Hafiz Ithnin

BAGI mereka yang pernah merasai masalah kecelaruan keresahan (anxiety disorder) sudah pasti tahu mengenai tekanan mental ketika berhadapan situasi itu.

Ahil Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan menjelaskan, menurut Institut Kesihatan Mental Kebangsaan Amerika Syarikat atau NIMH, hidup dengan kecelaruan keresahan bersama perasaan cemas dan risau pada setiap detik masa boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan mental serta fizikal seseorang.

Katanya, rasa bimbang dan runsing juga akan hadir di dalam diri hingga membuat seseorang berasa letih dan takut untuk menjalani kehidupan.

"Sekiranya anda sudah mula berbincang dengan doktor pakar mengenai gejala kecelaruan keresahan, maka anda sudah mengambil langkah pertama untuk mengawal keadaan.

RASA sedih melampau boleh menjadi tekanan kepada mental.
RASA sedih melampau boleh menjadi tekanan kepada mental.

"Bagaimanapun, tidak mudah untuk semua orang yang menghadapi gangguan mental berkaitan keresahan untuk menzahirkan keadaan minda mereka kepada orang lain," katanya.

Dr Airil berkata, perkara sering berlaku adalah kecelaruan keresahan itu akan terus hadir dalam diri seseorang seperti tompok gelap dalam minda dan personalitinya.

"Untuk orang lain yang tidak pernah melalui detik-detik keresahan yang terlampau, mereka mungkin berasakan bahawa keadaan ini sesuatu yang remeh dan boleh dikawal dengan sendiri.

"Terdapat insan menghadapi kecelaruan keresahan yang begitu serius sehingga mereka terpaksa memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada doktor pakar mental yang bertauliah," katanya.

Katanya, walaupun rawatan jangka panjang mungkin diperlukan sebilangan kecil orang, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil oleh kita semua dari detik ini untuk menangani sebarang gejala berkaitan dengan keresahan yang melampau dan sukar dikawal.

"Anda pasti akan berasa resah, cemas serta risau ketika menghadapi masalah sebelum mengambil ujian atau sebelum membuat keputusan penting dalam hidup. Tetapi, jika anda menghadapi kecelaruan keresahan, rasa bimbang serta takut boleh menghantui anda pada setiap masa!

"Perasaan negatif ini tidak pula hilang walaupun anda cuba mengawalnya. Malah, akan semakin buruk dari sehari ke sehari," katanya.

RASA panik melampau antara simptom seseorang itu mengalami kecelaruan keresahan.
RASA panik melampau antara simptom seseorang itu mengalami kecelaruan keresahan.

Katanya, tekanan mental teruk ini juga pasti mengganggu aktiviti harian seperti prestasi kerja, kerja rumah atau perhubungan antara manusia.

"Terdapat beberapa jenis kecelaruan keresahan yang selalu direkodkan, misalnya gangguan keresahan umum, serangan rasa panik dan beberapa gangguan yang berkaitan dengan fobia atau rasa takut di luar kawalan," katanya.

Jelasnya, Klinik Kesihatan Mayo di Amerika Syarikat menyatakan bahawa sehingga hari ini, sebab kecelaruan keresahan tidak difahami sepenuhnya.

"Untuk sesetengah individu, pengalaman hidup seperti peristiwa trauma boleh menjadi punca gangguan mental ini. Sejarah kesihatan keluarga atau genetik leluhur juga mungkin menjadi penyebabnya.

"Antara sebab lain adalah rasa murung atau depresi apabila menghadapi masalah kesihatan atau penyakit serius yang pasti akan menerbitkan rasa resah, cemas dan risau apabila seseorang mula memikirkan isu seperti kos rawatan atau jangka hayat yang masih ada," katanya.

Tambahnya, mereka yang cenderung untuk murung atau depresi sebenarnya amat terdedah kepada kecelaruan keresahan.

"Stres demi stres dalam hidup seharian juga boleh menjadi penyebab gangguan mental ini. Stres boleh datang dan membawa tekanan dan kegelisahan misalnya kerana konflik di tempat kerja, masalah kewangan yang berat atau berlakunya kematian kepada seseorang yang kita sayang.

"Personaliti seseorang juga boleh menjadi penyebab kecelaruan keresahan diikuti dengan sejarah penyakit jiwa dalam keluarga," katanya.

Katanya, penting untuk kita tahu dan faham beberapa petanda kecelaruan keresahan sebagai langkah awal untuk mencari jalan mengawal serta mengubatinya.

"Panjang sebenarnya kalau disenaraikan petanda dan gejala kecelaruan keresahan. Saya kongsi beberapa contoh di sini.

"Pertama, rasa gementar, gelisah atau stres yang terlampau. Kedua, berasa diri dalam bahaya diikuti panik di luar kawalan. Ketiga, degupan jantung yang meningkat serta bernafas terlalu cepat atau hiperventilasi," katanya.

Tambahnya, cepat berpeluh tanpa henti dan badan menggeletar teruk, rasa lemah atau letih diikuti masalah tumpuan kerana terlalu memikirkan rasa resah, cemas dan risau yang sedang dialami juga antara gejala.

"Akibatnya, individu yang menghadapi gangguan mental ini sukar untuk tidur dan tidak dapat berfungsi dalam keadaan yang optimum. Keresahan yang terlampau teruk akhirnya menghancurkan dirinya dari dalam," katanya.

SENTIASA rasa penat dan ingin tidur juga antara simptom kecelaruan keresahan.
SENTIASA rasa penat dan ingin tidur juga antara simptom kecelaruan keresahan.

Katanya, dalam keadaan yang getir seperti ini, anda tidak seharusnya keseorangan dan terus tersiksa dalam diam.

"Bantuan pakar kaunseling berdaftar atau doktor pakar kesihatan mental perlu dicari untuk proses mengawal dan mengubati.

"Jika anda sendiri sedar bahawa keadaan mental anda semakin terganggu dek keresahan yang melampau hingga mengganggu kerja dan tugasan, hubungan famili serta persahabatan maka bantuan pakar berdaftar dan bertauliah perlu cepat dicari," katanya.

Jelasnya, bantuan pakar perlu dicari terutama apabila anda sudah berasakan diri anda tiada nilai. Perasaan atau tingkah laku membunuh diri adalah petanda bahawa kecelaruan keresahan sudah pun berada di tahap kronik.

"Dalam banyak kes, apabila sudah melarat seperti ini, rasa resah, cemas dan risau anda tidak akan hilang dengan sendirinya. Malah, keadaan mungkin menjadi bertambah buruk jika anda tidak meminta pertolongan pakar.

"Kalau pun keadaan anda tidak teruk, sekurang-kurangnya nasihat dan bantuan pakar yang bertauliah dan berdaftar dapat memberi anda lebih keyakinan untuk mengawal kecelaruan keresahan yang dihadapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:00 AM