KETIKA ‘pillow talk’ biarkan anak yang mendominasi perbualan. - FOTO Google
KETIKA ‘pillow talk’ biarkan anak yang mendominasi perbualan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


DALAM kalangan orang dewasa, kita sering mendengar mengenai aktiviti 'pillow talk' bersama pasangan atau mereka yang rapat sebelum tidur.

Dalam aktiviti 'pillow talk', kebiasaannya menjadi platform untuk setiap individu meluahkan rasa dan berbincang dalam keadaan yang tenang.

Sebenarnya, 'pillow talk' juga boleh dilakukan bersama kanak-kanak kerana ia dilihat mampu memberi kesan positif hubungan antara ibu bapa dan si kecil.

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata, 'pillow talk' ini lebih memberi fokus dalam membantu perkembangan emosi anak.

"Dalam tumbesaran kanak-kanak, perkembangan emosi sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi domain perkembangan yang lain seperti kognitif

dan sosial.

"Apabila anak berasa gembira, disayangi dan diberi perhatian oleh ibu bapa, mereka akan lebih cenderung menunjukkan tingkah laku yang positif," katanya.

Tambahnya, ibu bapa boleh memeluk anak setelah selesai melakukan 'pillow talk'. Pelukan ibu bapa akan merembeskan tiga jenis hormon dalam tubuh badan anak iaitu hormon serotonin, dopamine dan oxytocin.

‘PILLOW talk’ boleh mengeratkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa. - FOTO Google
‘PILLOW talk’ boleh mengeratkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa. - FOTO Google

"Ketiga-tiga hormon ini akan merangsang atau meningkatkan emosi positif iaitu perasaan gembira dan tenang. Emosi yang positif ini akan meningkatkan tahap perkembangan kognitif anak dan perubahan tingkah laku ke arah yang lebih positif.

"Selain itu, anak juga akan lebih fokus kepada pelajaran kerana tiada apa yang membelenggu emosi dan fikiran mereka," katanya.

Beliau juga berpandangan, aktiviti 'pillow talk' sesuai untuk dilakukan bersama anak-anak yang sudah mampu bercakap kerana ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala.

"Ibu bapa boleh lakukan 'pillow talk' sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Lebih baik jika boleh dilakukan lebih kerap.

"Cukup dengan meluangkan masa selama 15 minit aktiviti 'pillow talk' itu. Cuba elakkan atau kurangkan bertanya soalan kepada anak. Biarkan anak yang mendominasi 'pillow talk' itu supaya mereka boleh meluahkan rasa tersimpan di dalam hati dan fikiran," katanya.

Jelasnya, apabila berlangsungnya proses 'pillow talk', ibu bapa perlu menjadi pendengar terbaik dan bukan menghukum setiap luahan perasaan anak kerana ia adalah sesi untuk membina kepercayaan antara kedua belah pihak.

Katanya, sebelum tidur, gelombang otak kanak-kanak akan berada pada fasa yang tenang dan badan mereka dalam keadaan rehat.

"Jadi pada waktu inilah kanak-anak akan meluahkan segala yang terlintas di fikiran dan luahan perasaan mereka secara terbuka kepada kita sebagai ibu bapa yang boleh mengetahui emosi anak-anak," katanya.

Antara kelebihan 'pillow talk' bersama anak-anak:

1. Dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

2. Anak dapat meluahkan perasaan mereka atau berkongsi cerita tentang aktiviti yang dilakukan.

3. Anak-anak akan gembira apabila ibu bapa mendengar dan memberi perhatian kepada luahan atau cerita mereka.

4. Ibu bapa akan lebih memahami anak.

5. Anak akan rasa lebih teruja untuk tidur kerana mereka tahu ibu bapa akan meluangkan masa bersama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:47 AM