MENEMPEL seharian.  - FOTO Google
MENEMPEL seharian. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


ADAT pasangan bercinta rasa sayang dan cemburu menjadi resam dalam hubungan. Lebih bermakna apabila pasangan tidak lokek menzahirkan rasa cinta bukan sekadar dengan perkataan malah perbuatan.

Namun kadangkala rasa sayang mahupun cemburu berlebih-lebihan mengundang rimas selain kurang selesa. Lebih parah apabila ia menjadi 'api dalam sekam' hingga menjejaskan ekosistem hubungan cinta yang damai.

Baik pasangan lelaki mahupun perempuan, rasa sayang keterlaluan boleh menjadi bebanan. Jika tidak dikawal atau ditangani boleh menjadi lebih teruk selepas berkahwin.

Jadi, sebaiknya kenali sama ada ciri-ciri pasangan anda itu terlalu obses sehingga menjejaskan rutin harian serta ruang sosial baik kenalan bekerja atau keluarga.

Sebagai panduan nilaikan adakah pasangan anda ada enam ciri-ciri berikut?

APABILA kekasih tidak boleh terima anda melebihkan keluarga.  - FOTO Google
APABILA kekasih tidak boleh terima anda melebihkan keluarga. - FOTO Google

1. Mesej tidak mengira waktu dan berterusan.

Biasanya jika anda berubah sedikit rutin menyebabkan timbul syak wasangka.

Salah satu perbuatan boleh dikaji adakah kekasih anda mesej terus menerus apabila anda memaklumkan keluar bersama kawan dan bertugas di luar daerah. Tidak normal apabila dia menghubungi setiap minit dan memeriksa anda dengan siapa.

2. Cuba sabotaj komitmen atau hubungan lain yang dirasakan memberi ancaman.

Cemburu buta boleh membuatkan anda tertekan meskipun ketika itu bersama rakan atau sedang menikmati jamuan malam dengan ahli keluarga. Lebih rumit apabila si dia mencipta seribu satu alasan tidak masuk akal semata-mata mahu anda berada di sisi.

Jika si dia mula mempersoalkan alasan mengapa anda perlu bertemu kakak atau adik mahupun ibu bapa, sudah masanya anda fikirkan masa depan hubungan percintaan itu selepas berkahwin.

3. Mengendap setiap perbualan, status mahupun muncul dengan tiba-tiba di hadapan anda.

Kejutan sesuatu disukai pasangan kekasih, tetapi setiap masa muncul dengan tiba-tiba boleh menjadi adegan seram terutama bagi wanita. Sebaiknya lihat corak 'kemunculan' pasangan anda sama ada dia menghormati waktu privasi termasuk akaun media sosial anda.

KEKASIH suka mengendap boleh jejas hubungan. - FOTO Google
KEKASIH suka mengendap boleh jejas hubungan. - FOTO Google

4. Mahu penuhi setiap permintaannya.

Istilah patuh adalah paling disukai pasangan kekasih jenis ini. Jika anda menolak cadangan atau pelawaan biasanya akan menerima bebelan, kecaman dan ugutan yang tidak masuk akal.

5. Suka 'menempel' setiap masa.

Manja mungkin normal tetapi kalau sudah asyik ingin mengulit dan 'menempel' 24 jam itu membuatkan anda mula tidak selesa dan hilang rasa cinta.

Bimbang kesan daripada reaksi dia suka 'menempel' boleh mengundang rasa menyampah apabila si dia terlalu bergantung dan tidak boleh langsung berjauhan.

6. Kawal setiap gerak-geri.

Kekasih gemar menegur dan bertanya dirasakan prihatin dan peka dengan keselamatan serta kesihatan anda. Tetapi apabila dia mula mencorakkan hidup anda seperti menentukan pakaian perlu dipakai, makanan perlu diambil dan pekerjaan sebagaimana yang sesuai, si dia sudah bergelar autokratik.

Apabila si dia sudah terlalu menguasai sehingga anda sebagai tuan punya diri hilang hak menentukan perkara disukai, itu bermakna anda bertemu dengan pasangan posesif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 6:33 AM