ELAKKAN media sosial dengan aktiviti fizikal. - FOTO Google
ELAKKAN media sosial dengan aktiviti fizikal. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


Ketika pandemik ini, kebanyakan kita ingin mendapatkan maklumat lengkap dan terperinci mengenai perkembangan Covid-19.

Oleh itu, ramai dalam kalangan kita yang berterusan menelusuri semua data mengenai kes Covid-19 termasuk kes baharu, kematian, jumlah kes di unit rawatan rapi (ICU).

Ada juga yang mendapatkan informasi mengenai berapa banyak kes baru atau mengenai lokasi zon merah di sekitar kediaman mereka.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, situasi ini mendorong 'Doom Scrolling' iaitu aktiviti mendapatkan informasi dari alam maya secara keterlaluan mengenai sesuatu perkara.

Menurutnya, kini terdapat banyak berita negatif yang kerap dipaparkan di alam maya, termasuk jumlah kes positif dan kematian yang semakin meningkat, kisah duka mereka yang kehilangan orang tersayang, terjejas pendapatan atau berada dalam keadaan sukar akibat pandemik ini.

"Apabila terlalu banyak informasi negatif, lama kelamaan ia mungkin mencetuskan situasi panik atau tekanan terhadap mental dan emosi seseorang.

"Ia boleh menyebabkan individu itu berasa risau terhadap pelbagai kemungkinan buruk dan pelbagai lagi ketidaktentuan yang mungkin berlaku.

RAMAI melakukan aktiviti ‘Doom Scrolling’.  - FOTO Google
RAMAI melakukan aktiviti ‘Doom Scrolling’. - FOTO Google

"Mereka mungkin cuba mengaitkan diri mereka dengan semua situasi buruk yang dibaca atau ditonton," katanya ketika dihubungi baru-baru ini

Beliau berkata, situasi ini mengundang pelbagai masalah sehingga boleh mengundang perasaan tidak tenteram kepada individu.

"Jika informasi itu kebanyakannya berkisar mengenai sesuatu yang positif, ia mungkin tidak mendatangkan masalah," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa golongan berisiko mendapat impak negatif daripada aktiviti 'Doom Scrolling' iaitu mereka yang mempunyai gangguan mental seperti kemurungan, keresahan atau serangan panik.

"Selain itu mereka yang terkesan teruk akibat pandemik ini turut berisiko mendapat tekanan mental dan emosi akibat 'Doom Scrolling.'

"Ini termasuklah mereka yang menghadapi masalah kewangan, terkena jangkitan Covid-19 atau mereka yang pernah menghadapi kisah tragis akibat pandemik itu seperti kematian insan tersayang," katanya.

Jelasnya, untuk mengelakkan aktiviti 'Doom Scrolling,' setiap individu perlu mengehadkan masa di alam maya dengan merancang jadual harian dan lakukan aktiviti fizikal.

"Elakkan media sosial terutama laman yang banyak berkongsi maklumat ke arah negatif.

INDIVIDU berdepan masalah kewangan antara yang berisiko.  - FOTO Google
INDIVIDU berdepan masalah kewangan antara yang berisiko. - FOTO Google

"Selain itu, cuba dekatkan diri anda dengan individu dan kisah-kisah positif," katanya.

'Doom Scrolling' boleh menyebabkan gejala keresahan seperti kerap berasa cemas, fikiran bercelaru dan tidur terganggu.

"Dalam situasi yang lebih teruk, ia mungkin boleh menyebabkan kemurungan.

"Jika anda mempunyai gejala keresahan atau kemurungan, pastikan anda mendapatkan rawatan profesional daripada kaunselor atau pakar psikiatri," katannya.

Katanya, tanpa disedari, ramai antara kita yang terkesan akibat aktiviti 'Doom Scrolling' ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19.

"Justeru itu, saya nasihatkan anda fokuskan kepada perkara positif dan menggembirakan dalam hidup ini.

"Minda yang sihat dan hati yang tenang dapat membantu kita mencari jalan keluar daripada kemelut pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:41 AM