MENDAKI antara minat Mariati.
MENDAKI antara minat Mariati.
Nurul Husna Mahmud


RUTIN harian yang biasa buat pengasas Komuniti Charity Adventure Team (CAT) Mariati Tahir ialah bekerja pejabat.

Berlainan pula keadaannya setiap kali menjelang hujung minggu, aktiviti mengisi rehatnya berubah 360 darjah apabila bergelut dengan laluan mencabar selain perlu menaiki pacuan empat roda berjam-jam lamanya.

Istilah rehat rata-rata wanita di luar sana biasanya bersantai bersama keluarga atau bersiar-siar dengan kenalan, tetapi anak jati Teluk Intan, Perak ini memilih sesuatu yang berbeza dan mencabar.

Katanya ‘jiwa’ merintih mahu melakukan kerja kebajikan membuatkan dia tidak kisah dengan kepenatan setiap kali menyusuri laluan mendaki menuju ke perkampungan Orang Asli.

Malah sejak tahun 2006 lagi, Mariati sudah mula membabitkan diri dengan kerja kebajikan bersama komuniti lain seperti anak yatim, warga emas orang tua dan orang golongan kurang upaya. Kini dia memilih cabaran lebih sukar iaitu mendekati komuniti belantara iaitu Orang Asli.

ANAK-anak Orang Asli antara golongan yang menarik minat Mariati.
ANAK-anak Orang Asli antara golongan yang menarik minat Mariati.

“Sebenarnya untuk sampai ke tahap hari ini mula menyantuni mereka yang boleh ‘dicapai’ terlebih dahulu. Sebelum ini saya lebih kepada menyertai atau menyokong kerja komuniti membabitkan pertubuhan lain.

“Ketika menyantuni komuniti Orang Asli bersama kumpulan pacuan empat roda, banyak yang saya pelajari.

“Kehidupan mereka jauh di pedalaman dan hutan belantara membuatkan hasrat saya makin kuat untuk gerakkan kumpulan supaya bantuan benar-benar sampai atau diagihkan.

MEMIKUL bantuan untuk disampaikan kepada komuniti Orang Asli.
MEMIKUL bantuan untuk disampaikan kepada komuniti Orang Asli.

“Tidak semua pos Orang Asli boleh dihubungkan dengan pacuan empat roda, jadi sukarelawan kena berjalan sekurang-kurangnya satu hingga dua jam untuk sampai. Bermakna sukarelawan juga perlu benar-benar lasak dan mempunyai semangat yang tinggi.

“Bagaimanapun, segala penat mengharungi cabaran sepanjang dilalui hilang sekelip mata sebaik ketibaan kami diraikan komuniti itu. Hati juga tersentuh melihat anak-anak Orang Asli yang kurang bernasib baik berbanding anak-anak kita,” katanya.

JIKA tiada rutin dengan komuniti Orang Asli, masa diisi dengan memenuhi undangan majlis teman-teman.
JIKA tiada rutin dengan komuniti Orang Asli, masa diisi dengan memenuhi undangan majlis teman-teman.

Malah Mariati mengakui kekangan dana dan bilangan sukarelawan antara cabaran lain yang dihadapinya bagi menggerakkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat program setahun.

“Saya terpaksa meminta ihsan daripada kenalan dan mengeluarkan dana daripada poket sendiri bagi memastikan bantuan sampai selain objektif program dapat dicapai.

“Maklumlah kos untuk mendapatkan khidmat bantuan kenderaan pacuan empat roda dengan harga yang lebih murah mengikut kemampuan bukan mudah. Apatah lagi pemandu juga terpaksa menanggung risiko sendiri atas kerosakan kenderaan masing-masing,” katanya.

AKRAB dengan teman.
AKRAB dengan teman.

Ditanya mengenai kepuasan kata Mariati, jika sebelum ini hobi mendaki untuk menikmati pemandangan hijau, namun kali ini mendaki untuk beramal.

“Saya adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan satu-satunya perempuan. Kerisauan keluarga semestinya mereka bimbang sepanjang saya berada dalam hutan.

“Dulu memang untuk dapatkan keyakinan orang tua iaitu arwah bapa Tahir Uda dan ibu Siti Hamidah Saleh paling sukar. Tetapi saya sering bercerita keseronokan selain apa yang dipelajari daripada kerja kebajikan itu membuatkan mereka memberi restu dan sentiasa doakan keselamatan sepanjang perjalanan.

MENGGERAKKAN kumpulan pendaki untuk mendekati komuniti Orang Asli.
MENGGERAKKAN kumpulan pendaki untuk mendekati komuniti Orang Asli.

“Niat dan hasrat saya adalah untuk mendekati golongan itu bukan tujuan lain. Sebaliknya ia terapi dan mendidik diri menghayati rasa bersyukur kepada Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:00 AM