RAMAI pihak miliki tanggapan salah kerana anggap masa sesuai miliki rumah adalah selepas berumah tangga.
RAMAI pihak miliki tanggapan salah kerana anggap masa sesuai miliki rumah adalah selepas berumah tangga.
Nurul Husna Mahmud


MASIH ramai yang tidak memiliki hartanah sendiri meskipun pada usia lewat 30-an.

Itu yang dikongsi Perunding Hartanah Iqi Realty Petaling Jaya, Mohd Fairul Maharam, 34, mengenai pembeli rumah pertama.

Kata Mohd Fairul, dianggarkan kira-kira tujuh daripada 10 individu yang berusia 35 tahun ke atas datang berjumpanya untuk pembelian rumah pertama, mengakui tidak memiliki aset hartanah atau kediaman sendiri kerana kurang arif mengenai keperluan itu.

"Faktor usia bakal pembeli juga tidak kurang penting kerana ia berkait dengan tempoh pinjaman sekali gus mempengaruhi jumlah ansuran bulanan perlu dilunaskan pemilik.

"Saya sendiri terdorong menjadi perunding atau ejen hartanah berdaftar atas kesedaran ingin membantu kenalan yang rata-rata berusia pertengahan dan lewat 30-an masih tidak mempunyai hartanah kerana tidak ada kesedaran untuk memilikinya.

"Tidak kurang juga ada kelompok pembeli rumah berpendirian selepas berkahwin barulah sesuai membeli rumah. Sedangkan pada usia berkenaan komitmen sudah tinggi menyebabkan kesukaran mendapatkan aset terbabit," katanya.

Kata Mohd Fairul, sebilangan orang termasuklah dirinya dahulu pernah memikirkan perancangan membeli rumah hanyalah selepas berkahwin.

"Tidak dinafikan 'mindset' saya juga seperti mereka apabila berkahwin barulah membeli rumah. Sedangkan bagi hartanah, seawal usia bekerja sewajarnya sudah menyasarkan pembelian bagi tujuan pelaburan.

"Jika terlalu lewat merancang untuk pembelian rumah pertama, dikhuatiri pilihan menjadi terhad. Selain itu ada kemungkinan pembeli hartanah pertama tidak dapat menaik taraf kediaman mereka.

"Biasalah orang mahu kediaman lebih selesa pada peringkat usia lebih lanjut. Tetapi jika pembelian terlalu lewat dan sudah memiliki komitmen tinggi termasuklah tanggungan dan hutang lain, sukar untuk mereka membeli hartanah yang lebih baik.

"Saya melihat hartanah pertama sebagai prospek pelaburan dan wajar dimiliki pada usia seawal bekerja. Jika pada usia pertengahan 30-an mereka boleh merancang untuk aset kedua atau naik taraf hartanah untuk tinggal bersama keluarga," katanya.

Beliau juga yang pemilik rumah pertama jenis apartmen dibeli pada 2018 berkata, bakal pemilik rumah pertama perlu mencari ilmu selain merujuk kepada individu berpengalaman terutama perunding atau ejen hartanah berdaftar. Ia bagi mengelakkan permasalahan akibat pembelian kediaman tidak sesuai dengan keperluan mereka.

MOHD Fairul mahu lebih ramai memiliki aset hartanah pertama pada usia yang muda.
MOHD Fairul mahu lebih ramai memiliki aset hartanah pertama pada usia yang muda.

"Saya melihat aspek penting dalam membeli rumah adalah merujuk pada ejen berdaftar. Elak menggunakan khidmat broker haram atau status ejen diragui.

"Selain itu pembeli hartanah perlu ada pengetahuan asas mengenai pasaran hartanah termasuklah kategori hartanah. Mereka dapat memahami kelebihan dan kekurangan berdasarkan kategori.

"Sebagai contoh untuk pasaran kediaman sekunder (subsale), ramai pembeli pertama berdepan masalah perundangan seperti tidak boleh pindah milik, status 'master title' dan banyak lagi.

"Mereka perlu kenal pasti risiko untuk pasaran hartanah tertnetu selain rajin menjalankan pemeriksaan latar belakang hartanah yang ingin dibeli. Tidak hanya bergantung kepada maklumat ejen atau perunding semata-mata," katanya.

Selain itu saranan Mohd Hairul, bagi golongan muda sudah bekerja letakkan fokus merancang memiliki kediaman termasuklah menabung.

"Awal bekerja sudah kena rancang kewangan iaitu seboleh-bolehnya ketepikan duit untuk rumah iaitu anggarkan simpanan 65 peratus untuk komitmen bulanan. Ini membantu mendisiplinkan diri terutama apabila bersedia membuat komitmen pembelian rumah nanti," katanya.

Tip lain, perunding hartanah itu juga menyarankan supaya meninjau projek perumahan mampu milik atau inisiatif kerajaan bagi mendapatkan hartahan sesuai dengan kemampuan.

"Saya sendiri ambil inisiatif untuk tinjau projek kerajaan atau negeri kerana ada rebat atau harga memenuhi kemampuan rakyat. Pada saya untuk dapat tawaran baik kena rajin meninjau dan melawat projek perumahan bawah inisiatif kerajaan negeri.

"Malah saya sendiri membeli hartanah Rumah Selangorku di Puchong. Meskipun syarat termasuklah urusan untuk mendapatkan rumah ini rumit tetapi ia berbaloi untuk pemilik rumah pertama.

"Lokasi strategik dikelilingi pelbagai fasiliti selain memiliki tiga bilik dan dua bilik air sesuai untuk mereka yang berkeluarga, harga ditawarkan sangat berpatutan sesuai dengan bajet serta komitmen saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:00 AM