Hafiz Ithnin


BERHIJAB adalah tuntutan Islam untuk golongan hawa. Justeru persepsi hijab sukar untuk berfesyen dan tidak selesa untuk wanita bekerjaya adalah tidak tepat sama sekali.

Hakikatnya teknologi fabrik yang berkembang dari semasa ke semasa menjadikan ia selesa untuk dikenakan dan paling penting reka coraknya yang cantik sesuai dipakai oleh pelbagai golongan usia.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Malaysia antara negara yang terkedepan menghasilkan pelbagai koleksi tudung bukan sahaja kelihatan cantik untuk berfesyen malah pemilihan tekstil juga sesuai dengan cuaca di negara ini.

Berkesempatan menemui satu pemain industri hijab tempatan, Sirruhu Sdn Bhd (Sirruhu) yang melihat dunia fesyen berhijab sentiasa berkembang selari dengan gaya hidup wanita masa kini yang bekerjaya dan menguruskan keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zetty Rosli berkata, pemilihan tekstil berkualiti memainkan peranan penting untuk bertahan di dalam pasaran.

Katanya, penggunaan kain campuran poliester dan sifon dilihat adunan tekstil yang baik untuk pemakai berhadapan dengan cuaca di Malaysia yang panas dan hujan sepanjang tahun.

PENGGUNAAN fabrik tudung yang berkualiti menjanjikan keselesaan kepada pemakai. FOTO Mustaffa Kamal
PENGGUNAAN fabrik tudung yang berkualiti menjanjikan keselesaan kepada pemakai. FOTO Mustaffa Kamal

“Wanita masa kini tidak lagi berkira-kira untuk melabur kerana sehelai tudung yang pada mata orang lain ia sesuatu pembaziran kerana tudung yang dipakai bukan sejam dua tetapi kadangkala dari pagi hingga ke malam. Pastinya, keselesaan itu menjadi faktor daya beli yang utama.

“Selain itu, dari sudut pemakaian juga memainkan peranan penting kerana wanita masa kini mahukan sesuatu yang cepat dan mudah. Pastinya penggunaan tudung segera menjadi keutamaan pemain industri seperti kami untuk memasarkannya di dalam pasaran,” katanya.

Bagi penggunaan tudung segera kesesuaian getah yang dipasang pada lilitan muka memainkan peranan penting kerana ia menjadi struktur yang membantu tudung dipakai sentiasa terletak kemas meskipun sedang melakukan aktiviti lasak.

Selain itu, seni hiasan dan warna yang menata hias tekstil juga memainkan peranan penting kerana ia menjadi daya tarikan paling menonjol kepada pengguna. Memandangkan setiap penggunanya mempunyai cita rasa gaya dan warna hijab yang berbeza untuk disuai padan dengan situasi semasa.

Disebabkan itu, terdapat juga pemain industri tempatan yang mengeluarkan corak dan gaya tudung eksklusif atau dalam versi edisi terhad bagi memastikan corak hijab dikenakan pemakai tidak dipakai oleh orang lain.

Zetty berkata, melihat kepada dunia wanita masa kini yang turut gemarkan kepada nilai eksklusif pastinya pengeluaran corak dan tatahias yang diletakkan di atas fabrik memainkan peranan penting bagi syarikatnya.

TUDUNG dan fesyen dua elemen yang berjalan seiring. FOTO Mustaffa Kamal
TUDUNG dan fesyen dua elemen yang berjalan seiring. FOTO Mustaffa Kamal

“Kita lihat sahaja situasi pasaran masa kini ada wanita tempatan yang sanggup mengeluarkan ribuan ringgit demi sehelai tudung kerana bagi mereka yang tidak tahu kadangkala untuk menghasilkan sehelai tudung yang tampak eksklusif memerlukan proses kajian yang tersendiri.

“Aksesori bernilai tinggi di atas fabrik seperti batu hiasan asli jenama antarabangsa itu sendiri sudah mempunyai harga yang mahal. Apatah lagi jika digabungkan dengan kos mendapatkan fabrik terbaik dan reka bentuk eksklusif untuk menonjolkan kemewahan kepada si pemakai selain mampu menjanjikan rasa selesa,” katanya yang menjual tudung pada harga bermula RM99 hingga RM209 sehelai.

Meskipun gaya dan keselesaan tudung menjadi daya tarikan, namun syariat pemakaian tudung itu sendiri tidak boleh dinafikan kerana ia menjadi tiang utama pemakaian setiap helaian tudung yang dibeli.

Syarikat yang berkecimpung lebih 10 tahun dalam pasaran hijab tempatan itu turut mengakui tidak berkompromi dari segi aspek asas tudung itu sendiri iaitu mesti tidak mendedahkan aurat seorang wanita.

Katanya, labuh sehelai tudung amat mendapat perhatian si pemakainya. Disebabkan itu, setiap pemain industri sepertinya mengeluarkan pelbagai saiz labuh tudung bermula bidang 16 hingga 23.

“Labuh tudung penting kerana ia menutupi bahagian dada dan bentuk badan wanita. Jika tampak cantik sahaja tetapi asasnya tidak dijaga, pastinya sukar untuk dipasarkan,” katanya.

TUDUNG bukan sahaja perlu tampak cantik malah selesa untuk dipakai untuk jangka masa yang lama. FOTO Mustaffa Kamal
TUDUNG bukan sahaja perlu tampak cantik malah selesa untuk dipakai untuk jangka masa yang lama. FOTO Mustaffa Kamal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 7:00 AM