AMALKAN seks yang selamat bagi mengelakkan jangkitan.
AMALKAN seks yang selamat bagi mengelakkan jangkitan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


VIRUS papilloma manusia (HPV) adalah sejenis virus yang berjangkit melalui aktiviti seksual.

Walaupun kebanyakan jenis HPV tidak membahayakan namun terdapat beberapa jenis yang diketahui boleh menyebabkan kanser tertentu seperti kanser serviks, anus, orofarinks dan jangkitan pada kemaluan lelaki.

Di Malaysia, kanser serviks atau pangkal rahim adalah kanser ketiga yang kerap berlaku dalam kalangan wanita muda selepas kanser ovari dan payudara.

Pakar Kesuburan yang juga Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Ashley Chung Soo Bee berkata, terdapat 40 jenis HPV genital dan majoriti daripada strain itu tidak menyebabkan masalah besar dengan hanya jangkitan HPV berisiko rendah yang biasanya sembuh dalam masa beberapa bulan tanpa memerlukan sebarang intervensi.

Namun kata Dr Ashley, terdapat 14 jenis HPV yang diklasifikasikan sebagai onkogenik dan dikaitkan dengan kanser anogenital.

Katanya, melalui pengalaman dengan pesakit dan penyelidikan yang dijalankan, pihaknya menyedari bahawa kanser serviks adalah disebabkan oleh jangkitan HPV onkogenik untuk satu jangka panjang atau berlanjutan.

"HPV disebarkan secara seksual dan ia juga boleh disebarkan dari seseorang kepada seseorang yang lain melalui kontak genital kulit ke kulit.

"Virus ini boleh menjejaskan kesihatan lelaki dan wanita secara berlainan dan orang ramai dinasihatkan supaya segera berjumpa doktor jika mengalami beberapa simptom klinikal tertentu seperti pendarahan vagina yang abnormal, discaj vagina yang luar biasa, pendarahan postcoital (pendarahan selepas seks), pendarahan selepas menopaus atau hubungan seks yang menyakitkan.

VAKSIN HPV secara percuma kepada semua gadis 13 tahun.
VAKSIN HPV secara percuma kepada semua gadis 13 tahun.

"Ini kerana ia mungkin adalah kanser atau keadaan berkanser," katanya.

Jelas Dr Ashley lagi, dalam hal itu, adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan dan saringan seperti pap smear terutama bagi yang berumur 25 hingga 65 tahun dan aktif dari segi seksual.

Katanya, saringan rutin seperti pap smear adalah untuk pengesanan awal perubahan sel serviks, memandangkan ia boleh memberi indikasi berlaku jangkitan HPV dan dalam tempoh panjang mungkin berkembang menjadi kanser serviks.

"Jika terdapat perubahan sel dalam pap smear (keputusan pap smear yang abnormal), langkah susulan atau intervensi lanjut mungkin diperlukan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan dari SMCV, Dr Nor Elyana Noordin berkata, sebaik sahaja jangkitan dikenal pasti, terdapat pelbagai cara untuk menambah baik kesihatan diri.

Katanya, menghindari dari aktiviti seksual adalah cara terbaik untuk mengelakkan sebarang bentuk jangkitan, namun ia bukan cara paling realistik.

"Jika anda adalah aktif dari segi seks, terdapat cara untuk merendahkan peluang anda daripada dijangkiti atau menyebarkan HPV.

"Pertamanya, adalah mendapatkan vaksin HPV dan ketika ini ia diberikan di sekolah awam bagi mereka yang berumur 13 tahun.

"Selain itu, amalkan seks yang selamat dan gunakan kondom ketika mengadakan hubungan seks vagina, anal atau oral untuk mengelakkan penyebaran jangkitan," katanya.

AMALAN gaya hidup sihat kunci kesihatan dan kesejahteraan kehidupan.
AMALAN gaya hidup sihat kunci kesihatan dan kesejahteraan kehidupan.

Menurut Dr Nor Elyana, vaksin HPV tidak melindungi seseorang daripada jangkitan HPV yang sedia ada pada masa pemvaksinan itu dijalankan, tetapi boleh mengurangkan kejadian ketumbuhan genital dan perkembangan kanser serviks dan lain-lain kanser yang berkaitan.

Namun kata beliau, tiada saringan yang boleh dilakukan untuk lelaki pada ketika ini.

Justeru kata Dr Nor Elyana, adalah penting untuk memantau kesihatan dan kesejahteraan diri dan mendapatkan bantuan pakar jika terdapat luka yang luar biasa seperti ketumbuhan, gumpalan atau luka pada kemaluan, skrotum, anus, mulut atau tekak.

"Begitupun, ramai yang malu apabila berhadapan isu sebegini selain stigma negatif yang berkait dengannya.

"Jadi, mereka hanya akan pergi ke hospital atau klinik apabila simptom itu menjadi tidak tertahan lagi atau apabila ketumbuhan itu meningkat dari segi saiz dan menjejaskan lebih banyak kawasan.

"Sepatutnya, jangan malu untuk mendapatkan nasihat perubatan yang sewajarnya memandangkan masalah itu adalah biasa selain semua perundingan dengan doktor adalah sulit dan persendirian," katanya.

Sementara itu, terdapat pelbagai jenis rawatan yang digunakan untuk merawat jangkitan virus itu, namun mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah kunci untuk kesihatan dan kesejahteraan kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:01 AM