PEMILIHAN warna pakaian memainkan peranan penting untuk menutup bahagian badan bermasalah.
PEMILIHAN warna pakaian memainkan peranan penting untuk menutup bahagian badan bermasalah.
Muhamaad Razis Ismail

Ramai dalam kalangan wanita gempal atau kategori 'plus-size' kurang keyakinan terhadap diri sendiri dan amat sensitif apabila disentuh mengenai penampilan serta pengalaman membeli-belah.

Wanita berbadan gempal juga memiliki keinginan yang tinggi untuk tampil bergaya seperti rakan di pejabat, namun rata-rata mereka memberi maklum balas sukar untuk berasa positif dengan bentuk fizikal yang dimiliki.

Perunding imej dan warna profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, memiliki badan gempal tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak tampil anggun, personaliti menarik dan bergaya dengan penuh keyakinan.

Katanya, dengan ilmu yang betul, strategi langkah demi langkah yang boleh diikuti ditambah dengan sedikit kemahiran, ia bukan sesuatu yang sukar dicapai.

"Sebenarnya masih ada cara untuk kelihatan sedikit langsing dan menyuntik rasa keyakinan diri tanpa memerlukan diet terlampau, menghabiskan masa berjam-jam di gimnasium (walaupun diakui itu adalah aktiviti terbaik untuk mana-mana individu) atau pembedahan 'liposuction' yang menelan belanja beribu-ribu ringgit," katanya.

Menurutnya, dalam kalangan kategori wanita gempal mereka antaranya memiliki badan berbentuk epal, 'diamond', pir dan 'inverted triangle.'

"Biasanya, bagi badan berbentuk epal, di bahagian dada dan perut lebih lebar serta menonjol manakala badan berbentuk pir bahagian pinggul lebih lebar daripada bahu.

FABRIK juga dapat membantu wanita bertubuh gempal.
FABRIK juga dapat membantu wanita bertubuh gempal.

"Tubuh berbentuk 'diamond' pula, bahagian antara perut dan pinggang adalah lebih lebar dan bagi badan berbentuk 'inverted triangle' bahagian bahu pula yang kelihatan lebih lebar," katanya.

Mengulas lanjut, golongan itu bebas untuk memiliki lebih daripada satu warna, bukan hanya warna hitam.

"Paling penting, penggunaan warna-warna gelap menutupi bahagian badan bermasalah. Dengan cara ini, anda boleh mempelbagaikan fesyen yang sedia ada dalam simpanan dan dilihat bijak dalam menguruskan gaya dan tampil lebih berkeyakinan," katanya.

Tambahnya, dengan meningkatkan keyakinan diri bukan bermaksud anda perlu memiliki barangan berjenama mewah dan mengikuti trend fesyen terkini sahaja.

"Paling utama adalah kenal pasti kekurangan badan sendiri dan bijak mengenakan rekaan, hiasan dan aksesori, pilihan fabrik, skala motif yang seharusnya konsisten dengan skala badan masing-masing.

"Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa fesyen dan trend, sehingga mengabaikan kelebihan dimiliki. Ingat, 'plus size' bukan bererti anda tidak boleh tampil bergaya," katanya.

UKURAN dapat membantu mengenal pasti jenis bentuk badan dan masalah dihadapi.
UKURAN dapat membantu mengenal pasti jenis bentuk badan dan masalah dihadapi.

Antara kesilapan yang biasa dilakukan

• Pemilihan warna terang dan cerah di bahagian badan bermasalah.

• Penggunaan motif corak yang tidak seimbang atau harmoni dengan skala badan.

• Gemar memilih rekaan berjalur melintang dan menyerong, bukan menegak

• Memilih fabrik yang berwarna cerah dan bersinar pula, seperti satin, tebal dan mempunyai ruang seperti kain renda, tekstur yang timbul seperti songket pada bahagian badan yang bermasalah - ini memberikan efek kelebaran berganda dan memberikan mesej kepada mata yang melihatnya bahawa badan kita lima kilogram lebih berat dari biasa.

• Hiasan dalam rekaan (manik, labuci, jahitan kerawang, 'diamond') diletakkan atau dijahit di bahagian badan yang bermasalah seperti di bahu ('inverted triangle'), di bahagian perut dan dada ('diamond,' epal), di bahagian pinggul (pir).

• Penggunaan kombinasi warna 'block' yang tidak bertepatan dan terletak pula pada bahagian badan bermasalah

• Pemilihan saiz aksesori yang tidak 'kongruen' dengan saiz dan skala badan sendiri.

• Hanya memiliki koleksi warna hitam di dalam almari pakaian kerana disangkakan itu sahaja cara terbaik untuk nampak langsing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:30 AM