MUSLIMAH masih boleh tampil gaya gadis boho. FOTO: Sumber Google
MUSLIMAH masih boleh tampil gaya gadis boho. FOTO: Sumber Google
Nurul Husna Mahmud

GAYA boho chic atau bohemian antara pilihan peminat kepada elemen vintaj kerana era gaya 'hippie' itu diperkenalkan sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Penampilan bersahaja selain memiliki pesona 'jiwa' bebas boleh dilihat pada perincian gaya itu.

Tidak hairanlah ia popular menjadi pilihan gadis pada era 2000 sebaik diperkenalkan beberapa ikon fesyen luar negara termasuk Kate Moss mahupun bintang muda, Selena Gomez.

Jika diteliti kemasan dan elemen gaya boho ini, kombinasi boleh difahami ialah inspirasi dari alam semula jadi dan sentuhan bercirikan etnik.

Tidak semestinya pada padanan pakaian, kemasan pada aksesori, tas tangan dan sepatu antara aspek tatarias diri boleh membuatkan anda berpenampilan seperti boho chic.

Meskipun gaya boho chic disifatkan sarat, ada penataan boleh membuat gaya itu tampak moden dan elegan.

PELENGKAP gaya boho menerusi aksesori. FOTO: Sumber Google
PELENGKAP gaya boho menerusi aksesori. FOTO: Sumber Google

Berikut tip anda boleh guna jika mahukan pilihan gaya berkenaan:

1. Kombinasi ketat dan longgar

Bahagian menarik pada pilihan konsep gaya ini ialah 'meriah' tetapi tidak keterlaluan. Peminat gaun kembang dan beralun atau tunik ketat, kedua-duanya boleh melengkapkan rupa.

Padanan tunik semestinya legging atau blaus bunga-bunga dengan warna berasaskan semula jadi. Meskipun digalakkan motif sarat dan warna menonjol, perlu hadkan warna selain 'neon' kerana bimbang anda terarah kepada gaya pop art atau 'color blocking.'

2. Bermula dengan selamat menerusi padanan skirt

PERMULAAN dengan gaun labuh potongan longgar. FOTO: Sumber Google
PERMULAAN dengan gaun labuh potongan longgar. FOTO: Sumber Google

Skirt labuh potongan kembang dan sedikit perincian klasik menerusi pergelangan tangan jerut serta aksesori tali pinggang kulit boleh membentuk gaya hippi lebih kontemporari.

Kenakan kaca mata potongan besar dan sandang beg kain dengan sulaman etnik boleh melengkapkan konsep berkenaan. Ia boleh jadi langkah permulaan kepada lebih banyak gaya boho chic yang anda idamkan.

3. Aksesori penyelamat dan boleh lihat aksesori digayakan oleh artis era itu

Biasanya unsur semula jadi dan rekaan eksentrik dari etnik antara konsep sering digayakan peminat fesyen itu.

Jadi mungkin boleh pertimbangkan anting-anting dengan imej daun atau bulu burung antara contoh konsep masih boho.

Cara lain mungkin boleh lihat rekaan aksesori dari negara luar seperti Afrika dan Asia Tenggara yang mempunyai elemen tradisi menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:45 AM