KREATIF dalam setiap hiasan kek. FOTO Amiruddin Sahib
KREATIF dalam setiap hiasan kek. FOTO Amiruddin Sahib
Nurul Husna Mahmud

PEMBUAT kek dan biskut selalunya dibayangi kelibat anak dara atau wanita yang sibuk membakar di dapur.

Cumanya kali ini berbeza apabila penulis sendiri kagum melihat kelincahan bekas finalis Hero Oven Mohd Rahmat Bahaudin, 32, menyiapkan adunan sehinggalah selesai membakar biskut.

Tidak kekok, malah aturan kerja termasuk menerangkan tip untuk setiap penyediaan biskut mahupun kek tampak mudah bagi cef kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Cerita mengenai minat terhadap penyediaan kuih mahupun kek bukanlah bermula setahun dua, sebaliknya kata Mohd Rahmat atau lebih mesra dengan panggilan RB itu sudah tersemai sejak kecil lagi.

"Kalau minat sebenarnya sejak kecil iaitu 12 tahun lagi dan ketika itu saya sangat suka tengok rancangan memasak Cef Wan. Paling saya suka apabila tengok penyediaan kek dan biskut. Jadi saya cuba buat kek dulu.

"Apabila sibuk belajar sehinggalah ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dalam bidang Sains Teknologi Makanan, saya fokus kepada pelajaran dan tidak terfikir untuk bergelar pembuat kek atau biskut sepenuh masa.

"Minat itu kembali apabila saya bekerja sepenuh masa dan berjinak secara kecil-kecilan mengambil tempahan kek dan kemudian beralih kepada biskut. Saya tidak pernah

mengikuti kelas formal tetapi menghadiri bengkel diadakan pembuat kek berpengalaman," katanya.

Melangkau lebih jauh, kata RB, dia menyertai pencarian Hero Oven pada 2016 dan sejak itu mula mengatur langkah untuk bergelar pembuat kek dan biskut lebih serius.

RB dibantu pembantunya untuk hasilkan biskut segar setiap hari. FOTO Amiruddin Sahib
RB dibantu pembantunya untuk hasilkan biskut segar setiap hari. FOTO Amiruddin Sahib

"Sebenarnya selepas membuat keputusan untuk berhenti dan fokus terhadap kerjaya sebagai 'bakeri' sepenuh masa dulu saya berdepan cabaran. Saya ada lakukan kerja sampingan termasuk pemandu Grab dan kerja lain termasuk perunding imej kerana pendapatan daripada jualan kek atau biskut kurang memberangsangkan.

"Kalau cakap mengenai empat atau lima tahun lalu, jenama saya bawa iaitu Chef Kecik orang tidak begitu tahu. Saya banyak gunakan 'platform' bermula dengan kawan-kawan selain dalam talian untuk perkenalkan produk selain turut aktif mengadakan kelas membuat kek dan biskut," katanya.

Berbanding dikritik apabila hadir dalam bengkel diadakan pembuat kek wanita, kata RB kehadirannya menerima reaksi positif kerana tidak ramai lelaki hadir dalam kelas 'bakeri'.

"Saya tidak pernah terima kritikan atau pandangan serong orang, sebaliknya mereka teruja dan terkejut kerana lelaki boleh buat perniagaan kek dan biskut dari rumah.

"Alhamdulillah saya terima banyak tempahan kek dan pembelian biskut yang sukakan hasil buatan saya. Apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rezeki jauh lebih baik.

"Cuma cabarannya, untuk tempahan seperti biskut kema

mpuan ketika ini hanyalah 30 hingga 40 balang setiap hari disebabkan tenaga kerja dan bahan terhad. Semua urusan baik pembelian barang dan penghantaran tempahan dilakukan menggunakan 'runner' atau kurier.

SENTIASA pentingkan kualiti biskut dihasilkan. FOTO Amiruddin Sahib
SENTIASA pentingkan kualiti biskut dihasilkan. FOTO Amiruddin Sahib

"Jadi untuk biskut dipos, setakat ini hanyalah chocolate chip sahaja dapat ditawarkan kerana ia lebih tahan lasak berbanding biskut lain yang lebih rapuh dan akan berderai apabila sampai ke tangan pelanggan. Untuk kek pula tiada masalah," katanya.

Aktif menganjurkan kelas di hujung minggu sejak dua tahun lalu, kata RB, mereka yang hadir menyertai kelas di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih bukan sahaja tinggal di kawasan sekitar sebaliknya dari luar datang semata-mata untuk belajar buat biskut dan kek.

"Saya paling kagum melihat mereka yang minat dalam pembuatan biskut dan kek ini sanggup berjalan jauh untuk belajar. Ini pengalaman saya sebelum PKP, hujung minggu saya akan ajar empat hingga lima resipi kepada mereka yang datang ke kelas berbayar.

"Saya kagum ada antara anak murid saya ini datang sejauh Indonesia, Singapura dan Brunei datang ke kelas hujung minggu semata-mata untuk belajar resipi kek dan biskut saya. Kini musim PKP saya beralih kepada atas talian iaitu di Facebook, ada anak murid dari Singapura 'tapau' habis semua resipi saya.

"Saya tidak sorok sebarang resipi dan tidak kisah mereka ini lebih berjaya dalam menjual biskut. Pada saya ini adalah salah satu cara berkongsi rezeki dan gembira ada orang terima manfaat daripada ilmu mereka dapat," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, kata RB, dia menyimpan impian untuk memiliki 'studio baking' dan kafe sendiri yang dapat menjual hasil air tangannya kepada peminat kek serta biskut.

RB bersama pelajar yang mengikuti kelas Chef Kecik Kitchen. FOTO Amiruddin Sahib
RB bersama pelajar yang mengikuti kelas Chef Kecik Kitchen. FOTO Amiruddin Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:00 AM