RUMAH pangsapuri perkhidmatan memiliki syarat berbeza dengan kediaman lain.
RUMAH pangsapuri perkhidmatan memiliki syarat berbeza dengan kediaman lain.
Nurul Husna Mahmud


MEMILIKI geran bagi lot tanah yang kosong tidak semestinya 'lesen besar' bagi pembinaan sebarang struktur atau bangunan meskipun membabitkan satu unit kediaman saja.

Terdapat beberapa perkara perlu diteliti mengenai lot tanah berdasarkan geran yang disimpan atau dimiliki pemilik.

Penting untuk pemilik hartanah memahami maklumat seperti status pemilikan, jenis pegangan selain semua syarat dan sekatan yang perlu dipatuhi.

Namun situasi semasa, masih ramai pemilik hartanah tidak begitu cakna mengenai status dan syarat hartanah sedangkan kedua-dua perkara ini mewakili perkara terpenting dalam usaha memaju atau membangunkan hartanah di lot tanah dimiliki.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bharu, Dr Siti Radiaton Adawiyah Zakaria, ramai menyalah gunakan tanah apabila mengenepikan syarat yang tertera dalam geran.

"Secara perundangan, terdapat tiga kategori penggunaan tanah iaitu pertanian, bangunan dan perindustrian.

GERAN hartanah perlu diteliti.
GERAN hartanah perlu diteliti.

"Setiap kategori ini kemudiannya tertakluk kepada syarat nyata dikenakan Pihak Berkuasa Negeri yang boleh dirujuk di dalam hak milik (geran) dan syarat tersirat yang boleh dirujuk di dalam Kanun Tanah Negara.

"Misalnya, untuk tanah pertanian, pemilik tanah hendaklah menggunakan tanah berkenaan bagi tujuan pertanian dan melarang mendirikan apa jua bangunan selain bangunan untuk kediaman pemilik atau pun pekerja.

"Maksud lain yang dinyatakan dalam subseksyen 4 di bawah seksyen 115 Kanun Tanah Negara tetapi hanya tertakluk kepada satu perlima keluasan tanah itu atau pun dua hektar," katanya yang merujuk kepada status kediaman dalam sektor tanah pertanian.

Tambah pakar itu, syarat nyata berbeza mengikut sasaran penggunaan pemilik antaranya tanah bangunan jenis kediaman iaitu tempat tinggal, tanah bangunan jenis komersial seperti kedai, mahupun tanah bangunan jenis institusi iaitu tempat pengajian.

"Walaupun kategori tanah adalah di bawah kategori penggunaan tanah yang sama iaitu bangunan, setiap maksud penggunaan adalah berlainan mengikut syarat tertera.

KENALPASTI zon tertentu membantu perancangan pemilik mahu dirikan bangunan atau mengusahakannya.
KENALPASTI zon tertentu membantu perancangan pemilik mahu dirikan bangunan atau mengusahakannya.

"Ia bermaksud nilai cukai tanah yang berlainan sama ada komersial atau persendirian. Bagi kategori penggunaan tanah perindustrian hendaklah digunakan untuk kegunaan perindustrian sahaja," katanya.

Jika diperincikan penggunaan setiap kategori berdasarkan Kanun Tanah Negara, kata Siti Radiaton Adawiyah, setiap satunya ada tempoh had memulakan penggunaan hartanah.

"Setiap kategori tanah juga ada had tempoh tertentu bagi memastikan pemilik mengusahakan dan mendirikan struktur.

"Sebagai contoh bagi kategori penggunaan tanah bangunan, ia perlu dilaksanakan dalam tempoh masa dua tahun dan juga diselenggara dengan baik berterusan. Jika tidak dijaga atau diselenggara dengan baik pemilik berdepan risiko didenda atau berkemungkinan tanah itu dirampas," katanya.

Meskipun syarat dinyatakan jelas dalam geran, tidak semua pemilik mengambil tahu sehinggalah mereka berdepan isu tertentu berkait dengan tanah dimiliki.

"Tidak dapat disangkal ramai yang ambil mudah syarat penggunaan tanah kerana tidak mendapat maklumat terperinci iaitu aktiviti dibenarkan ataupun tidak dalam lot tanah terbabit yang hanya diketahui jika pemilik membaca Kanun Tanah Negara.

STATUS dan syarat tanah perlu jelas sebelum pemilik dirikan bangunan.
STATUS dan syarat tanah perlu jelas sebelum pemilik dirikan bangunan.

"Ada juga mengambil kesempatan mendirikan bangunan komersial pada tanah syarat atau terma bangunan kediaman sahaja bagi mengelak cukai tinggi. Namun tindakan itu merisikokan kemungkinan didenda atau dirobohkan bergantung kepada tindakan pihak berkuasa.

"Tetapi berbeza dengan pembangunan pangsapuri perkhidmatan yang pada mata kasarnya seperti kediaman namun ia diletakkan di bawah bangunan jenis komersial kerana konsep pangsapuri terbabit berlainan dengan jenis kediaman lain.

"Syarat boleh ditukar status bergantung kepada keadaan tanah dan pembangunan sekeliling yang membolehkan ia ditukar dan tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Kemungkinan yang mana ada dalam keadaan status tanah komersial sekeliling tidak membolehkan kediaman didirikan di antara kawasan terbabit," katanya.

Sebelum pemilik membuat penukaran kategori atau syarat penggunaan tanah, beliau menyarankan langkah berikut diambil bagi memastikan tiada pelanggaran syarat berlaku:

TANAH pertanian mensyaratkan pembinaan bangunan kediaman hanya terhad untuk pekerja dan pemilik.
TANAH pertanian mensyaratkan pembinaan bangunan kediaman hanya terhad untuk pekerja dan pemilik.

1. Mengenalpasti sekatan kepentingan yang diletakkan di dalam hak milik (geran) menghalang daripada penukaran syarat berlaku.

- Contohnya tertera klausa atau terma di dalam geran iaitu 'Tanah ini tidak boleh ditukar kategori/syarat tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri'

- Jika terdapat sekatan ini. Pemilik mestilah mendapatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu.

2.Kenal pasti zon lingkungan kawasan atau 'zoning' tanah terbabit.

- Supaya jenis pembangunan yang hendak dilakukan sesuai dengan zoning yang ditetapkan walaupun kadang kala kategori tanah yang diletakkan adalah pertanian dan pemilik merancang mendirikan bengkel atau kilang. Penukaran kategori dari pertanian kepada perindustrian masih tidak boleh dilakukan kerana zoning berlainan.

Prosedur penukaran syarat

I.Isi borang permohonan yang lengkap ditandatangani

II.Kemukakan permohonan di Pejabat Daerah dan Tanah ataupun Pejabat Tanah dan Galian di kawasan tanah terbabit.

III.Maklumat yang diperlukan - Salinan hak milik, pelan tapak dan lokasi, cadangan pembangunan dan dokumen sokongan lain yang diperlukan (kajian kemungkinan. Laporan nilaian).

IV. Jelaskan caj atau yuran permohonan dikenakan mengikut kategori atau syarat tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 6:30 AM