PROSES pindah masuk hanya mengambil masa sebulan.
PROSES pindah masuk hanya mengambil masa sebulan.
Nurul Husna Mahmud


PERANCANGAN guru kelahiran Kuala Rompin, Pahang ini adalah untuk membina kediaman pertama di kampung berbanding membeli rumah ditawarkan pemaju.

Bagaimanapun hasrat Shuhana Salleh, 41, itu tidak kesampaian apabila dia ditukarkan ke sekolah pedalaman di bandar Muadzam Shah, Rompin pada Mac lalu.

Beliau akhirnya membuat keputusan membeli unit kediaman jenis teres setingkat di bandar berkenaan.

Kata Shuhana, urusan pembelian sehinggalah proses berpindah ke kediaman yang memiliki keluasan sekitar 153 meter persegi itu di sebuah taman perumahan baru hanya mengambil masa sebulan atas budi bicara pemaju.

"Memang saya dan suami merancang menetap di Kuala Rompin kerana kami berasal dari sana. Ibu dan ibu mentua tinggal berdekatan menyebabkan saya serta suami, Mohd Norazli Abd Ghani, 41, merancang membina rumah dengan hasil simpanan.

SHUHANA melihat keperluan membeli kediaman pertama di kawasan bandar untuk kemudahan anak-anak ke sekolah.
SHUHANA melihat keperluan membeli kediaman pertama di kawasan bandar untuk kemudahan anak-anak ke sekolah.

"Namun apabila pemohonan berpindah diterima ketika sesi persekolahan dibuka Mac lalu, saya dan keluarga sebelum ini menyewa di Puchong, Selangor terpaksa mencari tempat tinggal segera di bandar Muadzam.

"Cabaran bagi pekan kecil di daerah Rompin, ini ialah kebanyakan rumah di bandar ini dihuni dan diduduki pemilik asal. Rumah untuk sewa boleh dihitung menyebabkan saya menemui jalan buntu ketika mencari kediaman sesuai untuk keluarga," katanya.

Apatah lagi ketika itu mendekati bulan puasa, memaksa dia dan suami mengelilingi satu bandar untuk pencarian rumah sewa sehinggalah menemui satu kawasan taman perumahan baru.

"Kebetulan ketika mencari kediaman untuk disewa, saya terpandang iklan ejen taman perumahan itu dan mencuba nasib termasuklah bertanyakan rumah kosong serta sedia diduduki dalam tempoh sebulan.

"Cadangan ejen supaya saya buat surat kepada pemaju untuk duduki segera kerana terdapat dua unit masih tidak terjual kerana pembiayaan pembeli sebelumnya tidak diluluskan bank.

TREK rekreasi selesa untuk beriadah bagi penghuni setempat.
TREK rekreasi selesa untuk beriadah bagi penghuni setempat.

"Saya lihat unit rumah itu dengan suami dan terus buat keputusan untuk beli. Hasil rundingan dengan pemaju, saya dibenarkan berpindah awal April iaitu ketika bulan puasa dengan syarat 'unik' iaitu perlu membayar ansuran untuk tiga bulan sementara proses pembiayaan pembelian rumah diluluskan.

"Pihak pemaju juga sudah menyelidik latar belakang terutama kemampuan saya untuk membeli kediaman terbabit pada nilai RM254,000. Syarikat perumahan memaklumkan proses kelulusan untuk bank mengambil masa tiga bulan iaitu dijangka selesai pada Julai nanti," katanya.

Keputusan 'ad-hoc' yang dilakukan Shuhana dalam pembelian hartanah terbabit tidak membuatkan dia kesal sebaliknya rasa bersyukur kerana lokasi kediaman itu strategik iaitu berada dalam kawasan bandar selain dikelilingi pelbagai kemudahan termasuk dekat dengan sekolah.

"Sebenarnya keputusan untuk membeli rumah secara mengejut itu tidak membuatkan saya dan suami kesal kerana kedudukan begitu dekat dengan kawasan tumpuan bandar.

"Paling penting ialah sekolah anak-anak kerana urusan perpindahan menyebabkan pelajaran anak tertangguh selama sebulan. Saya yang mengajar pedalaman memang ditawarkan kuarters.

"Tetapi terpaksa tinggal di luar kerana memikirkan fasiliti terhad terutama tiada akses internet selain jarak sekolah yang jauh jika menetap di kawasan itu. Kalau ada tempat tinggal di kawasan bandar, saya memandu jauh iaitu mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke sekolah dan ia tiada masalah berbanding perjalanan itu dilalui anak-anak ke sekolah.

"Kemudahan lain ialah hospital dan bandar hanya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk sampai. Jarak dengan kampung juga dekat iaitu 30 minit sahaja.

"Jika ada kecemasan, saya boleh tiba dengan cepat ke rumah orang tua begitu juga sebaliknya. Andai anak-anak perlukan bantuan daripada ahli keluarga di kampung, mereka juga boleh tiba pada kadar segera,"katanya.

Pada masa sama, fasiliti disediakan pemaju termasuklah surau dan padang serta trek rekreasi yang terdapat betul-betul di hadapan rumahnya.

"Rumah saya beli ini juga mempunyai pandangan yang menarik kerana menghadap pemandangan semula jadi. Kalau sebelah pagi boleh lihat pemandangan berkabus di depan bukit selain memiliki taman di depan rumah. Tampak lebih luas.

"Berbanding rumah yang saya sewa sebelum ini menghadap rumah orang lain. Jadi agak terhad visual yang indah untuk dinikmati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 6:16 AM