KREATIVITI olah buah pinang dijadikan bunga kering sebagai penyeri ruang.
KREATIVITI olah buah pinang dijadikan bunga kering sebagai penyeri ruang.
Muhamaad Razis Ismail


MENERUSI kreativiti, bahan buangan atau terpakai mampu menjadi hiasan rumah yang unik dan bersifat eksklusif.

Tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi, pelbagai produk baharu menarik boleh dihasilkan menggunakan elemen berkenaan.

Kini, masa terluang di rumah anda berpeluang menghasilkan sesuatu yang unik bukan sahaja untuk keperluan diri, malah mampu menjana pendapatan.

Antaranya, menerusi kombinasi buah pinang, lidi nipah dan buah pelaga, ia boleh dijadikan sebagai bunga kering 'Sweet Coolay Flower' sebagai penyeri ruang.

Menurut Pengasas APA Atittude Planet Art (Apa Art), Fauzi Ab Majid, dia menggunakan idea hasil rimba menggunakan buah pinang untuk dijadikan bunga kering.

"Bahan seperti buah pinang yang terbuang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan sesuatu yang unik dengan menggunakan kreativiti masing-masing.

"Apabila kita olah daripada sumber yang senang diperoleh, harganya bukan terletak kepada wang ringgit, tapi nilai berfikir untuk idea ini," katanya ketika dihubungi.

Katanya, setiap reka bentuk dari sumber alam terutama bahan terbuang mempunyai aura yang kuat jika dicipta dengan sempurna dan tidak berlebihan.

MAMPU menjana pendapatan.
MAMPU menjana pendapatan.

"Idea bunga dari buah pinang ini sesuatu yang cukup sentimental selain dari sumber yang senang didapati dan mudah diolah," katanya.

Menurutnya, untuk menghasilkan bunga kering dari bahan terbuang ini sangat mudah, tidak membabitkan kos tinggi dan boleh disiapkan dalam masa singkat.

"Kos dari proses awal pengawetan sehingga siap 100 batang bunga ini tidak lebih RM20. Satu batang bunga kering boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga minit sahaja.

"Malah, individu yang tidak berkemahiran boleh menghasilkan bunga kering ini mengikut kreativiti sendiri," katanya.

ANTARA bunga kering yang dihasilkan.
ANTARA bunga kering yang dihasilkan.

Bahan-bahan:

- Pelekat atau 'gam gajah'

- Buah pinang

- Lidi nipah

- Buah pelaga

- Gunting

Kaedah penyediaan

1. Ambil buah pinang kering dan warnakan.

2. Kemudian pinang tadi disiat separuh dan selepas itu bulu sabut pinang dibentuk dan dikembangkan.

3. Tebuk lubang di bahagian bawah buah pinang.

4. Masukkan lidi dalam lubang yang ditebuk tadi dan tolak pinang sehingga ke bawah. Masukkan satu lagi pinang yang saiz lebih kecil dari atas dan tarik ke bawah di atas buah pinang pertama (satu batang lidi memerlukan dua buah pinang).

5. Kemudian masukkan buah pelaga di hujung lidi.

6. Lekatkan semua objek yang dimasukan ke lidi tadi.

7. Ulang langkah sama dan buat sekurang-kurang 100 bunga kering untuk hasilkan satu hiasan menarik dalam satu pasu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:21 AM