SUDAH menjadi kebiasaan wanita Muslimah memakai tudung dalam jangka masa yang panjang.
Pada masa sama, di sebalik tudung tentunya tersimpan mahkota yang paling bernilai iaitu rambut.
Kadangkala dalam keadaan cuaca panas terlalu lama boleh menyebabkan rasa kurang selesa.
Ada juga antara kaum hawa yang mengalami masalah kulit kepala atau rambut rosak.
Jangan risau kerana di bawah ini terdapat beberapa tip yang mungkin anda boleh praktikkan untuk menjaga mahkota berharga anda itu.
1. Jangan terus menyarung tudung ketika rambut masih basah
Pastikan rambut dalam keadaan kering sebelum menyarung tudung kerana keadaan rambut yang basah dan tertutup boleh menyebabkan rasa gatal pada kulit kepala.
Apatah lagi, bagi mereka yang mempunyai kulit kepala yang sensitif.
2. Pilih fabrik sesuai dan selesa
Ketika ini di pasaran banyak jenis kain tudung ditawarkan kepada pengguna.
Jangan malu untuk bertanya jenis kainnya kerana jika jenis panas menyebabkan rasa kurang selesa.
Apatah lagi, berada di luar rumah dalam tempoh lama.
3. Buat rawatan rambut
Tidak salah juga manjakan rambut anda dengan bertandang ke salun untuk melakukan rawatan yang sesuai kerana ia juga mempunyai penjagaan khusus.
4. Pakai semburan rambut
Terdapat juga pelbagai semburan rambut dijual di pasaran.
Pastikan anda memilih yang sesuai dengan rambut dan kulit kepala.
Walaupun anda ingin mengelakkan ia berbau tetapi pastikan produk semburan tidak memberi kesan buruk kepada mahkota anda itu.
5. Jaga pemakanan
Sebenarnya pemakanan juga penting bagi memastikan kulit kepala dalam keadaan baik dan rambut tumbuh sempurna.
Walaupun memakai tudung dalam tempoh lama tetapi anda bijak menjaga pemakanan boleh membantu menjadikan kulit kepala sihat.