MAKANAN terproses mengandungi garam yang tinggi.
MAKANAN terproses mengandungi garam yang tinggi.
Muhamaad Razis Ismail


Kita biasa mendengar pepatah 'sarapan seperti raja, makan tengah hari seperti putera dan makan malam seperti pengemis.'

Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya mengambil sarapan sebagai hidangan utama sebelum memulakan rutin harian.

Pegawai Sains Pemakanan, Fara Wahida Rezali berkata, sarapan dapat membantu membekalkan tenaga, meningkatkan fungsi otak, tumpuan danmengurangkan risiko lebih berat badan sertaobesiti.

Katanya, sarapan yang baik untuk kesihatan perlu mengandungi karbohidrat kompleks, protein dan serat.

"Ia penting bagi membekalkan tenaga untuk memulakan hari dan mengekalkan rasa kenyang sehingga makan tengah hari.

"Sarapan paling baik diambil sebelum jam 8.30 pagi kerana kadar metabolisme badan paling tinggi pada ketika itu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, perlu diingat, 'sarapan seperti raja' bukan bermaksud boleh makan apa sahaja jenis makanan.

Malah terdapat dalam kalangan kita yang tidak menyedari makanan yang kerap diambil pada setiap pagi sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan.

SARAPAN penting untuk memulakan hari.
SARAPAN penting untuk memulakan hari.

"Terdapat beberapa jenis makanan sebenarnya tidak baik untuk kesihatan sekiranya diambil dengan kerap dan dalam kuantiti yang banyak.

"Makanan seperti ini boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan dan boleh menjejaskan status kesihatan," katanya.

Beliau turut berkongsi tujuh jenis sarapan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan:

1. Bijirin sarapan yang diperbuat daripada karbohidrat ringkas, tinggi gula dan kurang serat

Contohnya bijirin sarapan yang bukan berasaskan bijirin gandum penuh dan disalut dengan gula tambahan seperti madu

Makanan yang tinggi kandungan gula boleh mengakibatkan peningkatan kalori sekiranya diambil dengan kuantiti yang banyak. Pengambilan karbohidrat ringkas ini juga boleh menyebabkan gula dalam darah naik dengan cepat dan meningkatkan rembesan insulin dalam badan sekali gus menyebabkan selera makan naik dan cepat rasa lapar.

Oleh itu, pilih bijirin yang diperbuat daripada gandum penuh dan rendah indeks glisemik. Ambil dengan susu rendah lemak dan tambah buah-buahan segar supaya sarapan lengkap dan sihat.

 FARA Wahida
FARA Wahida

2. Bar granola

Terdapat bar granola yang mengandungi kandungan gula tambahan yang tinggi dengan kombinasi ramuan seperti gula putih, madu, coklat dan beberapa gula tambahan lain.

Selain itu, ada bar granola yang mempunyai kandungan protein dan serat yang sedikit serta boleh membuatkan kita cepat lapar. Terdapat juga bar granola yang ditambah bahan pengawet dan perasa tiruan.

Sebagai pengguna, buat pilihan bijak dengan memilih bar granola yang mengandungi kandungan gula yang rendah dan ramuan daripada makanan sihat seperti kacang dan buah-buahan.

3. Minuman buah

Ia mengandungi gula yang tinggi dan isipadu jus buah yang sangat rendah. Namun ramai tersalah anggap khasiat minuman buah ini sama seperti jus buah.

Oleh itu, lebih baik gantikan minuman buah ini dengan jus buah yang dibuat sendiri tanpa gula namun masih perlu dikawal kuantiti pengambilannya.

4. Pastri

Pastri seperti croissant dan danish mengandungi lemak trans yang boleh meningkatkan paras kolestrol jahat dan menurunkan paras kolestrol baik.

Selain itu, pengambilan lemak trans yang berlebihan boleh meningkatkan risiko masalah jantung dan strok.

5. Makanan terproses dalam menu 'big breakfast' seperti sosej.

Makanan terproses ini tidak sihat kerana mengandungi kandungan garam yang tinggi dan bahan pengawet.

Pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan risiko kanser usus.

6.Marjerin dan mentega

Marjerin mengandungi lemak trans dan mentega mengandungi lemak tepu yang boleh meningkatkan risiko masalah jantung sertastrok.

Kurangkan kekerapan pengambilan dan hanya menyapu nipis pada roti jika diambil.

7. Pankek dan wafel

Ramuan utama pankek dan wafel adalah tepung gandum namun kebiasaannya ia dimakan bersama madu, sirap mapel dan sos coklat yang diambil secara berlebihan boleh meningkatkan kalori sertaberat badan.

Sebaik-baiknya gantikan sirap mapel, madu atau sos coklat dengan buah-buahan semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:23 AM