TEKANAN bekerja dari rumah.
TEKANAN bekerja dari rumah.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 sudah berlarutan lebih setahun ke seluruh negara sejak penghujung 2019.

Biarpun begitu, sehingga kini masih belum nampak tanda-tanda bahawa penularan pandemik ini akan berakhir dalam masa terdekat.

Malah kes baru yang direkodkan sejak Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dilaksanakan bermula awal bulan lalu masih berada pada tahap membimbangkan.

Antara golongan terjejas sudah pasti wanita yang perlu memainkan peranan sebagai ibu, isteri, pekerja, suri rumah dan guru di rumah.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, apabila berlakunya pandemik ini, kehidupan wanita menjadi lebih mencabar sehingga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental.

"Wanita yang bekerja dari rumah terpaksa memenuhi tuntutan kerjaya. Pada masa yang sama, perlu menguruskan rumah tangga dan membantu anak-anak yang menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

CABARAN sebagai suri rumah, pekerja dalam suasana pandemik boleh jejaskan kesihatan mental kaum hawa.
CABARAN sebagai suri rumah, pekerja dalam suasana pandemik boleh jejaskan kesihatan mental kaum hawa.

"Ada juga wanita yang mengalami perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan pasangannya sehingga segala urusan rumah tangga terbeban di bahunya sendiri. Selain itu, cabaran terpisah dengan ahli keluarga di kampung halaman dan juga dengan rakan-rakan turut boleh menjejaskan kesihatan mental wanita.

"Cabaran dalam menguruskan kewangan juga boleh memberikan tekanan dan mengancam kesihatan mental wanita.

"Bagi keluarga yang tidak harmoni, pertengkaran suami isteri mungkin menjadi lebih kerap akibat daripada pelbagai tekanan kehidupan akibat pandemik ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang juga Pensyarah Perubatan di Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, masalah kemurungan dan keresahan adalah antara masalah gangguan mental yang boleh berlaku kepada wanita ketika pandemik ini.

"Akibat daripada tekanan perasaan yang berterusan atau melampau berpunca sama ada masalah dalam perhubungan, masalah keluarga, kerjaya dan kewangan, wanita itu mungkin mengalami kemurungan.

PANDEMIK turut memberi tekanan kepada wanita.
PANDEMIK turut memberi tekanan kepada wanita.

"Masalah keresahan pula berlaku akibat pelbagai ketidaktentuan semasa pandemik ini. Wanita mempunyai pelbagai persoalan yang tidak ada jawapan yang pasti," katanya.

Jelasnya, apabila wujud gangguan mental sebegini, emosi akan mudah terganggu dan wanita mungkin menjadi terlalu sensitif.

"Ini boleh mencetuskan pelbagai situasi tidak diingini seperti pergaduhan atau kecelaruan dalam pemikiran.

"Situasi ini menyebabkan tumpuan terhadap tugasan dan aktiviti harian akan terjejas sekali gus mengakibatkan produktiviti juga akan merosot," katanya.

Beliau berkata, wanita yang mengalami gejala gangguan mental perlu mendapatkan bantuan profesional, sama ada kaunselor atau pakar psikiatri serta patuhi nasihat dan rawatan yang diberikan.

GANGGUAN emosi boleh memberi kesan kepada orang di sekeliling terutama suami.
GANGGUAN emosi boleh memberi kesan kepada orang di sekeliling terutama suami.

Mengulas lanjut, sekiranya rawatan dan intervensi awal tidak dilakukan, kesihatan mental boleh menjadi lebih parah sehingga boleh menyebabkan kes bunuh diri.

"Sesuatu yang lebih membimbangkan ialah, kesan kesihatan mental ini bukan hanya memberi kesan terhadap wanita malah boleh menular kepada individu lain termasuk suami, anak-anak, rakan sekerja dan individu lain yang hampir dengannya," katanya.

Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah untuk menyedari bahawa wanita bukan 'superhero' atau adiwira yang mampu melakukan segalanya.

"Perkara kedua ialah kita perlu sedar limitasi kita dengan mendapatkan bantuan jika ada sesuatu yang tidak dapat lagi untuk kita tanggung sendirian lagi.

"Kongsikan perasaan, bersikap lebih terbuka dengan insan yang kita percayai atau rapat dengan kita," katanya.

DAPATKAN rawatan daripada profesional.
DAPATKAN rawatan daripada profesional.

Pada masa sama, orang di sekitar, perlu menunjukkan empati dengan cuba memahami atau menyelami perasaan wanita yang diuji dengan gangguan kesihatan mental.

"Usah menghukum mereka atau menambahkan luka mereka dengan kata-kata seperti 'awak tidak kuat iman,' 'awak tidak kuat semangat' atau seumpamanya.

"Sekiranya orang sekitar boleh membantu secara fizikal, itu adalah sesuatu yang terbaik. Contohnya, pasangan atau ahli keluarga membantu wanita itu dalam menguruskan rumah tangga dan membantu dalam pendidikan anak-anak PdPR," katanya.

DR NOR FAIZA
DR NOR FAIZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:50 AM