan kasih sayang itu tidak akan sesekali 'merosakkan' mereka.

Sebaliknya, jika kurang memeluk anak, ia akan membantutkan perkembangan dan pertumbuhan mereka.

Katanya, kajian mendapati bahawa memeluk bukan hanya dapat mengurangkan tekanan individu yang dipeluk, tetapi juga membantu mengurangkan tekanan individu yang memeluk.

"Sentuhan fizikal meningkatkan hormon kasih sayang iaitu oksitosin yang dapat mengurangkan tekanan dan kegelisahan.

"Jadi, kerap memeluk ahli keluarga terutama anak-anak dalam keadaan yang sukar sekarang ini.

"Insya-Allah, kita semua akan dapat melaluinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:44 AM