KRIM pelindung matahari melindungi dan menyerap cahaya. - FOTO Google
KRIM pelindung matahari melindungi dan menyerap cahaya. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


BEKERJA dari rumah sudah menjadi trend selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Banyak syarikat mengambil pendekatan ini untuk mengekang penularan pandemik berkenaan dalam kalangan pekerja.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari biarpun bekerja di rumah, krim pelindung matahari (sunblock) masih perlu dipakai.

Hal ini kerana, sinaran ultraviolet (UV) yang tinggi daripada cahaya matahari yang tidak

baik kepada kesihatan masih boleh menembusi tingkap rumah.

Selain itu, penggunaan gajet termasuk komputer riba, telefon pintar dan sebagainya dalam tempoh lama turut boleh memberi kesan kepada kesihatan kulit.

Akibatnya, mereka boleh mengalami pelbagai masalah kulit termasuk kulit terbakar (sunburn), pigmentasi dan paling teruk kanser kulit.

Pakar Estetika, Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh berkata, ramai yang masih beranggapan pemakaian krim tabir suria (sunscreen) dan pelindung matahari hanya untuk keluar ke pantai.

Katanya, stigma salah ini masih membelenggu masyarakat sehingga ramai yang mengabaikan kepentingan krim ini.

CAHAYA dari komputer boleh menyebabkan penuaan. - FOTO Google
CAHAYA dari komputer boleh menyebabkan penuaan. - FOTO Google

"Negara kita berada dalam iklim khatulistiwa yang panas dan hujan sepanjang tahun.

"Oleh itu, pemakaian krim pelindung matahari sangat penting kerana matahari mengandungi sinaran UV.

"Ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah kulit seperti kulit terbakar, jeragat dan penuaan atau lebih serius kanser kulit, sekiranya terdedah dalam tempoh yang lama.

"Malah, dalam keadaan cuaca redup pemakaian krim pelindung matahari tetap perlu diteruskan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, krim pelindung matahari bertindak sebagai pelindung kulit daripada terkena sinaran UV secara terus.

"Perlu kita ketahui bahawa sinaran UVB yang mempunyai gelombang yang pendek memiliki tenaga yang tinggi dan boleh memberi kesan kepada kulit.

"Penggunaan krim pelindung matahari kulit tidak organik (fizikal) boleh memantulkan kembali sinaran UV dan jenis organik (kimia) mampu menyerap cahaya dan menukar menjadi tenaga tidak bahaya," katanya.

Mengulas lanjut, biarpun kini ramai yang bekerja dari rumah, penggunaan krim pelindung matahari masih perlu dititik beratkan.

"Apabila berada di rumah, sinaran UVA yang mempunyai gelombang lebih panjang masih boleh menembusi tingkap rumah atau terpantul daripada cermin, air dan sebagainya yang boleh beri kesan kepada kulit.

"Sinaran ini tidak panas namun boleh masuk dalam kulit dan mengakibatkan kulit menjadi gelap, pigmentasi dan berkedut," katanya.

Selain itu, penggunaan daripada peranti seperti komputer riba, televisyen dan telefon pintar juga boleh memberi kesan kepada kulit.

SINARAN UV dari matahari boleh beri kesan kepada kulit. - FOTO Google
SINARAN UV dari matahari boleh beri kesan kepada kulit. - FOTO Google

"Cahaya ini boleh menembusi ke dalam lapisan kulit, sekali gus mempercepat degradasi kolegen kulit muka yang menyebabkan kita nampak lebih tua. Kajian menunjukkan cahaya ini boleh menyebabkan pigmentasi kepada kulit jenis gelap.

"Oleh itu, adalah penting memakai pelindung matahari yang mengandungi zink oksida atau titanium dioksida untuk melindungi kulit daripada 'blue light'," katanya.

Tambahnya, kesedaran masyarakat masih rendah berkenaan pemakaian krim pelindung matahari ini yang terhad untuk ke pantai sahaja.

"Sebaliknya apabila berada di rumah, pemakaian krim ini juga amat penting. Jangan hanya selepas perlu kembali bekerja di pejabat, kita terpaksa keluarkan kos besar untuk merawat kulit bermasalah," katanya.

Beliau berharap, pemakaian krim pelindung muka perlu dididik sejak kecil.

"Krim ini ini sepatutnya dijadikan sebagai produk penjagaan kulit yang perlu diutamakan berbanding produk kosmetik lain.

"Boleh ke klinik berhampiran untuk dapatkan nasihat daripada profesional untuk kenal pasti krim pelindung muka yang bersesuaian dengan kulit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:00 AM