MEMERIKSA keadaan rumah busuk di Rawang, Selangor.
MEMERIKSA keadaan rumah busuk di Rawang, Selangor.
Muhamaad Razis Ismail


Keadaan rumah terbiar yang dipenuhi dengan semak samun, sampah sarap dan kerosakan yang teruk boleh membuatkan sesiapa sahaja berfikir puluhan kali untuk membelinya.

Biarpun ditawarkan harga murah, pembeli masih perlu mempunyai modal yang besar bukan sahaja untuk deposit rumah itu, malah perlu menanggung kos kerja pembaikan dan pengubahsuaian yang berkemungkinan lebih tinggi.

Kediaman yang turut dikenali sebagai 'rumah busuk' ini terbiar dalam satu tempoh lama mengundang keresahan jiran apabila ia menjadi lokasi pembiakan haiwan seperti ular, tikus, nyamuk dan sebagainya selain mencacatkan pemandangan.

Malah rumah terbiar ini juga sering dikaitkan dengan perkara mistik dan jenayah sehingga ia tidak berpenghuni sejak sekian lama.

Bagaimanapun, bagi Mohd Safuan Abdul Rahman yang berkecimpung dalam bidang hartanah sejak 12 tahun lalu melihat 'rumah busuk' ini sebagai lubuk rezeki kepada dirinya.

Sehingga kini puluhan rumah terbiar sudah dibeli dan dijual semula selepas dibaiki serta diubah suai di seluruh Malaysia.

Malah perkongsiannya berkenaan rumah busuk di media sosial turut pernah tular apabila mendapat tiga juta tontonan.

Mohd Safuan berkata, dia mula terbabit dalam bidang hartanah sejak 2010 sebagai ejen hartanah lelong dan perunding hartanah.

Kemudian dari situ dia melihat rumah terbiar ini memiliki potensi dalam bidang hartanah.

"Saya bermula daripada sekadar hobi dengan membeli rumah terbiar melalui lelongan awam atau beli terus dari pemiliknya.

"Rumah yang dibeli ini dibaiki dan diubah suai sebelum dijual semula pada harga yang bersesuaian.

"Melihat permintaan tinggi terhadap rumah seperti ini, saya mula serius mencari rumah busuk sehingga hari ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, rumah terbiar ini tidak menjadi pilihan kerana pembeli berdepan kekangan daripada segi modal.

"Selain perlu menyediakan 10 peratus deposit dan yuran guaman (lima peratus), kos membaiki dan mengubah suai yang boleh mencecah RM30,000 hingga RM70,000 perlu dipertimbangkan.

"Pada masa sama, kebanyakan bank tidak meletakkan harga pasaran yang tinggi atau menyediakan pinjaman untuk rumah terbiar berikutan keadaannya.

RUMAH yang sudah dibaiki dan diubah suai.
RUMAH yang sudah dibaiki dan diubah suai.

"Apabila harga pasaran rendah dan pemilik inginkan harga yang tinggi, pembeli perlu menggunakan wang sendiri dalam jumlah yang lebih banyak," katanya.

Mohd Safuan berkata, proses mencari rumah terbiar ini biasanya dilakukan bersama pasukannya sama ada melalui rondaan dan maklumat daripada orang ramai.

"Apabila rumah ditemui, kami akan mengesan pemilik kediaman untuk berbincang lanjut.

"Jika tiada masalah, rumah terbabit dibeli sebelum kerja pembaikan dan pengubahsuaian dijalankan kontraktor yang dilantik," katanya.

Jelasnya, kelebihan rumah yang diperbaharui ini, ia mendapat permintaan tinggi kerana harga yang ditawarkan lebih rendah daripada rumah baharu.

"Sebagai contoh, harga pasaran rumah baharu di sesebuah kawasan mencecah RM400,000 hingga RM500,000, namun rumah yang sudah dibaiki dan diubah suai dijual sekitar RM370,000 ke RM380,000.

"Biarpun rumah lama, pemilik seolah-olah memiliki rumah baharu yang sudah siap dibaiki dan diubah suai tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan," katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang terbabit dalam bidang ini, dia pernah membeli sebuah rumah terbakar yang terbiar di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Untuk pembaikan dan pengubahsuaian, kami keluarkan kos sehingga RM100,000. Pada masa sama, kami perlu dapatkan kelulusan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebab rumah ini mempunyai rekod kebakaran.

"Alhamdulillah selepas siap sepenuhnya, rumah itu terjual," katanya.

Katanya, melihat potensi besar 'rumah busuk' ini, dia ingin lebih serius mengembangkan kariernya dalam bidang hartanah.

"Sejujurnya, ia bukan bermatlamatkan kewangan semata-mata sebaliknya ia lebih kepada kepuasan apabila dapat menyelamatkan rumah terbiar dan mengembalikan fungsi rumah itu untuk didiami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:00 AM