AISHAH teliti dalam kerja mengukir. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
AISHAH teliti dalam kerja mengukir. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
Nurul Husna Mahmud

INAI terhias indah pada jari mahupun telapak tangan antara perhiasan sinonim bagi mempelai terutama wanita yang mahu tampak cantik dan meriah ketika hari bahagia mereka.

Malah, bukan sekadar hiasan mempelai, inai juga antara perincian aksesori tangan selain barang kemas ketika musim perayaan.

Keseronokan juga dirasai apabila ahli keluarga yang menyaluti setiap hujung jari dengan daun inai yang sudah siap digiling untuk dipakai pada malam raya.

Kalau dulu, motif atau corak lebih tipikal, kini hiasan inai pada tangan lebih menarik dan pelbagai termasuk aneka pilihan warna unik seperti warna putih.

Bagi hasilkan bingkisan indah, perlu ada kemahiran untuk mengukir dan tentunya ia bukan tugas mudah kerana apabila sudah terpalit pasti inai itu kekal dan jika tersilap ia 'mencacatkan' hasilnya.

Justeru, tugas pengukir inai seperti Aishah Ahamad Tajri sentiasa ditagih untuk melengkapkan penggayaan pada tangan dan kaki baik gadis bergelar 'permaisuri sehari' sehinggalah kepada anak kecil.

PENYEDIAAN alat ukiran menggunakan plastik khas. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
PENYEDIAAN alat ukiran menggunakan plastik khas. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri

"Saya sudah bergiat sebagai juru ukir inai lebih 18 tahun, bermula sebaik berhenti sebagai pembantu di sebuah syarikat katering di Kampar, Perak pada 2002.

"Mungkin didorong minat zaman sekolah lagi iaitu sukakan melukis dan belajar dalam bidang seni menyebabkan kerjaya sebagai juru ukir inai menjadi pilihan selepas bekerja sendiri.

"Mula dengan pelanggan dalam kalangan rakan, kemudian mengikuti kursus inai sambil berguru dengan pakar seni inai, Siti Norfaizah Ishah Semua ini menjadi titik tolak untuk saya terus mengorak langkah apabila menerima permintaan terdiri daripada orang luar,"katanya.

Namun dia tidak menafikan ketekunan dan kesungguhan perlu ada sebaik menceburi bidang itu bermula dengan penyediaan bahan, kemudian kepada kerja mengukir dan berinteraksi dengan pelanggan membantu khidmatnya ditagih merata tempat.

"Rezeki inai ini banyak membantu saya mengenali ramai orang dan pergi ke merata tempat hingga Kuala Lumpur atau Selangor selain kawasan sekitar Temoh. Paling rancak musim perkahwinan dan raya juga apabila ramai mahu melaram dengan jari serta tangan dengan ukiran bunga.

"Bukan hanya kanak-kanak, gadis dan wanita, malah ada juga pemakai sudah berusia 50-an masih mahu jari dihiasi inai.

BANCUHAN kombinasi inai daun dan bancuhan moden. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
BANCUHAN kombinasi inai daun dan bancuhan moden. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri

"Pada saya inai masih diminati sehingga hari ini dan uniknya bukan sahaja Melayu, malah satu Malaysia apabila India dan Cina juga mahukan ukiran inai.

"Untuk itu, saya akan berkolaborasi dengan pemilik spa seperti Ayor Spa di Tapah kerana biasanya golongan ini dapatkan rawatan di situ," katanya.

Kata Aishah, kebanyakan yang India lebih sukakan corak sarat sementara Cina pula gemarkan ukiran dan motif ala Arab kerana mahukan hiasan mirip tatu tetapi tidak kekal pada tubuh.

"Pengalaman saya sepanjang mengukir inai ada pahit, manis dan lucu terutama apabila pengantin sampai tertidur sementara saya menyiapkan inai di tangan dan kaki mereka. Tidak kurang juga ada kala berdepan situasi kurang selesa apabila ada ahli keluarga tidak setuju anak mereka berinai.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan suami, Sani Sulaiman, 63, yang setia menjemput dan hantar ke setiap tempat saya mengukir inai. Kadangkala berjam-jam menunggu, tetapi dia faham itu tugas saya," katanya.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, Aishah mengakui keterbatasan tugasnya apatah lagi Syawal bakal disambut beberapa hari lagi.

RUPA inai putih dan unik. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
RUPA inai putih dan unik. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri

"Apa saya boleh bantu ialah bekalkan bahan dan kongsi tip untuk mereka lukis sendiri. Walaupun mereka tidak berpuas hati setidak-tidaknya masih boleh hias jari dengan inai.

"Sekarang inai tidak seperti dulu sebab sudah ada pelbagai warna seperti merah saga, merah jambu, hitam, perang mahupun putih. Tetapi, kualiti berbeza dengan inai tradisi kerana ia tidak tahan lama dan boleh hilang dua tiga hari selepas dikenakan.

"Cumanya saya nasihat mereka perlu berhati-hati kerana ada juga material atau bahan inai tidak sesuai atau boleh mengundang alergi pada kulit. Ini pernah 'viral' dan sebaiknya mereka teliti kandungan untuk mengelak komplikasi kepada kulit,"katanya.

Sementara itu, pemilik Ayor Spa, Naziah Pir Khan mengakui inai bukan lagi hiasan bermusim dan sering mendapat permintaan pelanggan daripada pelbagai kaum atau peringkat umur.

"Namun tahun ini sedikit mencabar kerana berdepan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti PKPB," katanya.

KEMAS hasil kerja tangan Aishah. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri
KEMAS hasil kerja tangan Aishah. FOTO Ihsan Ayor Spa & Aishah Ahamad Tajri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 7:00 AM