DR Panam (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Dr Suzana (dua dari kiri) selepas menandatangani perjanjian di antara Friesland Campina dan UKM.
DR Panam (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan Dr Suzana (dua dari kiri) selepas menandatangani perjanjian di antara Friesland Campina dan UKM.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


SUSU adalah sumber nutrisi penting dan paling lengkap untuk memenuhi keperluan seisi keluarga.

Pengambilan segelas susu setiap hari dapat membantu tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, sekali gus menguatkan tulang serta otot bagi orang dewasa.

Namun di Malaysia amalan minum susu masih jauh ketinggalan berbanding keperluan sepatutnya yang diambil bagi setiap individu.

Walaupun Kajian Nutrisi Asia Tenggara I (SEANUTS I) sudah selesai pada 2011, namun penyelidik utamanya percaya kanak-kanak Malaysia, masih terkesan dengan tabiat pemakanan kurang nutrisi.

Menurut Prof Dr Poh Bee Koon lagi, tinjauan lalu menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obes; hampir satu daripada 10 kanak-kanak terbantut dan satu dalam 20 kanak-kanak mempunyai masalah kurang berat badan.

“Dapatan kajian juga menunjukkan hampir separuh daripada kanak-kanak tidak mendapat Vitamin D dan kalsium yang mencukupi. Manakala sebahagian besar kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun tidak aktif secara fizikal.

“Lebih membimbangkan adalah penemuan yang menunjukkan secara purata kanak-kanak Malaysia hanya minum setengah hidangan susu setiap hari.

“Hanya lima peratus kanak-kanak minum dua hidangan susu setiap hari, iaitu jumlah yang disarankan untuk membantu mereka mendapatkan keperluan harian kalsium dan vitamin D,” katanya.

Dr Poh memperincikan perkara itu selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat induk Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad, FrieslandCampina dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi permulaan SEANUTS II.

SARAPAN PENTING

Jelas Dr Poh, sampai masanya masyarakat Malaysia mengambil kira kepentingan sarapan dalam menjalani rutin harian yang sihat.

“Dalam setiap hidangan sarapan perlu menyediakan 20 hingga 25 peratus keperluan pemakanan harian.

“Lazimnya, kanak-kanak dan remaja yang biasa makan sarapan lebih cenderung untuk memiliki pengambilan mikro serta makronutrien yang lebih baik. Mereka kurang kemungkinan mempunyai berat badan berlebihan atau obes, dan lebih cenderung mempunyai tahap aktiviti fizikal yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya tabiat minum susu sebagai sebahagian daripada amalan sarapan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan tahap nutrisi kanak-kanak Malaysia.

Dala pada itu, Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta berkata hasil tinjauan SEANUTS I banyak membawa pembaharuan dalam penghasilan produk tenusu keluaran syarikat itu.

“Kajian ini memberi ruang untuk pemain industri memahami keperluan untuk menangani jurang nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

“Ini termasuk peningkatan tahap vitamin D, keperluan mengurang atau tidak menggunakan sukrosa serta gula tambahan.

“Lebih dari itu, hasil kajian SEANUTS I juga berjaya diterjemahkan ke dalam program pemakanan dan gaya hidup sihat untuk kanak-kanak sekolah seperti DrinkMoveBeStrong, yang menggalakkan pengambilan dua gelas susu dan satu jam aktiviti fizikal sehari di bawah program anugerah sekolah kerajaan,” katanya.

Selain Tarang dan Dr Poh, majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof Dr Suzana Shahar; Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) UKM, Prof Dr Hidayatul Fathi Othman; Timbalan Dekan (Kajian and Inovasi) UKM, Prof Dr Siti Balkis Budin dan Pakar Utama Pembangunan Nutrisi Global, FrieslandCampina, merangkap Koordinator Program, SEANUTS I & II, Panam Parikh.

Tambah Panam, pihaknya gembira bekerjasama dengan UKM sekali lagi bagi SEANUTS II Malaysia.

“Edisi kedua kajian serantau ini membabitkan18,000 kanak-kanak termasuk 4,000 kanak-kanak dari Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:00 AM