ANTARA objek yang diletak di parkir.
ANTARA objek yang diletak di parkir.
Muhamaad Razis Ismail

Isu 'cop' parking sering kali berlaku di kebanyakan kawasan termasuk perumahan dan lot kedai. Malah di pusat beli-belah juga budaya ini menjadi satu trend yang kurang sihat.

Ia dilakukan individu tertentu dengan meletakkan sesuatu 'tanda' atau objek seperti kon, tong gas atau botol di petak parkir yang kosong.

Baru-baru ini isu ini kembali tular di media sosial apabila kon diletakkan di petak parkir di sebuah kawasan perumahan sehingga mengundang kemarahan warga net.

Isu ini seperti tiada kesudahan terutama di kawasan perumahan yang memiliki jumlah penduduk yang tinggi sehingga tidak dapat menampung parkir yang disediakan.

Terdapat segelintir penduduk meletakkan tanda kononnya dia adalah pemilik kekal petak parkir terbabit.

Malah ada yang tanpa segan silu membina garaj berbumbung.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Nurul Nadiah Zainol berkata, trend 'cop' parking ini sering berlaku di kawasan perumahan yang mempunyai jumlah petak parkir terhad dan tiada halangan untuk orang luar keluar dan masuk di kawasan perumahan.

 DR Nurul Nadiah
DR Nurul Nadiah

"Sesetengah penduduk yang tidak bertanggungjawab ini meletakkan objek seperti ampaian, pasu bunga, tong besar, kon dan lain-lain di petak parkir yang mereka ingin gunakan bagi mengelakkan orang lain meletakkan kenderaan di petak parkir itu.

"Masalah ini berlaku berikutan penduduk perlu berebut dengan orang luar yang bebas keluar masuk untuk meletakkan kenderaan di kawasan itu kerana ia bukan tempat letak kereta berpalang dan tiada pengawal keselamatan," katanya.

Mengulas lanjut, banyak perkongsian di media sosial dan akhbar di mana isu 'cop' parking ini mendatangkan kemarahan orang awam dan tidak mustahil berlaku pergaduhan dalam kalangan penduduk dan masyarakat.

"Ada segelintir penduduk yang tidak berpuas hati juga akan bertindak merosakkan kenderaan dan mengancam keselamatan kenderaan dan penduduk lain. Ini dapat menggugat keharmonian dan kesejahteraan penduduk," katanya.

PIHAK berkuasa mengalihkan objek di parkir awam.
PIHAK berkuasa mengalihkan objek di parkir awam.

Beliau berkata, segelintir masyarakat masih lagi kurang sedar dengan hak dan limitasi sebagai pengguna harta bendaa atau hak milik awam.

"Mereka beranggapan bahawa 'cop' parking bukan menjadi satu kesalahan kerana mereka adalah penduduk atau pemilik unit di kawasan perumahan itu.

"Walaupun mereka adalah pemilik unit rumah di kawasan itu, sekiranya harga rumah yang dibeli tidak termasuk dengan petak parkir (atau juga dikenali sebagai petak aksesori), mereka tiada hak untuk menjadikan mana-mana petak parkir sebagai hak milik, dan mereka juga tidak boleh menghalang orang lain untuk meletakkan kenderaan di petak itu.

Katanya, keadaan ini sering berlaku di kawasan perumahan bertingkat yang lama kerana pembelian unit rumah tidak termasuk petak parkir seperti kebanyakan perumahan bertingkat yang baharu.

"Kebanyakan unit perumahan bertingkat atau strata pada masa kini akan dijual bersama dengan petak aksesori (petak parkir) di mana unit rumah dan petak aksesori tidak boleh dibeli atau dijual secara berasingan.

"Setiap petak parkir itu mempunyai pemilik kecuali petak parkir untuk pelawat," katanya.

’COP’ parkir adalah satu kesalahan.
’COP’ parkir adalah satu kesalahan.

Menurutnya, budaya cop parking ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.

"Individu yang sengaja 'cop' parking ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pen

gangkutan Jalan 1987," katanya.

Jelasnya, masalah ini boleh diatasi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu kerap membuat pemantauan di kawasan tempat letak kereta awam terutamanya di kawasan perumahan yang padat dengan penduduk.

"Pembangunan tempat letak kereta bertingkat di kawasan lapang yang terdekat (sekiranya ada) juga perlu dipertimbangkan," katanya.

TEMPAT letak kereta bertingkat di kawasan lapang yang terdekat (sekiranya ada) juga perlu dipertimbangkan.
TEMPAT letak kereta bertingkat di kawasan lapang yang terdekat (sekiranya ada) juga perlu dipertimbangkan.

Selain itu, antara strategi yang boleh dijalankan adalah dengan menggunakan kaedah pintu masuk berpalang dengan syarat semua penduduk bersetuju untuk membayar caj perkhidmatan bagi membayar pengawal dan penyelenggaraan.

"Untuk permulaan, persatuan penduduk boleh memperkenalkan penggunaan pelekat kenderaan untuk membolehkan kenderaan di parkir di kawasan perumahan.

"Satu unit rumah akan mendapat satu pelekat secara percuma. Sekiranya memerlukan lebih daripada satu pelekat, bayaran akan dikenakan.

"Apabila keadaan semakin terkawal, badan pengurusan yang ditubuhkan boleh membuat permohonan komuniti berpagar kepada PBT mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Pengurusan Bandar dan Desa untuk menjadikan kawasan perumahan mempunyai palang dan pondok pengawal," katanya.

Dr Nurul Nadiah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab bagi mengelakkan isu 'cop' parking ini menjadi semakin berleluasa.

"Kesedaran dan didikan kepada masyarakat perlu diperluaskan supaya mereka tahu tanggungjawab, hak dan limitasi mereka dalam menggunakan harta benda atau hak milik awam.

"Masyarakat juga perlu tahu saluran yang betul untuk membuat aduan berkenaan dengan isu ini supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 7:00 AM