TERDAPAT golongan dewasa yang masih memiliki bantal busuk.
TERDAPAT golongan dewasa yang masih memiliki bantal busuk.
Muhamaad Razis Ismail


BANTAL atau selimut busuk dan kanak-kanak memang sukar dipisahkan.

Ke mana sahaja pergi, umpama isi dan kuku, bantal busuk akan sentiasa berada di sisi sebagai peneman.

Walaupun bertukar warna dan berbau selepas digunakan sekian lama, ia tetap menjadi pilihan utama kepada pemiliknya.

Jika pulang ke kampung atau melancong, bantal busuk anak perlu dimasukkan dalam senarai barang yang wajib dibawa.

Sekiranya 'barang berharga' itu tertinggal, maka bersedia untuk berdepan 'mood' bercuti anak yang terjejas gara-gara merindui bantal busuknya.

Malah, tidak boleh dinafikan ada juga segelintir orang dewasa yang masih memerlukan bantal busuk untuk tidur lena.

Ibu bapa mungkin tidak sedar mengenai impak positif yang diberi oleh objek transisi seperti ini kerana ia boleh memberi ketenangan kepada anak.

Jadi, bukan satu kesalahan memiliki bantal busuk namun perlu diingat kebersihan perlu dijaga untuk mengurangkan risiko jangkitan dan alahan.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil berkata, kanak-kanak sukakan bantal, selimut atau mainan tertentu kerana ia menenangkan serta meralitkan mereka.

PATUNG mainan lembut dapat kurangkan ketakutan anak.
PATUNG mainan lembut dapat kurangkan ketakutan anak.

"Apabila mereka rasa tertekan atau takut, mereka akan mencari dan memeluk bantal atau selimut kegemaran mereka sebagai peneman.

"Lama-kelamaan, mereka akan hanya bergantung pada satu selimut atau bantal dan kadangkala tidak membenarkan bantal atau selimut itu dibasuh," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang bertugas di Klinik Pakar Kanak-Kanak Junina berkata, terdapat kajian menunjukkan bantal atau selimut busuk tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

"Ia bukan petanda yang kanak-kanak itu ada masalah hubungan dengan ibu mereka.

BOLEH sebabkan jangkitan penyakit termasuk selesema.
BOLEH sebabkan jangkitan penyakit termasuk selesema.

"Sebaliknya, kain atau bantal busuk hanya objek transisi dalam kehidupan kanak-kanak itu," katanya.

Mengulas lanjut, penggunaan bantal atau selimut busuk yang tidak dibersih boleh memberi kesan terhadap kesihatan anak.

"Bantal atau selimut busuk yang dibawa merata-rata dan tidak dibersihkan boleh menjadi punca jangkitan serta alahan.

"Selain itu, sekiranya dibiarkan kotor dan berhabuk, ia mungkin menyebabkan ruam pada muka, batuk serta selesema," katanya.

Jelasnya, sekiranya anak mempunyai bantal atau selimut istimewa, pastikan ia dibasuh atau dijemur selalu.

EMOSI boleh terjejas jika gunakan kekerasan untuk pisahkan anak dengan bantal busuknya.
EMOSI boleh terjejas jika gunakan kekerasan untuk pisahkan anak dengan bantal busuknya.

"Jangan biarkan sehingga menjadi kotor atau busuk. Mungkin boleh disediakan kain atau bantal pengganti supaya mereka tidak hanya bergantung kepada satu barang.

"Sesetengah kanak-kanak ada mainan lembut yang memainkan peranan yang sama seperti bantal atau kain busuk. Mainan ini juga perlu dibersihkan selalu," katanya.

Ibu bapa dinasihatkan memisahkan bantal busuk dengan anak secara berperingkat dan tidak menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan emosi anak.

"Malah, ibu bapa boleh tetapkan peraturan apabila ia hanya boleh digunakan di rumah dan tidak boleh dibawa keluar.

"Kemudian, apabila anak sudah besar, hadkan penggunaannya hanya dalam bilik tidur.

"Lama-kelamaan mereka mungkin akan simpan kain dan bantal busuk sebagai kenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 7:01 AM