BENJI (kiri) dan Sam saling bertukar idea. FOTO Ihsan Apaart
BENJI (kiri) dan Sam saling bertukar idea. FOTO Ihsan Apaart
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEUNIKAN tekstur kulit kayu dan urat daun menjadi inspirasi kepada pencinta seni, Fauzi Abd Majid dalam menghasilkan koleksi pakaian batik menarik untuk diketengahkan.

Sama dengan hasil seni sebelum ini, ketelitian Fauzi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Benji, 48, dalam setiap gerak kerja jelas kelihatan.

Tenyata, gabungan rekaan motif yang sarat dengan elemen semula jadi itu kini menjadi pilihan ramai.

Menurut Benji, koleksi pakaian batik kini terdiri daripada kemeja lelaki, kurta, baju-T dan tudung.

Kata Benji, seperti produk hiasan lain, koleksi pakaian itu juga dijual menerusi label Attitude Planet Art (APA) secara atas talian iaitu di laman Facebook Apa Art.

Katanya sebagai pereka, apa yang istimewa mengenai koleksi itu adalah ia buatan tangan sepenuhnya selain corak yang eksklusif iaitu satu rekaan untuk satu pakaian.

Selain itu, pemilihan warna juga lebih ceria dan terang bagi menyerlahkan lagi motif yang ingin diterjemahkan.

"Tekstur kulit kayu dan urat daun menjadi inspirasi utama serta diterjemahkan dalam pelbagai rekaan yang elegan selain kontemporari, sesuai dengan cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

REKAAN  pakaian batik dengan motif alam semula jadi menarik. FOTO Ihsan Apaart
REKAAN pakaian batik dengan motif alam semula jadi menarik. FOTO Ihsan Apaart

"Penghasilan setiap pakaian dilakukan cukup teliti dan apa yang boleh saya katakan, ia untuk kepuasan hati pembeli.

"Alhamdulillah, koleksi berkenaan bukan sahaja memenuhi cita rasa penggemar tempatan malah dari Singapura dan Brunei, katanya yang turut dibantu rakan karibnya Hisham Kamaruddin atau mesra disapa Sam.

Benji berkata, setiap tempahan baju T, kemeja, kurta atau tudung boleh disiapkan dalam masa dua hari sahaja.

Bagaimanapun, faktor cuaca perlu diambil kira memandangkan proses untuk menyiapkan koleksi itu memerlukan pencahayaan yang baik.

"Ini kerana rekaan corak atau warna pada pakaian perlu melalui proses jemuran di bawah matahari. Ia perlu dibiar sehingga benar-benar kering, katanya yang tidak pernah ketinggalan menyertai Hari Kraf Kebangsaan anjuran Kraftangan Malaysia.

Menerusi semua keunikan itu, jelas sentuhan kreatif Benji dan Apa Art sering dinantikan saban waktu kerana idea diketengahkan sentiasa baharu dan koleksinya juga adalah terhad.

WARNA terang menyerlahkan lagi motif  yang ingin ditampilkan. FOTO Ihsan Apaart
WARNA terang menyerlahkan lagi motif yang ingin ditampilkan. FOTO Ihsan Apaart

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 6:30 AM