PERWAKILAN pertubuhan disertai isteri pegawai diplomat turut sama mempunyai peranan penting membawa nama Malaysia di luar.   FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
PERWAKILAN pertubuhan disertai isteri pegawai diplomat turut sama mempunyai peranan penting membawa nama Malaysia di luar. FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

BERADA jauh dari tanah air tidak pernah membuatkan rakyat Malaysia di perantauan lupa akan jati dan identiti diri, malah berada dalam situasi itu membuatkan rasa rindu serta cinta pada negara makin menebal.

Baik dari segi budaya, pakaian tradisi sehingga juadah antara elemen tidak pernah dilupakan apatah lagi jauh di perantauan.

Itu antara luahan kebanyakan ahli Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) yang terdiri daripada pasangan pegawai yang bertugas di luar negara.

Mengenai PERWAKILAN, pertubuhan itu mempunyai reputasi tersendiri apabila menjadi pertubuhan wanita pertama dalam sektor awam ditubuhkan pada 1978 selain diilhamkan isteri mantan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Zakaria Ali iaitu Puan Seri Razimah Zakaria.

Menurut Presidennya, Datin Sri Izdina Izaidin, meskipun rata-rata ahli atau wakil PERWAKILAN adalah pasangan yang menemani pegawai bertugas di luar negara, mereka ini mempunyai peranan penting dalam memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

"Ahli PERWAKILAN memainkan peranan penting sebagai duta kecil di luar negara dengan mengambil peranan yang aktif membantu kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia di luar negara bagi menjalankan tugas diberikan.

TENGKU Zakiah (kiri) tetap jayakan misi Hari Kebangsaan di Baku dengan cara berbeza.  FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
TENGKU Zakiah (kiri) tetap jayakan misi Hari Kebangsaan di Baku dengan cara berbeza. FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar

"Kami ke luar negara membawa bersama nama Malaysia. Penting bagi kami menjaga nama baik negara dan memperkenalkan Malaysia di mata dunia," katanya.

Kata Izdina, peranan itu termasuk mendampingi rakyat dan diplomat asing bagi memberikan maklumat tepat mengenai Malaysia termasuk cara hidup di samping usaha mempromosi warisan dan budaya unik Malaysia.

"Kami ahli PERWAKILAN sering proaktif memperkenalkan dan mempromosi warisan serta budaya Malaysia di luar negara. Ini merangkumi penganjuran aktiviti berkaitan, contohnya persembahan kebudayaan dan promosi makanan serta jualan barangan kraf Malaysia.

"Tidak lupa juga penganjuran hari penting diraikan di negara turut diadakan di pusat masing-masing terutama Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dilakukan bersama warga Malaysia di luar negara," katanya.

Tidak lupa menzahirkan rasa bangga katanya, berdasarkan pengamatan peribadi apabila sering mengikuti suami bertugas ke beberapa negara seperti Beijing, China, Doha, Qatar dan Vienna, Austria melihat keunikan Malaysia tidak menyerupai mana-mana negara pun.

PERWAKILAN dan kedutaan saling bekerjasama dalam aktiviti mempromosi Malaysia.  FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
PERWAKILAN dan kedutaan saling bekerjasama dalam aktiviti mempromosi Malaysia. FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar

"Secara peribadi pembabitan dalam aktiviti PERWAKILAN banyak membantu saya menyemai rasa cinta yang mendalam kepada negara kita, Malaysia.

"Saya sendiri bangga membawa dan menjunjung nama Malaysia kerana di negara kita berbilang kaum dan agama masih mampu hidup aman makmur serta sejahtera. Keunikan ini tiada di negara lain," katanya.

Turut berkongsi pengalaman sendiri adalah Pengerusi PERWAKILAN Baku Azerbaijan, Datin Tengku Zakiah Tengku Zahid apabila meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam suasana pandemik Covid-19.

"Meskipun Azerbaijan masih di bawah perintah kawalan pergerakan terhad disebabkan jumlah kes positif Covid-19 harian tinggi, kami tetap meneruskan sambutan Hari Kebangsaan dalam norma baharu.

"Ini termasuk projek video pendek Hari Merdeka Baku 2020 bersama Kedutaan yang mengumpulkan sejumlah penduduk dan penuntut Malaysia di Azerbaijan dilaksanakan dalam prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Dalam pada itu wakil PERWAKILAN di sini pula mengambil inisaitif penyediaan pek makanan tradisi rendang daging dan ayam, nasi lemak serta kuih-muih tempatan," katanya.

NORMA baharu cabaran buat warga Malaysia meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di luar.  FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
NORMA baharu cabaran buat warga Malaysia meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di luar. FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar

Beliau turut dibantu timbalannya, Azri Hazwani Abdul Aziz yang julung kali meraikan Hari Kebangsaan di luar berikutan penempatan pertama pegawai terbabit.

Turut berkongsi pengalaman unik adalah isteri Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Caracas Venezuela, Mohd Raizul Nizam Zulkiffli, Rubi Flores.

Uniknya wanita kelahiran Mexico itu begitu dekat dengan Malaysia apabila bertungkus-lumus dengan ahli PERWAKILAN di Caracas dalam menyediakan hidangan Malaysia yang menjadi antara kebanggaan buat rakyatnya.

"Satu elemen penting ketika kami meraikan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia ialah penyediaan juadah tempatan sebagai memperkenalkan negara kepada rakyat atau pegawai tertinggi kerajaan Caracas.

"Untuk menyediakan menu tempatan di bumi asing sudah cukup mencabar kerana kesukaran mendapatkan bahan seperti santan, daun pandan, serai dan cili padi apatah lagi ketika pandemik.

"Namun kami berjaya mendapatkan ramuan itu dan menyediakan sajian kebanggaan Malaysia seperti nasi lemak, bingka ubi, karipap dan roti jala pada hari penting.

"Meskipun tidak semeriah tahun lalu dan diadakan secara kecil-kecilan. Saya masih bersyukur dan gembira dapat raikan dalam majlis ringkas dan penuh bermakna," katanya.

IZDINA.  FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar
IZDINA. FOTO: Ihsan Perwakilan dan Kementerian Luar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:00 AM