SENTIASA bersendirian antara gejala penyakit mental. - FOTO Google
SENTIASA bersendirian antara gejala penyakit mental. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail

Kesihatan tidak hanya tertumpu kepada fizikal semata-mata malah turut membabitkan kesihatan mental. Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi individu.

Kesihatan mental sering diabaikan atas beberapa faktor termasuk stigma, taboo dan sering dikaitkan sebagai gila atau kurang siuman dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, ramai yang kurang mengambil berat mengenai kesihatan mental dengan tidak mendapatkan rawatan awal sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Malah ada dalam kalangan masyarakat tidak menyedari menghidap penyakit mental berikutan kurang kesedaran terhadap kesihatan mental.

Perlu diketahui bahawa kesihatan mental bukan sahaja penting kepada golongan dewasa malah ia tidak terkecuali kepada kanak-kanak.

Malah, anak yang berada dalam kandungan boleh berdepan risiko penyakit mental akibat gangguan kepada ibu mengandung.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, kepentingan kesihatan mental adalah sangat penting kerana ia memberi jaminan kepada masa hadapan anak itu sendiri.

USIA enam tahun pertama perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. - FOTO Google
USIA enam tahun pertama perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. - FOTO Google

"Berdasarkan kajian sains, pembentukan otak adalah berlandaskan emosi pada enam tahun pertama.

Kecerdasan emosi atau EQ pada enam tahun ini memfokuskan pada hampir 90 peratus perkembangan kritikal neuron.

"Di samping perkembangan asas keperluan manusia, emosi dan hubungan positif antara anak dan ibu bapa adalah antara komponen besar yang diperlukan dalam memastikan 90 peratus bahagian otak, terbentuk dengan baik.

"Tidak tercatat antara keperluan ini kepentingan anak itu boleh membaca, menulis, mengira seawal empat tahun. Antara dapatan kajian yang dirujuk menunjukkan, pendedahan awal kepada skil akademik, tidak membantu dalam proses pertumbuhan 90 peratus neuron ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

MUDAH marah antara gejala awal penyakit mental dalam kalangan kanak-kanak. - FOTO Google
MUDAH marah antara gejala awal penyakit mental dalam kalangan kanak-kanak. - FOTO Google

Mengulas lanjut, sekiranya EQ berkembang pada enam tahun pertama dan membentuk 90 peratus otak, IQ atau kecerdasan intelektual pula membentuk lebih kurang 10 peratus otak, bermula pada lebih kurang usia tujuh tahun sehingga lebih kurang 25 tahun.

"Namun, pembentukan 10 peratus ini sangat bergantung pada 'blueprint' otak yang terhasil pada enam tahun pertama. Jika perkembangan yang sepatutnya didahului terabai dan komponen yang perlu berlaku dalam IQ diawalkan dalam enam tahun pertama, ini antara punca permulaan kepada permasalahan kesihatan mental anak-anak.

"Bayangkan, bahagian otak yang sepatutnya membentuk 90 peratus ini, tertinggal hanya 40 peratus kerana mahu mendahulukan kemahiran akademik (yang sepatutnya berlaku pada tujuh tahun ke atas), maka, seluruh hidup anak ini, yang seterusnya akan membina IQ 10 peratus akan berlandaskan pada 'blueprint' yang hanya 40 peratus terbentuk.

"Tidakkah ini memberi beban pada proses kognitif yang akan mengakibatkan ketidakseimbangan kortisol dalam badan kanak-kanak? Akhirnya, jika anak ini membesar dalam keadaan kurang sokongan persekitaran, akan merisikokan kesihatan mental mereka," katanya.

Tambahnya, kajian oleh Universiti Harvard dalam jurnal pada tahun 2010 bertajuk, 'Persistent Fear and Anxiety Can Affect Young Children's Learning and Development' membentangkan bagaimana ketakutan dan kebimbangan yang melampau memberi kesan jangka masa panjang pada seorang kanak-kanak.

LUANGKAN lebih masa dengan anak-anak. - FOTO Google
LUANGKAN lebih masa dengan anak-anak. - FOTO Google

"Perkara ini bukan mudah untuk dirawat. Trauma boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi jika tidak dirawat serta merta akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

"Kesan pada emosi bukan sesuatu yang kelihatan secara luaran. Ia sesuatu yang bersifat dalaman dan memerlukan juruterapi berpengalaman dan bijak menyantuni emosi semasa," katanya.

Jelasnya terdapat banyak gejala awal yang boleh dikenal pasti terhadap anak yang berdepan dengan penyakit mental.

"Antaranya adalah kesedihan berpanjangan selama lebih daripada dua minggu, mengelak dari bersosial dan mengasingkan diri dan menyakiti diri sendiri atau bercakap mengenai menyakiti diri sendiri.

"Malah ada juga kanak-kanak bercakap mengenai kematian atau bunuh diri, mudah marah atau marah melampau (mengamuk, tantrum) dan kelakuan di luar kawalan yang boleh memudaratkan," katanya.

Beliau yang juga pengasas Pusat Perkembangan Minda Kanak-Kanak KinderKaizen dan Sri Aria berkata, dalam proses pembesaran anak, terutamanya enam tahun pertama, anak memerlukan komunikasi dan perhubungan yang positif dan rapat bersama ibu bapa.

"Ibu bapa perlu memberi ruang mendengar cerita atau luahan hati anak serta 'membenarkan' anak lakukan kesilapan. Dalam proses anak sedang meneroka, mereka sebenarnya sedang belajar dan akan bertanya banyak soalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:01 AM