DIREKA bentuk sedia menerima kelengkapan panel solar.
DIREKA bentuk sedia menerima kelengkapan panel solar.
Hafiz Ithnin


Dalam satu lagi perluasan portfolio produk yang berasaskan kemampanan, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia melancarkan fasa terakhir Aspira Gardens dengan kadar tempahan sebanyak 75 peratus sebelum bermulanya acara pelancarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, sambutan hangat terhadap fasa dua tatkala penularan pandemik Covid-19 membuktikan penerimaan pasaran dan populariti produk dari siri Aspira di Iskandar Puteri, Johor, di mana fasa-fasa terdahulu habis dijual sejak pelancarannya pada Disember 2019.

Jelasnya, terletak di perbandaran hijau Gerbang Nusajaya yang bakal menyusul, dengan hanya 118 unit rumah kluster dua tingkat berstrata dan rumah berkembar berstrata, Aspira Gardens adalah pembangunan kediaman berdensiti rendah pertama di Johor.

"Ia direka bentuk untuk sedia menerima kelengkapan panel solar (solar-ready) di unit kediaman dan menggunakan lampu jalan berkuasa solar.

MENAWARKAN persekitaran riadah yang menarik.
MENAWARKAN persekitaran riadah yang menarik.

"Malah pembangunan pegangan bebas premium itu berorientasikan konsep kediaman untuk keluarga pelbagai generasi, selain direka untuk kehidupan pintar dan selamat," katanya.

Fasa dua Aspira Gardens yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM107 juta dijangka akan disiapkan pada suku pertama 2025.

Harga jualan bermula dari RM763,000 dan keluasan binaan bermula daripada 2,608 kaki persegi yang merangkumi 4+1 bilik tidur dan lima bilik air.

Katanya, Aspira Gardens direka dengan teliti dan dilengkapi dengan ruang yang luas dan selesa. Bilik tidur di tingkat bawah disediakan dengan ciri-ciri mesra warga emas seperti pintu bilik tidur bukaan yang lebih luas dan bilik mandi 'en suite.'

"Tingkat bawahnya juga dilengkapi dengan lantai tanjakan untuk kemudahan mereka yang berkerusi roda.

Berpandukan momentum kami untuk membina produk yang relevan dan dekat dengan kepelbagaian keperluan pemilik rumah di Johor ketika ini.

"Kami berbesar hati dengan maklum balas positif berterusan daripada pelanggan terhadap produk terbaru syarikat walaupun ketika pandemik Covid-19 masih belum reda sepenuhnya dan suasana pasaran yang lemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:18 AM