AFIDAH sudah mampu menghasilkan lebih 200 pasang kasut sebulan.
AFIDAH sudah mampu menghasilkan lebih 200 pasang kasut sebulan.
Nurul Husna Mahmud


SATU tabiat 'unik' wanita ini ialah gemar membelek atau menjengah barangan bayi terutama kasut kerana dirasakan terlalu 'comel' ketika membeli-belah. Sedangkan semua anaknya sudah membesar.

"Entah kenapa kalau setiap kali saya pergi ke pusat beli-belah, saya akan masuk butik barangan bayi. Kadangkala 'ralik' tidak sedar 'duduk' lama hanya untuk melihat barangan itu.

"Paling saya suka adalah kasut bayi. Kasut bayi unik. Pada mata saya ia nampak comel sehingga mencetuskan idea untuk hasilkannya meskipun tidak mahir menjahit," kata pengasas Aikaydan, Afidah Subahkhi itu.

CEKAP menjahit kasut bayi.
CEKAP menjahit kasut bayi.

Menurut Afidah, sebelum menceburi perniagaan pembuatan kasut bayi dari rumah menerusi jenama Aikaydan iaitu gabungan anak sulung, Adlyn Zulaikha Zerriman, 16, (singkatan Aika) dan anak kedua, Aydan Zaffrey, 10, dia tidak pernah menghadiri sebarang kelas atau bengkel jahitan.

"Kisah pembabitan saya dalam kerja menjahit kasut juga boleh dikatakan secara tidak sengaja. Kakak saya, Anis Suzan, 41, satu-satunya ahli keluarga yang berkecimpung dalam perniagaan yang ada kaitan dengan dunia jahitan.

"Dia adalah peniaga barangan sulam di Singapura dan menghadiahkan saya mesin jahit untuk isi masa lapang. Rutin sebelum ini selain suri rumah, saya bantu perniagaan suami.

"Sehinggalah pada 2016 iaitu tahun kelahiran anak ketiga, Aydel Zaffran. Ia titik mula saya asah kemahiran buat kasut bayi untuk anak," katanya.

Menggunakan saluran Youtube selain berpandukan pola kasut bayi yang dijual di Internet, Afidah nyata teruja ketika pertama kali dapat menghasilkan kasut buat anaknya itu.

"Sebelum 'jadi' kasut atau produk sesuai seperti hari ini memang banyak cabarannya. Saya bukan pandai jahit dan hanya belajar berdasarkan pemerhatian terhadap cara kakak atau arwah ibu yang pernah menggunakan mesin jahit.

MENARIK antara hasil tangan Afidah.
MENARIK antara hasil tangan Afidah.

"Kemudian, demonstrasi di Youtube bantu memperincikan cara untuk menjahit kasut. Dari perkongsian itu saya tahu ada pembuat kasut atau kraf dari luar menjual pola atau panduan menerusi atas talian.

"Cabarannya dari segi saiz. Lucu apabila ketika mula buat dulu saya ikut 'bulat-bulat' saiz standard. Kalau dari Eropah saiznya terlalu besar dan apabila dipakai pada kaki bayi tempatan, saiznya pasti longgar.

"Kemudian saya dapatkan pula ukuran pembuat kasut bayi dari China namun sempit pula apabila dipakai pada kaki bayi tempatan. Si comel kadangkala rimas dan tidak selesa.

"Penyelesaiannya, saya buat ukuran standard sendiri berdasarkan saiz sesuai mengikut saiz kaki anak saya ketika waktu itu," katanya yang menerima sokongan moral daripada keluarga terutama suami tercinta, Zerriman Zainal, 46.

BERSAMA suami tercinta dan anak-anaknya.
BERSAMA suami tercinta dan anak-anaknya.

Malah, dia tidak menafikan ada membuat tinjauan atau kawalan kualiti sendiri menerusi pengalaman anak bongsu.

Afidah mengakui menghasilkan lebih 100 sampel percubaan sehingga mendapat satu rekaan dan ukuran sesuai untuk saiz bayi atau anak tempatan.

"Debaran masa hasilkan rekaan untuk pelanggan pertama bukan dalam kalangan rakan. Tiga kali percubaan sebelum berjaya menghasilkannya. Apabila kasut dihantar dan sampai ke tangan pelanggan, maklum balas mereka cukup mendebarkan saya selain teruja.

"Syukur kerana rata-rata pelanggan menghargai 'sentuhan' saya. Untuk hasilkan kasut anak bukan sekadar 'rupa' cantik semata-mata, tetapi praktikal," katanya.

Sehingga kini ia mula berkembang kepada tiga rekaan dengan setiap satunya mempunyai 40 motif bagi enam saiz berbeza bermula bayi baru lahir hingga kanak-kanak usia dua tahun.

"Semua kasut ini saya hasilkan sendiri tanpa upah pembantu. Dulu untuk hasilkan sepasang kasut memerlukan sekurang-kurangnya empat jam dan boleh berlanjutan seharian.

ANAK bongsu Afidah sering mengenakan kasut buatannya.
ANAK bongsu Afidah sering mengenakan kasut buatannya.

"Kini saya sudah boleh hasilkan sekitar 200 kasut sebulan," katanya yang berhasrat mahu mengembangkan perniagaan mewujudkan kedai fizikal, tetapi terpaksa menangguhkan perancangan itu berikutan penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 7:00 AM