RAMLEE@Bukit Bintang dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan.
RAMLEE@Bukit Bintang dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan.
Muhamaad Razis Ismail


Plenitude Berhad, syarikat pelaburan dalam pembangunan hartanah dan hospitaliti yakin bahawa pemulihan ekonomi domestik berterusan akan memberi manfaat kepada sektor hartanah serta hospitaliti.

Dalam kenyataan laporan kewangan bagi suku keempat yang berakhir pada 30 Jun lalu, Kumpulan Plenitude mengumumkan pendapatan berdaftar RM90.5 juta dan untung bersih RM10.5 juta berbanding pendapatan RM71.2 juta dan untung bersih RM7.5 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Bahagian pembangunan hartanah Plenitude menyumbangkan hasil lebih tinggi sebanyak RM70.3 juta untuk suku semasa, berbanding RM65.9 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bahagian hospitaliti mencatatkan pendapatan berjumlah RM19.4 juta bagi suku semasa iaitu peningkatan RM14.2 juta berbanding pendapatan RM5.3 juta pada suku yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.

Pertumbuhan setinggi 267 peratus ini berasaskan tempoh cuti hujung minggu yang panjang dan cuti umum pada Mei serta Jun lalu menyumbang kepada kenaikan kadar penghunian serta purata kadar harian untuk hotel Kumpulan Plenitude di Pulau Pinang dan Ipoh.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek perumahan baharu yang bakal dilancarkan Plenitude di Johor dan Kedah bagi tahun kewangan berakhir Jun tahun depan meraih nilai RM508.8 juta.

Plenitude bakal melancarkan fasa baharu di Taman Desa Tebrau dan membangunkan perbandaran baharu Impian Hills, Ulu Tiram, Johor yang berkembang pesat.

Di perbandaran pembangunan bercampur Taman Desa Tebrau, Plenitude bakal melancarkan 162 rumah teres 2 dan 2.5 tingkat (Cello 3B) dan 100 rumah kluster dua tingkat dan rumah berkembar (Harp 2C). GDV Cello 3B dan Harp 2C berjumlah RM148 juta serta RM133 juta setiap satu. Cello 3B dijangkakan dilancarkan pada Oktober ini.

Impian Hills pula adalah sebuah perbandaran pembangunan bercampur baharu yang dibangunkan atas tanah seluas 104.4 hektar. Fasa 1 (Magnolia) Impian Hills yang terdiri daripada 143 rumah teres dua tingkat dilancarkan pada Januari tahun depan dan Fasa 2 dengan 154 unit dilancarkan pada Mei tahun depan.

Plenitude juga membangunkan 52 banglo satu tingkat (Ramlee) dalam fasa pertama perbandaran pembangunan campuran baharu Bukit Bintang di Sungai Petani, Kedah. Keluasan perbandaran baharu itu seluas 168.7 hektar.

Ramlee@Bukit Bintang dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan. GDV Ramlee@Bukit Bintang dan Perbandaran Bukit Bintang masing-masing dianggarkan berjumlah RM36 juta dan RM1.5 bilion.

DOMITYS Bangsar direka bentuk untuk memenuhi keperluan warga emas .
DOMITYS Bangsar direka bentuk untuk memenuhi keperluan warga emas .

Di bawah bahagian hospitaliti, Kumpulan Plenitude turut memperkenalkan Domitys, sebuah jenama dari Eropah yang berpengalaman lebih daripada 24 tahun sebagai pembekal terkemuka dalam kemudahan kediaman yang membantu warga emas hidup berdikari dalam persekitaran yang selesa dan selamat.

Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Plenitude, Elsie Chua berkata, Domitys Bangsar Kuala Lumpur ialah rumah warga emas pertama yang dibuka di Asia di bawah jenama Domitys.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Domitys untuk menyediakan perkhidmatan ini di Kuala Lumpur.

"Warga emas yang berdikari akan berasa selesa untuk tinggal di Domitys Bangsar kerana kami mereka bentuk rumah dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka, termasuk aktiviti yang dirancang, perkhidmatan pengemasan, makanan, senaman serta program kesihatan," katanya.

Plenitude melabur RM15 juta untuk melaksanakan pengubahsuaian reka bentuk lengkap pangsapuri dan rumah kelabnya. Rumah kelab ini menyediakan kemudahan dewan makan dan aktiviti, ruang istirahat, salun kecantikan, bilik multimedia dan bilik fisioterapi.

Manakala setiap pangsapuri pula dinaik taraf untuk menawarkan WiFi berkelajuan tinggi dan dilengkapi televisyen skrin rata serta ruang dapur di semua unit, selain kemudahan bilik mandi yang mesra warga emas. Domitys Bangsar dijangka dibuka untuk penginapan bermula Oktober ini.

Plenitude juga melabur RM136 juta dalam pembangunan Travelodge Honmachi Osaka, Jepun yang dijadualkan dibuka untuk perniagaan pada 28 September lalu sebagai sebahagian daripada pelan memperluaskan perniagaannya.

Travelodge Honmachi Osaka yang terletak di pusat bandar Osaka dan berhampiran dengan pengangkutan awam menawarkan 138 bilik dalam bangunan 14 tingkat.

Pengunjung boleh ke kawasan tarikan pelancong seperti Istana Osaka, hab makanan di Jalan Dotonbori, Pasar Kuromon Ichiba, Akuarium Kaiyukan Osaka yang dihubungkan oleh perkhidmatan kereta api bawah tanah yang berhampiran.

Sebagai pemain industri utama, Plenitude berusaha melaksanakan inisiatif yang bermanfaat kepada masyarakat dan memenuhi trend perumahan masa hadapan. Antara rangkaian hotel Plenitude merangkumi jenama hospitaliti antarabangsa AccorHotels, The Ascott Limited, Oakwood Worldwide dan Travelodge Hotels Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 6:13 AM