TIDUR yang mencukupi menjadi salah satu cara untuk menyegarkan mata.
TIDUR yang mencukupi menjadi salah satu cara untuk menyegarkan mata.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DALAM kita sibuk menjaga kecantikan wajah, mata juga seharusnya diberikan penjagaan sempurna. Ia adalah pancaindera penting dan anugerah yang sangat berharga.

Untuk kecantikannya, anda tidak perlu bazirkan banyak duit untuk mendapatkan mata yang segar.

Apa yang perlu hanyalah beberapa keping hirisan timun dan diletak pada kelopak mata seketika bagi mengembalikan kesegaran mata .

Selain itu, uncang teh (yang sudah digunakan) juga boleh diletakkan pada mata selama 10 hingga 15 minit bagi mengembalikan kesegaran selepas seharian bekerja.

Bagi yang gemar bersolek, pastikan solekan pada mata dicuci dengan bersih sebelum tidur.

Gunakan kapas atau tisu lembut dengan penanggal mekap yang sesuai dan selamat untuk menanggalkan solekan di sekeliling mata.

Elakkan menggosok dengan kuat kerana dikhuatiri dapat mencederakan mata atau mekap memasuki mata.

Untuk menjaga kesihatan mata pula, berikut beberapa langkah yang boleh digunakan dan ia juga mudah untuk dipraktikkan:

LOBAK dan brokoli baik untuk penjagaan mata.
LOBAK dan brokoli baik untuk penjagaan mata.

1) Sayur-sayuran hijau

Umum mengetahui bahawa sayuran hijau sememangnya kaya dengan vitamin dan nutrisi yang baik untuk kesihatan.

Ia juga mengandungi antioksidan yang tinggi terutamanya sayur-sayuran hijau.

Antioksidan yang terdapat di dalam sayur-sayuran mampu membekal nutrisi ke seluruh badan dan juga mata.

2) Pemakanan yang betul

Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan dan dapat mencegah daripada penyakit mata.

Pastikan makanan seharian yang anda ambil sedikit sebanyak dapat memberi nutrisi penting bagi mengekalkan kesihatan mata.

Amalan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin A dan C seperti susu, sayur (terutama lobak dan brokoli) dan buah-buahan (terutama aprikot dan anggur) dan sebagainya.

3) Tidur yang Mencukupi

Sudah pastinya tidur yang mencukupi menjadi salah satu cara untuk menyegarkan mata.

Ini kerana apabila kita mendapat tidur yang cukup, badan akan mengembalikan semula tenaga digunakan seharian untuk bekerja.

Selain itu, mata juga dapat berehat dan mengelakkan kelesuan.

4) Jarak ketika membaca

Ketika membaca, pastikan membaca pada jarak antara 30 hingga 40 sentimeter dari buku ke mata.

Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus sekali gus boleh mengakibatkan sakit kepala.

5) Elakkan membaca ketika dalam kenderaan bergerak

Membaca ketika berada di dalam kenderaan bergerak dan keadaan jalan yang bengkang-bengkok serta berbonggol boleh menyebabkan sakit kepala selain mabuk.

Ia kerana keupayaan mata untuk memfokus menjadi tidak stabil ketika membaca.

6) Pencahayaan

Pastikan pencahayaan yang digunakan tidak terlalu malap atau terlalu terang ketika membaca kerana akan mengganggu keselesaan dan kesihatan mata.

7) Senaman untuk mata

Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda kemudian beransur-ansur melihat pula objek yang lebih jauh, sejauh yang mungkin.

Selepas itu lihat semula objek yang berdekatan anda. Ulangi proses ini beberapa kali.

Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin, berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah. Ulangi proses ini beberapa kali.

Selepas satu hingga dua jam berada di hadapan komputer, berhenti sekejap dan lihat objek berwarna hijau di luar rumah atau pejabat anda, seperti pokok dan sebagainya.

Warna hijau akan dapat menenangkan dan merehatkan mata anda.

8) Gunakan cermin mata keselamatan

Sekiranya pekerjaan anda terdedah kepada bahaya dan kecederaan pada mata seperti menggerudi, memesin rumput dan sebagainya, pastikan memakai cermin mata keselamatan (safety glasses atau protective goggles).

Ia bagi melindungi mata daripada bahaya dan kecederaan.

 LAKUKAN pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali.
LAKUKAN pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali.

9) Pemeriksaan mata berkala

Lakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnyasetahun sekali bagi memastikan tahap penglihatan dan kesihatan mata asentiasa berada dalam keadaan baik.

Dapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mempunyai masalah seperti mata merah, kesakitan teruk pada mata, penglihatan kabur, terdapat benda asing di dalam mata dan mengalami kecederaan pada mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:12 AM