SEMARAKKAN sambutan Hari Kebangsaan dengan menggantung Jalur Gemilang di rumah masing-masing.
SEMARAKKAN sambutan Hari Kebangsaan dengan menggantung Jalur Gemilang di rumah masing-masing.
Nurul Husna Mahmud

Kempen mengibarkan Jalur Gemilang di unit kediaman masing-masing antara inisiatif diambil komuniti penduduk Rumah Selangorku (RSKU) Residensi Zamrud Kajang, Selangor bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan yang ke-64 tahun ini.

Menurut wakilnya, Ahmad Syahir Abu Hasan, usaha mengibarkan Jalur Gemilang mendapat sokongan hampir 370 penghuni komuniti terbabit yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Kempen kibarkan bendera ini dicetuskan seorang penduduk yang juga jawatankuasa komuniti yang mahu adanya suasana Bulan Kebangsaan dalam kawasan penempatan ini.

"Sebenarnya antara ahli komuniti saling mengenali antara satu sama lain walaupun semua baharu berpindah ke apartmen ini setahun lalu dan kemudian pandemik pula, tidak banyak program dapat dilakukan. Malah, tiada aktiviti Hari Kebangsaan pun.

"Untuk tahun ini biarpun masih 'berkurung' dalam rumah masing-masing kerana pandemik, kami masih berharap dapat rasakan 'kehangatan' semangat patriotisme apabila adanya aktiviti kibarkan bendera di unit kediaman masing-masing," katanya.

Tambah Ahamad Syahir lagi, semangat muhibah dan kesatuan komuniti itu jelas kelihatan apabila ramai penduduk menyambut baik usaha dilakukan sebilangan orang.

MASIH rasai suasana Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dari rumah masing-masing.
MASIH rasai suasana Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dari rumah masing-masing.

"Sebenarnya di sini sikap muhibah atau kejiranan sangat dirasai walaupun berlainan agama dan bangsa. Ketika dibenarkan aktiviti sosial pada tahun lalu, gotong-royong membabitkan surau turut menerima sumbangan makanan daripada jiran yang bukan Islam.

"Mereka bagi sumbangan makanan dan barang keperluan untuk digunakan bagi aktiviti gotong-royong surau. Bagitu juga majlis bacaan Yasin dan doa selamat, mereka juga tidak kekok menyumbang makanan untuk majlis itu.

"Bertitik tolak daripada itu penduduk membentuk ahli komuniti kecil merencana pelbagai aktiviti yang dapat menyatukan masyarakat. Biarpun berdepan situasi mencabar iaitu Covid-19, program banyak dilakukan dalam talian termasuk kempen ini.

"Komuniti ada kesempatan untuk meraikan Hari Kebangsaan yang pertama penuh makna walaupun secara sederhana di unit kediaman masing-masing. Anak-anak juga berpeluang merasai suasana Hari Kebangsaan dan menghayati suasana itu," katanya.

BOLEH jadi satu aktiviti keluarga dan program komuniti.
BOLEH jadi satu aktiviti keluarga dan program komuniti.

Kata Ahmad Syahir, dia dan komuniti berharap dapat menjalankan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dalam mengharmonikan kejiranan RSKU Residensi Zamrud itu.

"Memang saya dan ahli komuniti lain berharap pandemik berakhir dengan segera supaya banyak aktiviti kemasyarakatan dapat dianjurkan bagi mengeratkan kejiranan berbilang kaum ini.

"Kejiranan adalah sokongan sistem yang sangat penting apabila tinggal di bandar dan berjauhan dengan keluarga terutama dalam pandemik apabila masing-masing berada di rumah dan tidak boleh merentas daerah atau negeri untuk melawat ahli keluarga.

"Dengan menjalankan aktiviti sebegini kita juga dapat semai nilai positif selain menenangkan fikiran dengan lakukan sesuatu yang dapat disertai semua hanya dari rumah," katanya yang berkongsi kenangan indah berkaitan Hari Kebangsaan cukup dekat dengan dirinya apabila melangsungkan perkahwinan dengan isteri, Nadiah Maharam, 34, pada tarikh keramat itu pada 2019.

KIBARAN Jalur Gemilang di unit kediaman RSKU Residensi Zamrud Kajang, Selangor.
KIBARAN Jalur Gemilang di unit kediaman RSKU Residensi Zamrud Kajang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:30 AM