BAJU sempena perkahwinan juga menjadi fokus.
BAJU sempena perkahwinan juga menjadi fokus.
Hafiz Ithnin


Bagi usahawan fesyen ini, meskipun terdapat jangkaan pasaran baju Melayu terutama dalam menyambut Aidilftri masih terkesan dengan pandemik Covid-19, namun sebenarnya pakaian itu masih mendapat sambutan.

Pemilik Rifalexclusive, Mohd Fekri Ahmad yang aktif menjual baju Melayu sejak 2016 melihat, lelaki masih mencari busana tradisional itu meskipun suasana sambutan Aidilfitri tahun ini tidak semeriah sebelum menularnya pandemik berkenaan.

Mohd Fekri berkata, perkara lebih penting dalam memastikan pakaian tradisional itu mampu dijual di pasaran adalah kemampuannya untuk menyediakan busana yang bukan sahaja menarik dipamerkan di media sosial, malah selesa untuk disarungkan.

"Pada tahun lalu, sememangnya perniagaan pakaian baju Melayu moden yang dikeluarkan kami agak terkesan kerana orang ramai tidak dapat pulang ke kampung meraikan bersama keluarga.

"Selain itu, aktiviti kunjung mengunjung juga tidak dapat dilakukan kerana kita masih ketika itu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Namun katanya, pada tahun ini pihaknya mengambil langkah berani dengan mengeluarkan 5,000 pasang baju Melayu moden yang mempunyai ciri-ciri mesra wuduk seperti zip pada lengan.

"Sejak Januari lalu, kami mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sehingga kini hanya tinggal sekitar 1,000 pasang.

"Perkara ini menunjukkan bahawa orang ramai terutama lelaki masih menginginkan baju Melayu yang mungkin tidak hanya dipakai pada musim perayaan, tetapi untuk menghadiri acara lain," katanya.

Mohd Fekri berkata, dari segi keselesaan juga tidak boleh diketepikan kerana lelaki pada hari ini menyarung busana itu dalam pelbagai acara yang mungkin memerlukan mereka untuk aktif bergerak.

BAJU Melayu perkahwinan disediakan oleh Mohd Fekri untuk pelanggan.
BAJU Melayu perkahwinan disediakan oleh Mohd Fekri untuk pelanggan.

"Justeru, kami memilih kain yang lebih mudah regang dan dalam masa sama tidak panas sesuai dengan cuaca di Malaysia.

"Bagi kami keselesaan paling dititik beratkan kerana ia menjadi faktor utama dalam perniagaan ini selain ia perlu tampak kemas," katanya.

Katanya, untuk koleksi pada tahun ini, dia menyediakan 15 warna pilihan kepada pembeli.

"Kami juga memfokuskan kepada jualan secara dalam talian dengan menjadikan media sosial sebagai platform utama kerana golongan sasar kami terdiri daripada mereka berusia 18 hingga 30 tahun.

"Jadi, platform pemasaran juga perlu tepat memandangkan pembeli seperti ini lebih aktif menggunakan media sosial dalam aktiviti membeli-belah," katanya.

Katanya, dia juga aktif mempromosikan busana itu bagi tujuan majlis perkahwinan dan tidak tertumpu untuk menyambut Aidilfitri sahaja.

"Jadi, apabila orang ramai membeli pakaian ini, mereka tidak hanya boleh memakainya untuk sambutan Aidilfitri, tetapi sesuai juga untuk menghadiri acara seperti majlis perkahwinan.

"Kami juga menawarkan pakaian untuk nikah. Jadi, ini antara yang boleh dilakukan dalam usaha meningkatkan kembali jualan selepas mengalami cabaran dalam era pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 9:50 AM