BERSAMA arca yang dihasilkan sempena pameran Jarak baru-baru ini
BERSAMA arca yang dihasilkan sempena pameran Jarak baru-baru ini
Muhamaad Razis Ismail

"Keputusan berhenti sebagai pensyarah sepenuh masa adalah perkara yang agak 'gila' pernah saya lakukan pada ketika itu," kata pengarca seramik, Umibaizurah Mahir @ Ismail.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menyesal dengan keputusan itu kerana minat untuk mendalami dan memartabatkan seni arca seramik mengatasi segalanya.

Ibu kepada dua anak ini berjaya membuktikan seni bukan lagi dianggap sekadar hobi malah boleh menjadi profesion.

Sebagai antara pelopor dalam bidang seni arca seramik moden kontemporari negara, dia berjaya menempa nama di dalam dan luar negara kerana kelainan serta keunikan karya yang diketengahkan.

Kini, dia yang kerap bekerjasama mengadakan pameran bersama galeri Art Seasons Gallery di Singapura yang mempromosikan karyanya di luar negara.

Jadi tidak hairanlah hampir setiap tahun dia akan membuat pameran di luar negara untuk memenuhi jemputan pameran besar di sana.

Berbekalkan kepakaran dan pengalaman yang luas, dia dilantik sebagai penilai luar di salah sebuah universiti di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

SERTAI bengkel seramik di Jerman pada 2018.
SERTAI bengkel seramik di Jerman pada 2018.

MENYIAPKAN karya sempena pameran Jarak
MENYIAPKAN karya sempena pameran Jarak

Umibaizurah berkata, karier sebagai pengarca seramik 'sepenuh masa' semakin rancak selepas dia berhenti sebagai pensyarah pada tahun 2005.

Katanya, pada ketika itu dia sudah hampir lima tahun bertugas sebagai pensyarah sepenuh masa di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Keputusan itu boleh dianggap tindakan berisiko tinggi kerana pada pertengahan 2000, platform berpameran masih kurang dan peluang artis sepenuh masa untuk terus bertapak masih samar serta tidak mudah berbanding sekarang.

"Bagaimanapun, nurani saya memberontak untuk keluar daripada zon selesa selain berperang dengan kekangan masa bagi menghasilkan karya yang boleh memberi kepuasan kepada diri sendiri. Jadi saya nekad berhenti," ketika ditemui di kediamannya di Patisatustudio di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, sejak itu, diatidak menoleh ke belakang dan meneruskan karier sebagai pengarca seramik sepenuh masa.

"Pada 2007, Patisatustudio siap dibina atas inisiatif saya dan suami, Ahmad Shukri Mohamed bukan sahaja menjadi ruang untuk menghasilkan karya malah menjadi tempat pertemuan ilmu, diskusi, rujukan dan inkubator melahirkan artis muda di bawah studio ini," katanya.

PAMERAN solo di Singapura.
PAMERAN solo di Singapura.

Dia sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk menambah ilmu dan pendedahan seni dengan menyertai residensi dan bengkel di luar negara.

"Menerusi inisiatif ini, saya dapat mendalami pelbagai ilmu kesenian, melebarkan rangkaian artis dan membuka minda berkenaan seni seramik, di mana industri serta keterbukaannya yang sudah jauh ke depan," katanya.

Jelasnya, realitinya untuk sampai ke tahap sekarang bukan satu perkara yang mudah dan ia menuntut banyak kefahaman serta pengorbanan.

"Sebagai wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga, ia menuntut komitmen tinggi dan saya bersyukur keluarga sangat memahami serta menyokong.

"Setiap karya yang dihasilkan mengambil masa yang lama untuk disiapkan, kadang kala setahun hingga dua tahun kerana membabitkan banyak proses termasuk kajian idea, kajian bahan mentah, pembentukan, penghasilan warna dan seterusnya pembakaran.

ANTARA koleksi arca seramik terawal yang dihasilkan
ANTARA koleksi arca seramik terawal yang dihasilkan

ARCA menarik dan unik di kediaman Umibaizurah
ARCA menarik dan unik di kediaman Umibaizurah

"Namun dengan minat yang dilengkapi ilmu, percaya, berusaha dan perlu rajin, semuanya akan dipermudahkan," katanya.

Katanya, karya dihasilkan selalunya berkait rapat dengan isu semasa pada ketika itu dan mahu melihat impak seni itu dapat berinteraksi dengan masyarakat pada masa akan datang.

Dia melihat dalam tempoh 10 tahun ini penerimaan masyarakat di negara ini terhadap seni semakin meningkat.

"Banyak galeri, sekolah seni, dan platform seni diadakan atas inisiatif artis, selain kewujudan ramai artis baru tampil ke hadapan.

"Kita juga dapat lihat banyak karya-karya seni dihasilkan oleh kelompok bukan orang seni," katanya.

BANYAK meluangkan masa di bengkelnya di patisatudio
BANYAK meluangkan masa di bengkelnya di patisatudio

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:01 AM