NOOR Hanani meluangkan masa di kebun miliknyadi hadapan rumah.
NOOR Hanani meluangkan masa di kebun miliknyadi hadapan rumah.
Siti Zarinah Sahib

BERTUGAS sebagai Penolong Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuatkan masa Noor Hanani Mohd Noor, 37, banyak tertumpu kepada hal pengurusan dan kewangan di pejabat.

Memiliki tiga cahaya mata yang harus diuruskan membuatkan Noor Hanani sering mengalami sakit kepala yang teruk selepas melahirkan anak ketiga.

“Sakit kepala yang berterusan amat membimbangkan saya. Selain rawatan di hospital saya turut mencari alternatif dengan memulakan aktiviti berkebun. Alhamdulillah sakit kepala hilang sikit demi sedikit dan sekarang tiada langsung selepas mula berkebun,” katanya.

Menurut wanita ini minat terhadap berkebun bermula pada tahun lalu sebaik habis berpantang. Sejak itu dia menjadikannya sebagai hobi dan cara untuk mengeluarkan peluh.

“Dalam keluarga, hanya saya yang cenderung dalam aktiviti ini. Buat permulaan semua peralatan saya beli di kedai dengan kos RM50. Kemudian saya mula menanam pokok bunga untuk menceriakan laman depan. Pokok yang mula-mula saya tanam ialah daisy yang dibeli di nurseri Sungai Buloh.

SUAMI bersama anak Noor Hanani turut membantu menyiram pokok.
SUAMI bersama anak Noor Hanani turut membantu menyiram pokok.

“Kebanyakan pokok yang dijual di nurseri berkenaan hampir keseluruhan berasal dari Cameron Highlands dan ramai yang mengatakan ia tidak akan bertahan dengan cuaca panas. Tapi, alhamdulillah pokok daisy yang saya tanam hidup subur,” katanya.

Selepas itu, Noor Hanani mula berjinak-jinak menanam ulam, sayur-sayuran dan buah-buahan. Benih dan anak pokok itu dibeli dari nurseri dan secara dalam talian.

Menurut Noor Hanani, dia sangat menitikberatkan penggunaan baja dan racun serangga. Bagi memastikan tanaman selamat dimakan Noor Hanani menggunakan baja tahi ayam yang diproses dalam bentuk palet dan baja ikan.

“Sebenarnya saya gemar bereksperimen menggunakan bahan-bahan di sekeliling saya. Saya gunakan daun semambu dicampur bawang putih dan minyak masak untuk racun serangga. Semua bahan ini dikisar dan ditapis sebelum disembur pada pokok. Sangat berkesan untuk mengelak

serangan ulat, belalang dan serangga perosak yang lain,” katanya.

Kini dalam tempoh setahun wanita ini sudah menanam hampir 60 jenis pokok terdiri daripada herba, ulam, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Walaupun menetap di kuarters tentera dengan kawasan yang terhad, Noor Hanani menggunakan pasu untuk setiap tanaman bagi menjimatkan ruang dan supaya nampak teratur dan kemas.

Menurut Noor Hanani, ada yang menyifatkan tangannya sejuk disebabkan pokoknya hidup subur. Namun dia menolak anggapan ini kerana merasakan istilah ini tidak boleh diguna pakai.

“Pokok mudah hidup sekiranya diberi penjagaan yang betul. Maknanya, pastikan cukup baja, air dan cahaya. Pembajaan dan penyiraman perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan semua tanaman hidup subur.

“Pemilihan media tanaman juga penting. Pastikan tanah yang digunakan jenis poros dan tidak menakung air bagi mengelakkan kulat dan akar tanaman rosak. Saya gunakan tanah sawit yang dicampur pasir dan tanah merah bakar yang dibeli daripada pembekal dan mudah didapati sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Kemudian bahan-bahan ini saya gaul sendiri sebelum digunakan,” jelasnya.

Aktiviti menyiram pula dilakukan setiap hari bergantung kepada cuaca. Jika cuaca panas, tanaman

hanya perlu disiram dua kali sehari sahaja.

“Memandangkan kami bekerja sepenuh masa, aktiviti menyiram kami lakukan pada sebelah petang iaitu selepas balik kerja. Untuk pembajaan, biasanya saya akan lakukan pada setiap hujung minggu.

“Seawal jam 7 pagi saya mula menggembur tanah dan membaja. Daun-daun pokok yang layu dan kering perlu dipotong dan dibuang. Selepas semuanya selesai pada jam 10 pagi, saya akan memberi tumpuan kepada kerja di dalam rumah pula,” katanya.

SEJUK mata memandang melihat kehijauan tumbuh-tumbuhan.
SEJUK mata memandang melihat kehijauan tumbuh-tumbuhan.

Noor Hanani bertuah kerana hobinya turut mendapat sokongan suami. Ada masanya suami membantu menyiram pokok serta membersihkan pasu tanaman. Suami juga banyak memberikan semangat kerana dia juga adalah penggemar ulam-ulaman kampung seperti putat, tenggek burung, serai kayu, lemak ketam dan cekur.

“Setiap kali menjamah hidangan, ulam menjadi kemestian kami. Pokok-pokok ini pula menjadi kesayangan kami kerana boleh menikmati ulam-ulaman segar pada bila-bila masa. Jika mahu makan, petik sahaja di hadapan rumah,” katanya.

Bagi Noor Hanani, selain menjimatkan kos, melihat kehijauan tumbuhan ditambah pokok yang tumbuh subur sangat mendamaikan. Pemandangan hijau itu memberikan tenaga positif kepadanya untuk meneruskan aktiviti seharian.

“Kadang-kadang rasa tidak sabar untuk pulang ke rumah semata-mata untuk melihat pokok. Inilah terapi bagi saya dan ia dapat merehatkan minda dan menyihatkan badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:05 AM