PERBUATAN mengorek hidung dalam kalangan kanak-kanak mampu mengundang risiko masalah kesihatan. - FOTO Google
PERBUATAN mengorek hidung dalam kalangan kanak-kanak mampu mengundang risiko masalah kesihatan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


KANAK-KANAK yang suka mengorek hidung dianggap perkara biasa tetapi sebagai ibu bapa dan penjaga anda perlu memastikan ia tidak menjadi tabiat si kecil kerana perbuatan itu berisiko memberi mudarat kepada mereka.

Perkara itu dijelaskan Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Aviesena Specialist Hospital Dr Iqbal Farim Rizal Wong yang memaklumkan kanak-kanak yang gemar mengorek hidung boleh mendapat jangkitan kuman di dalam hidung.

Katanya, perkara itu boleh berlaku sekiranya salur darah di dalam lubang hidung pecah atau luka akibat si kecil gemar menggoreknya.

"Rasa gatal atau kurang selesa di dalam lubang hidung boleh terjadi atas beberapa faktor seperti alahan atau lendiran di dalam hidung yang banyak dan mengeras yang biasanya kita panggil sebagai tahi hidung.

"Lendiran itu berlaku kerana selesema, alahan atau terdapat jangkitan sinus. Untuk mengetahui sama ada lendiran itu dijangkiti atau tidak dengan melihat warnanya iaitu bukan jernih tetapi kuning atau hijau," katanya.

Jelasnya, lebih membimbangkan jika jari kanak-kanak dalam keadaan tidak bersih dan memasukkan ke dalam lubang hidung lebih mudah mendapat penyakit lain.

"Lubang hidung antara bahagian yang penting bagi memastikan tidak berlaku jangkitan pada permukaan dalam hidung dan juga rongga sinus.

"Sekiranya kanak-kanak atau orang dewasa sekali pun mengorek hidung mereka tanpa peka kepada tahap kebersihan jari atau alat yang digunakan, ia pasti boleh memberi risiko kepada hidung dan salur pernafasan. Apatah lagi ketika ini, penularan pandemik Covid-19 masih belum menemui penyelesaiannya," katanya.

Dr Iqbal berkata, sebaik-baiknya hidung kanak-kanak perlu dibersihkan menggunakan semburan air garam atau basahkan putik kapas dengan air biasa dan dibersihkan di dalam lubang hidung dengan berhati-hati.

KEROSAKAN dalam hidung akibat bateri.
KEROSAKAN dalam hidung akibat bateri.

BENDA asing ditemui di dalam badan kanak-kanak kerana tertelan yang dikongsikan
BENDA asing ditemui di dalam badan kanak-kanak kerana tertelan yang dikongsikan

"Meskipun membersihkan lubang hidung kanak-kanak boleh dilakukan di rumah tetapi ibu bapa atau penjaga perlu memastikan putik kapas tidak dimasukkan terlalu dalam kerana khuatir, ia boleh menyebabkan kecederaan pada dalam hidung.

"Apabila berlaku luka di dalamnya, boleh mendatangkan masalah kesihatan hidung yang lain kerana ia berisiko terdedah dengan jangkitan kuman," katanya.

Pakar itu turut melarang perbuatan kanak-kanak yang memakan tahi hidung kerana ia adalah kotor dan lendir keras berkenaan mengandungi kuman.

"Meskipun terdapat andaian yang mengatakan memakan tahi hidung boleh memberi kebaikan kepada manusia tetapi ia belum ada bukti yang kukuh malah dianggap mengarut," katanya.

Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga turut perlu memastikan kanak-kanak terutama berusia tiga hingga lima tahun tahun tidak terdedah bahan yang kecil yang dimasukkan ke dalam hidung mereka seperti bateri butang.

Jelasnya, bateri butang yang kecil dan muat untuk masuk ke dalam lubang hidung kanak-kanak boleh memberi kesan yang amat merbahaya.

"Bateri butang ini sekiranya termasuk ke dalam lubang hidung, ia akan menyebabkan kebocoran pada tulang hidung dan rawatannya amat rumit. Kesan bateri butang kepada hidung ini akan terserlah dalam beberapa jam sahaja.

"Lebih parah lagi, jika tulang hidung mengalami kerosakan yang teruk, hidung boleh 'jatuh' dan menjadi jelik," katanya.

PASTIKAN si kecil bermain dengan alat permainan yang tidak mudah dimasukkan
PASTIKAN si kecil bermain dengan alat permainan yang tidak mudah dimasukkan

Lebih membimbangkan, katanya, jika butang bateri itu dimasukkan ke dalam mulut kanak-kanak boleh mengakibatkan kerosakan organ seperti kebocoran pada usus dan salur makanan.

"Tidak sekadar itu, jika butang bateri termasuk di dalam paru-paru, ia akan menyebabkan paru-paru kanak-kanak itu bocor dan ia pasti menyebabkan mereka mengalami masalah yang amat serius," katanya.

Pakar itu menasihatkan, jika kanak-kanak didapati memasukkan sesuatu ke dalam lubang hidung atau termakan benda asing, segera dibawa ke hospital.

"Macam-macam benda asing kecil boleh dimasukkan ke dalam hidung, termasuk benda yang organik seperti bahan makanan dan bahan bukan organik seperti bebola plastik.

Salah satu petanda ada benda asing dalam hidung kanak-kanak ialah hidung anak itu akan menjadi busuk dan bernanah pada sebelah hidung sahaja. Jika berlaku demikian, segeralah berjumpa pakar ENT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:00 AM