DIIKTIRAF sebagai ‘Malaysia’s Highest Residential Sky Bridge’ oleh Malaysia Book of Records (MBOR)
DIIKTIRAF sebagai ‘Malaysia’s Highest Residential Sky Bridge’ oleh Malaysia Book of Records (MBOR)
Muhamaad Razis Ismail


MEMILIKI kediaman di sekitar Lembah Klang terutama Kuala Lumpur dan Selangor pada harga mampu milik antara perkara yang hampir mustahil untuk dilakukan.

Lokasi strategik dan ruang terhad berikutan kepadatan penduduk yang tinggi menjadi antara faktor harganya boleh mencecah jutaan ringgit.

Mohd Faisal Muahaiyidin, 38, antara individu yang bertuah apabila berjaya membeli kediaman pertamanya di Setapak, Kuala Lumpur.

Kondominium Sky Awani III dengan berkeluasan 800 kaki persegi ini dibeli pada RM300,000 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Uniknya, kediaman ini memiliki 22 kemudahan bertaraf kondominium termasuk 'Sky Bridge Rooftop' yang diiktiraf sebagai 'Malaysia's Highest Residential Sky Bridge' oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Lebih menarik, penghuni dapat menikmati keindahan pandangan 360 darjah berlatar belakangkan keindahan kota metropolitan Kuala Lumpur.

Guru di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur itu berkata, sebelum ini dia tinggal di rumah kakaknya di Selayang, Selangor sejak lima tahun lalu sebaik berpindah dari Sarawak untuk bertugas di ibu kota.

"Sebenarnya, rumah yang saya tinggal sekarang sudah selesa dan jarak ke sekolah tidaklah terlalu jauh.

"Bagaimanapun, saya perlu keluar dari rumah seawal 6.20 pagi kerana perlu menempuh kesesakan jalan raya yang agak teruk," katanya.

Menurutnya, perancangan untuk memiliki kediaman sendiri sudah lama dibuat namun masih perlu menunggu masa yang sesuai.

DILENGKAPI kemudahan kolam renang
DILENGKAPI kemudahan kolam renang

"Saya bercadang membeli rumah apabila kewangan stabil termasuk menyelesaikan pinjaman kereta yang digunakan sekarang. Alhamdulillah kereta saya sudah habis dibayar pada bulan sama saya menerima kunci rumah.

"Jadi saya perlukan suatu kaedah untuk mengawal kewangan supaya disalurkan kepada perkara yang lebih mendatangkan faedah antaranya memiliki kediaman sendiri," katanya.

Katanya, perkara yang mendorongnya membuat keputusan memiliki kediaman sendiri ialah keinginan mengumpul aset ditambah usia yang semakin meningkat.

"Sebelum membeli kediaman, beberapa kriteria yang diambil kira termasuk harga bersesuaian dengan tahap kewangan, jarak ke tempat kerja dan juga kemudahan yang ditawarkan pemaju," katanya.

Mohd Faisal berkata, proses membeli rumah yang dikategorikan sebagai Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bermula pada Oktober 2018.

KEMUDAHAN gimnasium untuk penghuni
KEMUDAHAN gimnasium untuk penghuni

"Rumah ini ditawarkan kepada mereka yang bekerja di Kuala Lumpur. Oleh itu, pada peringkat awal saya menyediakan beberapa dokumen yang perlu diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan kelulusan.

"Kemudian proses diteruskan seperti biasa iaitu berhubung dengan pemaju, memohon pinjaman perumahan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan diakhiri dengan prosedur bersama peguam yang dilantik pihak pemaju," katanya.

Jelasnya, pada awal pembelian hanya tinggal unit yang terletak di tingkat atas.

Mohd Faisal Muahaiyidin
Mohd Faisal Muahaiyidin

"Namun rezeki memihak kepada saya apabila ejen menyatakan terdapat unit berada di tingkat yang 'baik' berikutan pinjaman pembeli terdahulu tidak diluluskan. Saya tidak mengambil masa lama dan terus buat keputusan untuk memiliki kediaman itu," katanya.

 KEDIAMAN berlatar belakangkan keindahan kota metropolitan Kuala Lumpur
KEDIAMAN berlatar belakangkan keindahan kota metropolitan Kuala Lumpur

Katanya, buat masa sekarang, dia masih belum berpindah ke kediaman barunya itu kerana masih dalam proses pemeriksaan kerosakan dan kecacatan oleh pemaju yang mengambil masa selama sebulan.

"Kemudian saya ingin membuat pengubahsuaian secara berperingkat mengikut keperluan. Perkara terawal yang akan dilakukan adalah memasang kabinet dapur, lampu, kipas, pendingin hawa dan langsir," katanya.

Secara keseluruhan, dia bersyukur kerana pembelian kediaman pertama ini adalah sangat berbaloi kerana terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

"Bagi saya jarak dari tempat kerja ke rumah sangat penting. Perjalanan dari rumah ke sekolah, hanya mengambil masa selama 15 minit berbanding sebelum ini.

"Selain itu, harga yang ditawarkan agak berpatutan berbanding rumah lain yang mempunyai kemudahan dan saiz sama," katanya.

BAHAGIAN ‘rooftop’ turut menyediakan ruang riadah
BAHAGIAN ‘rooftop’ turut menyediakan ruang riadah

Akuinya, pembelian rumah menuntut disiplin pengurusan kewangan yang tinggi kerana bayaran bulanan bermula selepas 28 bulan menandatangani perjanjian jual beli (SPA) biarpun rumah masih belum siap sepenuhnya.

"Oleh itu, saya cuba hadkan pembelian dan aktiviti melancong ke luar negara untuk menambah wang simpanan.

"Alhamdulillah nasib juga kewangan saya sudah stabil berikutan sudah 12 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 7:00 AM