KEMANISAN rasa cinta begitu subjektif hingga mampu mengatasi fikiran logik dan rasional.
KEMANISAN rasa cinta begitu subjektif hingga mampu mengatasi fikiran logik dan rasional.
Hafiz Ithnin


MUNGKIN kita sudah biasa mendengar kata-kata, 'ketika bercinta segala-galanya indah.' Jika diminta terjun ke lautan api pun sanggup! Kerana segala-galanya 'dibutakan' akibat kemanisan rasa cinta yang begitu subjektif untuk dibincangkan.

Namun, adakah perlu bercinta sehingga buta dan menikmati sahaja keindahan itu tanpa perlu menilai perkara yang lain. Apatah lagi, jika ia berlaku dalam kalangan individu yang masih muda.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, pakar psikoterapi Dr Marni Feuerman menerangkan bahawa tubuh manusia mengalami perubahan fizikal ketika jatuh cinta.

Jelasnya, pertambahan hormon mendadak membuatkan seseorang merasai kegembiraan yang teramat. Bahan-bahan kimia ini kemudiannya mengatasi pemikiran logik dan rasional serta boleh menyebabkan anda melakukan perkara yang tidak masuk akal serta membawa kemudaratan.

"Kesan yang sama boleh dilihat jika kita mengambil dadah atau ubat-ubatan psikotropik, maka tidak hairanlah jika cinta mampu merosakkan masa depan seseorang.

"Fakta ini diperkukuhkan dengan penyelidikan Dr Henk van Steenbergan dan pasukan saintifiknya dengan merumuskan bahawa cinta yang baharu berputik atau rasa hangat bercinta akan mengurangkan daya kognitif kita buat sekian lamanya," katanya.

HUBUNGAN cinta yang tidak bijak untuk meletakkan di tempat yang betul boleh membawa keburukan.
HUBUNGAN cinta yang tidak bijak untuk meletakkan di tempat yang betul boleh membawa keburukan.

Dr Airil berkata, realiti hidup anak muda hari ini agak menyukarkan usaha untuk melindungi remaja perempuan dan wanita muda.

"Di media sosial misalnya, pesanan supaya kaum Hawa berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa jenayah seksual dilihat menekan hak-hak asasi wanita.

"Golongan ini mahu lelaki bertanggungjawab apabila mereka menipu wanita dan melakukan jenayah seksual, atas nama kasih dan cinta," katanya.

Katanya, pastinya, kaum Adam yang cuba mengambil kesempatan atas kelemahan wanita dan memperdayakan wanita, mereka ini harus dibanteras, ditangkap serta dihukum dengan berat.

"Mereka tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan perlu diasingkan daripada komuniti dan masyarakat. Pada masa yang sama, remaja dan wanita muda juga perlu berfikir dengan matang selain selalu berhati-hati kerana di luar sana banyak buaya darat.

"Tiada salahnya jika seorang wanita ingin dicintai dan mencintai sepenuh hatinya. Malah, perasaan yang membara itu memberi kekuatan dalaman dalam menjalani hidup sehari-hari," katanya.

Tambahnya, kasih dan sayang, adalah ramuan ampuh yang melonjakkan kekuatan dalaman diri seseorang ke tahap tertinggi.

BERCINTA mempunyai manis dan pahit dalam menikmatinya.
BERCINTA mempunyai manis dan pahit dalam menikmatinya.

"Masalahnya, bukan setiap ayat cinta, kasih dan sayang itu dituturkan dengan ikhlas bersama niat yang baik. Ada lelaki gemar menggunakan kata-kata manis semata-mata untuk mengambil kesempatan terhadap wanita. Mereka ini tidak malu 'makan' hasil pendapatan wanita atau melakukan jenayah seksual.

"Atas sebab ini, lelaki perlu ditegah daripada melakukan perkara buruk terbabit dan dihukum dengan seberat-beratnya.

"Wanita pula perlu membezakan antara madu, racun, berlian dan yang mana kaca.

"Musim bercinta memang mengasyikkan tetapi rasa gembira akan cepat menjadi duka dan lara apabila menjadi mangsa penipuan, penderaan dan lain-lain," katanya.

Katanya, sebelum seorang wanita mula bercinta dan terus mempercayai pasangannya, wanita itu perlu terlebih dahulu belajar menyayangi dan menghargai diri sendiri. Ini kerana tidak ada yang lebih berharga daripada dirinya.

"Inilah daya kekuatan dalaman yang perlu dibina dalam diri setiap wanita khasnya dan juga lelaki. Hargai dan sayangi diri sepenuhnya agar diri terlindung dan terselamat daripada berbuat hal-hal yang salah lagi keji.

"Sedari juga bahawa kata-kata manis tidak semestinya mempunyai makna yang kekal atau boleh menjamin kebahagiaan sejati," katanya.

TERPERDAYA dengan ayat-ayat manis ketika berkenalan di media sosial adalah perkara biasa berlaku.
TERPERDAYA dengan ayat-ayat manis ketika berkenalan di media sosial adalah perkara biasa berlaku.

Pakar psikologi itu menambah, dalam mencari hiburan atau sekadar berseronok bersama teman-teman, seorang wanita mesti aktifkan mindanya yang cerdas agar tidak mudah terperdaya oleh orang lain.

"Orang tua-tua selalu berpesan agar membawa diri dengan baik dan sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling.

"Seorang wanita yang dijemput teman lelaki ke rumah sewanya pada malam hari ketika rakan-rakan serumah lelaki itu tiada, apakah agaknya yang sedang bermain dalam minda lelaki itu?" katanya.

Katanya, perilaku kita dalam menjalani hidup seharian perlu dikawal dengan positif agar anasir jahat dapat dielakkan seterusnya dijauhi.

Katanya, bercinta tidaklah salah. Malah rasa cinta, kasih dan sayang adalah perasaan yang menjadikan diri kita benar-benar merasai bahagia. Yang salah adalah cinta yang memperdayakan, mempergunakan dan membawa penyesalan.

"Itu bukan cinta namanya. Itu dusta dan pura-pura yang bakal membawa celaka kepada wanita muda kalau tidak hari ini mungkin sembilan bulan lagi. Ketika itu nanti, seperti kata pepatah Melayu, nasi sudah menjadi bubur.

"Tidak semua yang kita dengar, lihat dan tahu penuh dengan keindahan yang membawa kebahagiaan. Dewasa ini khasnya, wanita muda dan lelaki muda perlu berhati-hati dalam melayan perasaan sendiri," katanya.

RASA cinta boleh diakhiri sehingga ke fasa perkahwinan jika ia diletakkan di tempat yang betul.
RASA cinta boleh diakhiri sehingga ke fasa perkahwinan jika ia diletakkan di tempat yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:40 AM