SUZANA menjadikan hobi sebagai satu perniagaan yang serius.
SUZANA menjadikan hobi sebagai satu perniagaan yang serius.
Hafiz Ithnin


"KITA perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan jika berlaku cabaran dalam perniagaan. Walaupun sukar, jangan putus asa," jelas wanita berusia 49 tahun itu.

Suzana Zainal Abidin sebenarnya baru empat tahun membina perniagaannya dalam dunia tanaman hiasan, perunding hiasan dalaman dan tidak terkecuali menjadi tenaga pengajar dalam bidang sama.

Bagi Suzana, mencipta jenama TamanHati bukan sesuatu yang mudah walaupun mempunyai minat mendalam dalam bidang itu sejak kecil.

"Minat dan perniagaan adalah dua perkara berbeza, tetapi kita boleh harmonikan jika kena dengan caranya. Menerusi minat kita boleh mewujudkan perniagaan, tetapi untuk mempertahankannya ia adalah sesuatu yang mencabar.

"Baru empat tahun TamanHati membina nama, tanpa diduga berlaku pandemik Covid-19 yang mengakibatkan banyak perniagaan terkesan termasuk perkara yang diusahakan saya," katanya.

Katanya, sebaik sahaja pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sebagai peniaga pastinya rasa gusar menyapa diri.

SUZANA membuka kafe dalam taman bersama rakan niaganya.
SUZANA membuka kafe dalam taman bersama rakan niaganya.

SUZANA (tengah) tidak pernah menyesal menyertai bidang perniagaan.
SUZANA (tengah) tidak pernah menyesal menyertai bidang perniagaan.

Apatah lagi, salah satu sumber perniagaannya menerusi aktiviti mengajar terpaksa dihentikan.

"Namun, tanpa disangka orang ramai menjadikan aktiviti 'berkebun' di rumah sebagai aktiviti mengisi masa ketika tempoh PKP itu.

"Ketika itu saya lihat orang ramai mula mencari minat untuk mendalami ilmu dalam tanaman hiasan dan saya mula menjadikan media sosial sebagai platform untuk meluaskan 'kuasa' perniagaan.

"Namun ia juga tidak mudah apabila berlaku peningkatan harga dari pembekalan yang mula menaikkan harga pokok kerana ia mula popular, tetapi dalam masa sama saya perlu mengekalkan harga jualan," katanya.

Suzana berkata, walaupun sebagai peniaga dia boleh sahaja menaikkan harga jualan kerana kos yang semakin meningkat, tetapi ia akan menimbulkan persepsi tidak baik daripada pembeli kepadanya.

"Dalam masa sama, saya tidak mahu orang kecewa kerana harga jualan dan akhirnya mematikan niat mereka untuk berkebun yang sebenarnya baik untuk kelestarian alam semula jadi.

"Perkara paling penting ialah saya perlu bijak menyusun strategi supaya dilema disebabkan harga jualan itu tidak memberi kesan kepada saya dan minat orang ramai terutama yang baru ingin berjinak-jinak 'berkebun' di rumah sendiri," katanya.

Sebenarnya Suzana mempunyai latar belakang kejuruteraan dari University of Salford di England dan pernah bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas berstatus multinasional selama sembilan tahun.

Sejak kecil dia mempunyai minat dalam bidang tanaman hiasan dan ibunya, Datin Siti Zabedah Mujib adalah insan yang 'menuai' kecenderungannya itu.

Disebabkan kerjaya, Suzana hanya menjadikan aktiviti berkebun di rumah sebagai hobi.

HANYA bermula sebagai penguasaha terrarium kini Suzana mempunyai pelbagai perniagaan berkaitan tumbuhan hiasan.
HANYA bermula sebagai penguasaha terrarium kini Suzana mempunyai pelbagai perniagaan berkaitan tumbuhan hiasan.

ANTARA aktiviti mengajar yang dilakukan Suzana.
ANTARA aktiviti mengajar yang dilakukan Suzana.

Pada 2015, syarikatnya menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) dan dia melihat ia sebagai peluang untuk meneruskan minatnya bagi membina sebuah perniagaan.

Langkah yang diambil itu positif kerana daripada membuat tanaman terrarium, dia dijemput sebagai tenaga pengajar dalam pelbagai kursus tanaman hiasan, mengajar aktiviti berkebun kepada kanak-kanak sekolah dan menjadi perunding menghias tanaman dalam bangunan komersial.

Dari berniaga hanya menerusi atas talian, pada 2018 Suzana mengambil langkah berani dengan memiliki sebuah kedai di Bangsar, Kuala Lumpur.

Ditanya adakah dia menyesal meninggalkan kerjaya dalam dunia korporat, katanya tidak sama sekali kerana lebih menjadikan dirinya lebih kuat berusaha.

"Jika berkerja makan gaji, kita akan dapat gaji setiap bulan dan bonus pada hujung tahun. Jika dalam perniagaan, jika kita sendiri tidak berusaha dan berani mengambil risiko, pasti tiada gaji dan bonus.

"Paling utama perniagaan ini menjadikan lebih mudah menguruskan keluarga kecil saya kerana suami dan anak boleh datang pada bila-bila masa dan saya juga boleh menguruskan masa sendiri. Lebih penting disiplin," katanya kini sudah mempunyai sebuah kafe hasil kerjasama dengan rakan niaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:01 AM