NURUL bersama sebahagian menu Pop Meals.
NURUL bersama sebahagian menu Pop Meals.
Muhamaad Razis Ismail


DALAM menjalani kehidupan norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19, ramai yang lebih selesa untuk berada di rumah.

Memikirkan keadaan yang masih tidak menentu, ramai lebih gemar membuat pesanan makanan secara dalam talian berbanding makan di luar.

Bagaimanapun, pilihan makanan yang banyak pasti memeningkan pengguna memilih yang terbaik pada harga yang berpatutan.

Menyedari dilema yang dihadapi pengguna itu, Pop Meals tampil dengan kelainan menawarkan pelbagai makanan menarik, mudah didapati dan harga berpatutan.

Menariknya, Pop Meals memberi kuasa veto kepada pelanggannya untuk menentukan menu terbaik.

MENU mendapat undian tertinggi turut dipaparkan di hadapan premis.
MENU mendapat undian tertinggi turut dipaparkan di hadapan premis.

Pengurus Komunikasinya, Nurul Jamaludin berkata, pengguna tidak perlu bimbang kerana menu yang ditawarkan di Pop Meals berdasarkan konsep carta popular.

Katanya, setiap menu dipengaruhi undian pelanggan di aplikasi Pop Meals yang sering berubah setiap minggu.

"Kami menggunakan sistem algoritma pintar berdasarkan penilaian dan momentum penjualan.

"Jadi sekiranya menu itu disukai ramai dan banyak undian, menu itu akan berada di dalam carta 20 makanan popular yang disukai pelanggan manakala menu yang tidak diminati secara automatik akan turun dan akhirnya terkeluar daripada carta.

"Malah pelanggan juga boleh mencadangkan menu yang diinginkan untuk masukkan ke dalam carta terbabit dan setiap bulan paling kurang kita perkenalkan dua menu baru," katanya ketika ditemui di cawangan Pop Meals di Cyberjaya baru-baru ini.

PELANGGAN juga boleh menikmati hidangan di cawangan Pop Meals.
PELANGGAN juga boleh menikmati hidangan di cawangan Pop Meals.

Antara menu yang mendapat sambutan termasuk Golden Salted Egg Butter Chicken, Super Creamy Mac & Cheese dan Pesto Pasta.

Menurutnya, setakat ini pelanggan memberi maklum balas positif dengan konsep yang pertama diperkenalkan di negara ini.

"Buktinya, pelanggan sangat aktif memberikan kritikan membina, nasihat positif melalui sistem maklum balas kami.

"Maklum balas ini sangat penting bagi kami membaiki mutu makanan dan perkhidmatan," katanya.

Jelasnya, bagi memastikan kualiti makanan sentiasa pada tahap terbaik, pihaknya turut memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang besar.

"Pasukan R&D kami membina menu yangg ditentukan pelanggan.

"Kami juga menambah baik menu yang sedia ada berdasarkan sistem maklum balas dan data asli yg diperolehi setiap hari," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, pihaknya merancang untuk membuka 50 cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

"Setakat ini kita memiliki dua premis di Cyberjaya dan Sunway," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:18 AM