PROJEK pembangunan komersial terbaharu daripada IJM Land, Suria Square.
PROJEK pembangunan komersial terbaharu daripada IJM Land, Suria Square.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DALAM bidang perniagaan, peningkatan jumlah pelanggan dan populasi pelanggan adalah penting bagi menjana permintaan yang diperlukan untuk barangan serta perkhidmatan.

Justeru, faktor lokasi urus niaga adalah penting kerana orang ramai memerlukan akses mudah dan gaya hidup yang tidak merumitkan.

Mengambil kira semua keperluan itu, IJM Land membangunkan Suria Square sebagai pusat komersial utama dan pembangunan kejiranan yang mantap di Bandar Alam Suria, Puncak Alam, Selangor.

Sebagai perintis pembangunan bandar, pemaju itu bertanggungjawab membentuk dan membangunkan Puncak Alam sejak dua dekad lalu.

Pertambahan populasi, peningkatan jumlah pelanggan dan kawasan kejiranan yang berkembang adalah bukti kepakaran serta pengalaman syarikat berkenaan sebagai pemaju yang memenangi pelbagai anugerah.

Projek pembangunan komersial itu akan menjadi pemangkin kepada kemajuan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan selain menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan untuk penduduk berdekatan.

Kelebihan itu pasti akan menjadi daya penarik untuk masyarakat berhijrah ke kawasan berkenaan, sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Ia bakal mengikut jejak langkah fasa sebelum ini, Dataran Suria iaitu harga yang meningkat dengan nilai menakjubkan iaitu sehingga 100 peratus.

Setakat ini, pejabat kedai komersial juga meningkat daripada RM400,000 kepada RM800,000 dan pembangunan dalam perbandaran matang itu memiliki semua kualiti komponen komersial yang boleh dicontohi.

Kajian menunjukkan anggaran jumlah penduduk di kawasan itu adalah seramai 28,000 orang dan jumlah itu dijangka terus meningkat kepada 60,000 orang pada masa akan datang.

Malah, pembangunan terbabit turut mempunyai akses mudah ke Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Penduduk juga berpeluang menikmati hidangan, membeli-belah dan bekerja dalam persekitaran yang menyegarkan.

Ia seiring dengan projek pembangunan itu yang berkisar persekitaran hidup sihat dan diterapkan mengikut tiga nilai murni iaitu komuniti, hubungan dan kemudahan.

Berorientasikan utara-selatan, lot kedai mengambil sedikit haba daripada matahari dan proses penyejukan dipertingkatkan dengan gabungan pengudaraan.

PERBANDARAN Bandar Alam Suria yang serba lengkap di Bandar Puncak Alam kini berkembang maju.
PERBANDARAN Bandar Alam Suria yang serba lengkap di Bandar Puncak Alam kini berkembang maju.

Tingkap besar di tingkat pertama menghasilkan pencahayaan semula jadi sambil membenarkan paparan yang lebih baik.

Elemen hijau lain termasuk tangki pengumpulan air hujan dan lampu jalan LED yang memenuhi jalan raya.

Semua itu bertujuan untuk meminimumkan penggunaan elektrik, sekali gus menurunkan pengeluaran karbon.

Untuk membawa mesej kelestarian, Suria Square juga direka dengan seni landskap hijau yang dihiasi dengan pepohon rimbun, menunjukkan komitmen syarikat pemaju itu untuk melangkaui bangunan iklan kepada bangunan komuniti.

Dalam pada itu, intipati pembangunan hebat memerlukan pelbagai aspek, contohnya penciptaan ruang yang bijak dengan mengambil kira pergerakan rakyat.

Untuk tujuan ini, syarikat terbabit membina laluan jalan yang lebih luas bagi pengalaman pemanduan yang lebih lancar.

Di lot kedai pula, tempat letak kereta yang luas juga disediakan kepada orang ramai, ia secara tidak langsung menjadikan proses mencari tempat meletakkan kenderaan lebih mudah dan lancar.

Selain itu, kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU) juga diwujudkan bagi memastikan persekitaran yang lebih inklusif.

Bagi kemudahan orang ramai, laluan pejalan kaki dengan menggunakan konkrit 1.4 meter dan koridor selebar lapan kaki turut dibina untuk tujuan memudahkan pergerakan.

Projek pembangunan komersial itu terdiri daripada 115 unit pejabat kedai dua tingkat di atas tanah seluas kira-kira 7.49 hektar.

Keluasan binaannya adalah seluas 3,047 hingga 4,922 kaki persegi dan dijual pada harga bermula dari RM806,000.

Sementara itu, perbandaran Bandar Alam Suria yang serba lengkap terletak di Bandar Puncak Alam itu kini berkembang maju dan turut menawarkan pelbagai kemudahan kepada penduduk.

Berkeluasan 1,163 ekar (470.6 hektar) pembangunan mampan bersepadu itu terdiri daripada komposisi ideal elemen kediaman dan komersial, sedang direka untuk menyediakan keperluan hidup holistik penduduk.

Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah, kedai, bank dan hab komersial dengan dataran bandar berlandskap.

Bandar Alam Suria turut mendapat faedah yang besar daripada kemudahan yang sedia ada seperti Masjid Puncak Alam, Hospital UiTM, Lotus's, Econsave, KIP Mall dan Jaya Grocer.

Selain itu, terdapat kemudahan pendidikan termasuk UiTM Kampus Puncak Alam yang menjadi institusi pengajian tinggi terulung di Malaysia.

Jika ingin memiliki rumah di perbandaran unik itu, ia sudah pun dilancarkan pada Mac lalu dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM105 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 6:30 AM