PENGHASILAN barang kemas memerlukan penelitian.
PENGHASILAN barang kemas memerlukan penelitian.
Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baharu sahaja mencecah 23 tahun namun sudah berjaya menempa nama sehingga peringkat antarabangsa dalam rekaan barang kemas.

Apa tidaknya, Nur Fatihah Hassan pada Ogos tahun lalu menjadi satu-satunya wanita yang mewakili negara ke Pertandingan Worldskills di Kazan, Rusia dalam kategori pembuatan barang kemas.

Terdahulu, pada Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia 2018, dia memenangi pingat gangsa, sekali gus melayakkannya mewakili negara ke Rusia.

Atas pencapaian cemerlangnya itu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini dianugerahkan Ikon Institut Kraf Negara (IKN) 2019.

Jadi tidak hairan, selepas menamatkan pengajian dia terus bekerja di sebuah syarikat barangan kemas terkemuka negara sebelum berhenti untuk fokus kepada latihan sebagai persediaan pertandingan di Rusia.

Kini, Nur Fatihah bertugas sebagai pereka di Seksyen Rekaan dan Penyelidikan (Unit Kajian) Kraftangan Malaysia dengan membuat kajian dan hasilkan sampel rekaan barang kemas untuk usahawan kraf tangan.

Nur Fatihah membuktikan tidak berjaya dalam bidang akademik bukan pengakhiran segala-segalanya, malah menjadi permulaan untuk berjaya dalam bidang lain.

PROSES memateri barang kemas.
PROSES memateri barang kemas.

Uniknya, anak kelima daripada lapan beradik ini tidak pernah membayangkan dirinya berada pada tahap sekarang kerana kurang cemerlang dalam pelajaran. Semuanya bermula sekadar mengikut rakan melanjutkan pelajaran di IKN.

Nur Fatihah berkata, dia tidak pernah bercita-cita terbabit secara serius dalam bidang kraf tangan.

"Di sekolah, keputusan peperiksaan diperoleh tidak memberangsangkan dan saya tiada perancangan yang jelas untuk masa depan.

TIDAK kekok bermain dengan api.
TIDAK kekok bermain dengan api.

"Kebetulan ada rakan ingin sambung pelajaran di IKN, saya turut serta dan memilih untuk mengikuti program Diploma Seni Kraf Logam," katanya.

Jelasnya, hanya ketika berada di IKN baharu dia mengetahui program yang dipilih berkaitan pembuatan barang kemas.

"Pada mulanya saya akui agak kekok untuk memegang peralatan bagi menghasilkan barang kemas yang kebanyakannya daripada

tembaga dan perak.

"Bukan mudah kerana saya bukan hanya perlu berada di kelas, malah perlu juga bersaing dengan pelajar lelaki di bengkel untuk hasilkan barang kemas yang terbaik.

REKAAN barang kemas menggunakan tembaga.
REKAAN barang kemas menggunakan tembaga.

"Banyak teknik yang perlu dikuasai termasuk mereka bentuk barang kemas, menebuk lubang, memotong, pateri dan sebagainya.

"Selepas melalui proses pembelajaran, minat mula timbul untuk berada lebih lama di bengkel dan saya bersemangat menghasilkan pelbagai produk barang kemas," katanya.

Oleh itu, dia menyarankan golongan muda yang belum memiliki sebarang perancangan untuk menceburi bidang kraf tangan dengan menyertai IKN yang menawarkan pelbagai program pengajian menarik.

BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan.
BERSAMA keluarga yang banyak memberi sokongan.

Menurutnya, proses untuk membuat barang kemas tidak mudah kerana perlu memiliki kreativiti, ketekunan dan ketelitian.

"Sedikit kesilapan boleh akibatkan rekaan barang yang ingin dihasilkan tidak menjadi atau lebur dan proses terpaksa dilakukan semula.

"Biasanya setiap rekaan saya akan gabungkan elemen tradisional dan kontemporari yang boleh menarik minat golongan muda dan berusia," katanya.

Mengulas mengenai Pertandingan Worldskills di Kazan, Rusia, dia terkejut selepas terpilih mewakili Malaysia untuk bersaing dengan 17 peserta daripada negara lain.

MEWAKILI negara ke Pertandingan Worldskills di Kazan, Rusia.
MEWAKILI negara ke Pertandingan Worldskills di Kazan, Rusia.

"Pada saya, ini antara pencapaian terbesar dalam hidup dan tidak pernah mengimpikan ke Rusia menerusi pembabitan dalam bidang kraf tangan.

"Bagaimanapun, untuk sampai ke tahap itu saya perlu tempuhi banyak saringan termasuk sertai beberapa pertandingan di IKN dan Melbourne, Australia sebelum terpilih.

"Biarpun tidak menang, sepanjang berada di sana, saya dapat pelajari teknik baharu yang digunakan peserta dari luar negara untuk menghasilkan barang kemas berkualiti dalam masa singkat," katanya.

Malah, dia bersyukur kerana ibu bapanya sangat menyokong pilihannya untuk terus fokus dalam bidang penghasilan barang kemas.

"Biarpun kerja ini agak kasar dan nampak sesuai untuk lelaki, mereka tidak pernah menghalang, malah menggalakkan saya terus bergiat dalam bidang kraf tangan ini sebagai kerjaya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Nur Fatihah berhasrat untuk terus fokus dalam bidang penghasilan barang kemas kerana memiliki potensi besar untuk dikembangkan.

"Saya mahu kuasai pelbagai teknik termasuk menempa dalam menghasilkan lebih banyak rekaan barang kemas berkualiti, sekali gus membantu usahawan kraf tangan berkembang.

"Sebenarnya saya mahu buktikan dengan menceburi bidang kraf tangan juga boleh berjaya asalkan ada minat dan usaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:00 AM