Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi usia mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, kanak-kanak yang mengalami masalah itu adalah jauh lebih pendek dan membesar pada kadar lebih perlahan berbanding kanak-kanak sebaya atau sama jantina.

Selain itu, kanak-kanak yang mengalami GHD juga biasanya kelihatan lebih muda.

Katanya, walaupun kependekan kanak-kanak jelas dilihat pada peringkat awal namun tanda-tanda GHD sering kali diabaikan kerana mereka mempunyai perkadaran tubuh yang normal dan kelihatan normal sebagaimana budak lain, cuma lebih kecil dari segi saiz.

"Akibatnya, kanak-kanak dengan GHD sering lewat dikesan, lazimnya ketika akil baligh apabila mereka memperlihatkan kelewatan dalam lonjakan tumbesaran.

"Pada peringkat berkenaan, mereka mungkin tidak lagi berpeluang untuk mendapat manfaat daripada rawatan awal," katanya.

Menurut Dr Muhammad Yazid, keadaan itu perlu diambil serius kerana kesan kesihatan GHD yang tidak dirawat tidak terhad kepada masalah ketinggian.

KANAK-kanak dengan GHD yang tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik tetapi mereka juga menghadapi  pelbagai risiko kesihatan.
KANAK-kanak dengan GHD yang tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik tetapi mereka juga menghadapi pelbagai risiko kesihatan.

Jelasnya, hormon tumbesaran memainkan peranan penting dalam fungsi badan seperti mengekalkan jisim otot dan tulang, mengurangkan tisu lemak, mempengaruhi paras lemak darah seperti kolesterol dan trigliserida serta mengawal fungsi jantung.

"Kanak-kanak dengan GHD yang tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik tetapi mereka juga menghadapi pelbagai risiko kesihatan.

"Antaranya, kemerosotan kepadatan mineral tulang, tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika mereka meningkat dewasa," katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Yazid menekankan bahawa diagnosis awal GHD penting untuk membolehkan kanak-kanak mendapat manfaat sepenuhnya daripada rawatan hormon tumbesaran.

Rawatan itu kata beliau, boleh membantu kanak-kanak yang mengalami GHD untuk mencapai ketinggian dewasa normal.

Ia juga dapat membantu mengembalikan tahap metabolisme, meningkatkan tumbesaran badan dan mengurangkan risiko sakit jantung.

"Selain itu, rawatan paling umum bagi GHD ialah suntikan harian hormon tumbesaran sintetik yang diberikan menerusi pen suntikan dengan membuat suntikan cetek ke dalam tisu lemak di bawah permukaan kulit.

UJIAN darah juga akan dilakukan untuk menentukan jika hormon tumbesaran tambahan diperlukan, rawatan patut ditambah, dikurangkan atau dihentikan.
UJIAN darah juga akan dilakukan untuk menentukan jika hormon tumbesaran tambahan diperlukan, rawatan patut ditambah, dikurangkan atau dihentikan.

"Rawatan itu dilakukan selama beberapa tahun sehingga kanak-kanak terbabit mencapai ketinggian dewasa atau potensi ketinggian maksimum, biasanya apabila selesai akil baligh," katanya.

Tambah Dr Muhammad, dos yang diberikan adalah berbeza bergantung kepada pelbagai faktor termasuk tahap masalah tumbesaran terbantut yang dialami dan berat badan.

Sebagai contoh, kanak-kanak akan memerlukan dos hormon tumbesaran yang lebih tinggi ketika mereka membesar kerana berat badan semakin bertambah.

Katanya, kanak-kanak yang menjalani terapi hormon tumbesaran juga perlu berjumpa dengan doktor dari semasa ke semasa bagi memantau kemajuan tumbesaran mereka.

"Selain itu, ujian darah juga akan dilakukan untuk menentukan jika hormon tumbesaran tambahan diperlukan, rawatan patut ditambah, dikurangkan atau dihentikan.

"Di samping itu, paras gula darah (HbA1c), fungsi tiroid, nilai IGF-1 dan X-ray umur tulang juga akan diperiksa secara berkala untuk memastikan mereka sentiasa dalam keadaan sihat," katanya.

Sementara itu, memandangkan tumbesaran berkait rapat dengan kesihatan, ketinggian kanak-kanak adalah petanda tahap kesihatan keseluruhannya.

IBU bapa perlu memainkan peranan penting bagi menjaga kesihatan anak.
IBU bapa perlu memainkan peranan penting bagi menjaga kesihatan anak.

Dr Muhammad Yazid berkata, di Malaysia apabila kanak-kanak sudah selesai menjalani imunisasi pada umur dua tahun, ibu bapa hanya akan membawa mereka berjumpa dengan doktor apabila jatuh sakit.

Kata beliau, tiada pemeriksaan susulan atau berkala dilakukan bagi memantau tumbesaran anak selepas umur berkenaan.

"Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi menjaga kesihatan anak dengan mengambil maklum dan membabitkan diri dalam perkembangan tumbesaran mereka.

"Dengan mengukur ketinggian dari semasa ke semasa, ibu bapa boleh mengenal pasti tanda-tanda tumbesaran yang tidak normal dan membawa anak untuk diperiksa pakar pediatrik dengan segera," katanya.

Menurut Dr Muhammad Yazid lagi, memantau ketinggian anak kini lebih mudah dengan alatan baharu dan inovatif seperti aplikasi telefon pintar yang membantu ibu bapa mengukur serta menjejak pertumbuhan fizikal mereka.

Kata beliau, ibu bapa boleh mula mengukur ketinggian anak menggunakan alat itu sebagai panduan bagi menjejak corak tumbesaran anak.

"Aplikasi berkenaan merakamkan ketinggian anak secara automatik pada carta tumbesaran dan membandingkannya dengan piawaian yang ditetapkan WHO bagi pertumbuhan tumbesaran anak yang sihat.

"Anak yang berada di bawah ketinggian piawai untuk umur dan jantina mereka (lebih pendek daripada kanak-kanak lain yang sebaya) atau tersasar dari keluk tumbesaran terdahulu (kadar tumbesaran semakin perlahan) mungkin mempunyai masalah hormon tumbesaran dan perlu diperiksa pakar pediatrik.

"Masalah kanak-kanak pendek atau terbantut tidak patut diabaikan kerana lebih awal GHD dirawat, lebih tinggi peluang mereka

mencapai potensi ketinggian selain dapat mengelakkan isu kesihatan yang mungkin timbul daripada masalah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:00 AM