TAMAN permainan untuk aktiviti riadah penghuni.
TAMAN permainan untuk aktiviti riadah penghuni.
Muhamaad Razis Ismail


Pada mulanya, dia sekadar mencuba nasib membuat permohonan pinjaman bank untuk membeli sebuah rumah apartmen di Rawang, Selangor.

Sebagai penanggung tunggal keluarga, Nor Azizah Abd Majid, 34, tidak meletakkan harapan tinggi bahawa pinjamannya diluluskan.

Bagaimanapun, ibu tiga cahaya mata ini mendapat perkhabaran gembira apabila dia dimaklumkan layak menerima pinjaman bank pada Disember tahun lalu.

Nor Azizah yang juga pembantu makmal sekolah menerima kunci pada 29 Mac lalu dan kini rumahnya dalam proses pengubahsuaian yang dijangka siap dalam masa terdekat.

Sebelum ini dia tinggal bersama ibunya, Rafiah Muhd, 74, di Bukit Beruntung.

Katanya, setiap hari dia perlu berulang-alik ke tempat kerja sejauh kira-kira 45 kilometer bersama seorang anaknya yang turut belajar di sekolah sama.

"Kemudian saya mengambil keputusan untuk menyewa di sebuah apartmen di Bukit Rawang Putra yang hanya mengambil masa 15 minit ke tempat kerja.

"Baharu sahaja berpindah, seorang rakan mengajak saya meninjau rumah jenis apartmen lima tingkat yang ingin dijual di kawasan berhampiran.

"Saya difahamkan sebelum ini rumah itu adalah kuarters untuk kakitangan sebuah majlis perbandaran yang sudah diubah suai untuk dijual.

RUANG yang luas dan selesa.
RUANG yang luas dan selesa.

"Rumah ini ditawarkan pada RM270,000 dan pembeli mendapat rebat RM14,000," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, pada pandangan pertama, dia terus tertarik dengan rumah yang terletak di tingkat tiga itu kerana masih cantik dan berada di lokasi yang agak strategik.

"Lokasinya terletak berhampiran tempat kerja. Jadi, lebih selamat saya berulang-alik selain dapat menjimatkan kos minyak kereta.

"Kawasannya juga tenang dan nyaman kerana dekat dengan alam sekitar," katanya.

Jelasnya, selepas berfikir secara mendalam, dia membuat keputusan untuk mencuba nasib membuat permohonan pinjaman bank.

"Saya tidak meletakkan keyakinan tinggi kerana dengan gaji dan tanggungan sedia ada, peluangnya agak tipis.

"Namun, perancangan Allah mengatasi segalanya, apabila pinjaman diluluskan. Saya bersyukur kerana urusan dipermudahkan untuk memiliki rumah pertama," katanya.

KEMUDAHAN dapur yang disediakan pemaju.
KEMUDAHAN dapur yang disediakan pemaju.

Katanya, antara sebab utama sehingga mendorongnya membulatkan tekad untuk membeli rumah terbabit adalah ibunya.

"Saya berhasrat untuk membawa ibu tinggal bersama di rumah ini selepas proses pengubahsuaian siap sepenuhnya kelak. Kemudahan lif yang disediakan memudahkan ibu naik ke rumah tanpa perlu menggunakan tangga

"Selain itu, anak-anak juga adalah kekuatan saya supaya kami boleh duduk bersama di rumah ini," katanya.

Nor Azizah berkata, selepas memiliki rumah sendiri, dia perlu lebih teliti dalam setiap perbelanjaannya.

"Keputusan membeli rumah ini bukan mudah kerana menuntut komitmen tinggi. Cuma saya terfikir sampai bila menyewa.

"Apa yang penting adalah perancangan kewangan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:30 AM