RUMAH teres yang dibeli dari hasil berniaga.
RUMAH teres yang dibeli dari hasil berniaga.
Muhamaad Razis Ismail


MEMILIKI rumah sendiri pasti berada antara impian yang ingin dicapai dalam hidup.

Ada yang menjadi impian ini sebagai pendorong untuk bekerja lebih kuat bagi menjadikannya sebagai kenyataan.

Namun seperti diketahui ramai, untuk memiliki rumah sendiri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk kewangan, lokasi, komitmen bulanan dan sebagainya.

Situasi ini dilalui sendiri peniaga restoran, Nafisah Salleh, 36, dan suami, Mohamad Alief Mohamad Derus, 36, yang berdepan pelbagai cabaran sebelum memiliki rumah pertama.

Sebelum itu, mereka pernah berdepan pengalaman terpaksa keluar daripada rumah yang disewa kerana pemilik ingin menjual kediaman berkenaan.

Nafisah berkata, ketika itu dia menyewa rumah teres bersama ibu bapanya dengan sewa bulanan RM700 sebulan.

"Bagaimanapun, kemudian kami terpaksa keluar apabila pemiliknya berhasrat untuk menjual rumah itu. Kami tiada pilihan dan terpaksa akur dengan mencari rumah lain.

"Pada mulanya, pemilik rumah menawarkan untuk menjual kepada kami, namun terpaksa ditolak kerana tidak berkemampuan," katanya ketika dihubungi.

MOHAMAD Alief di hadapan rumahnya.
MOHAMAD Alief di hadapan rumahnya.

Menurutnya, bertitik tolak daripada situ, dia dan suami mula menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri.

"Ketika menyewa rumah lain, kami mula berniaga burger dan nasi lemak di tepi jalan dengan hasil jualan RM120 sehari. Hari demi hari ia mendapat sambutan menggalakkan apabila mencapai jualan RM1,200 sehari.

"Namun perniagaan itu terpaksa dihentikan demi menjaga ibu yang sakit dan memberi tumpuan kepada anak yang masih kecil.

"Selepas itu, kami kembali dengan perniagaan katering dan membuka restoran sehingga sekarang," katanya.

Jelasnya, apabila perniagaan semakin berkembang, dia melantik sebuah syarikat perunding untuk menguruskan aliran kewangan supaya teratur dan sistematik untuk menyakinkan bank bagi meluluskan pinjaman pembelian rumah.

"Apabila keadaan menjadi semakin baik, saya dan suami buat keputusan untuk membeli rumah pertama jenis teres berkeluasan 2,100 kaki persegi Bandar Tasik Puteri Garden Height, Selangor. Alhamdulillah bank meluluskan permohonan pinjaman kami untuk membeli rumah itu.

PEMBELIAN berbaloi kerana terletak berhampiran pelbagai kemudahan.
PEMBELIAN berbaloi kerana terletak berhampiran pelbagai kemudahan.

"Sekarang saya masih tinggal di rumah sewa sehingga proses ubah suai kediaman selesai," katanya.

Nafisah berkata, dia tertarik untuk membeli rumah itu kerana terletak berhampiran kedai makan miliknya, sekali gus memudahkannya berulang-alik selain menjimatkan kos.

"Pada masa sama, terdapat pelbagai kemudahan termasuk sekolah dan akses lebuh raya," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Nafisah akui menyimpan hasrat untuk membeli sebuah rumah kedai untuk pelaburan jangka panjang.

Kongsinya, individu yang berhasrat memiliki rumah pertama perlu membuat perancangan rapi dengan kewangan sedia ada.

"Beli rumah mengikut kemampuan dan jangan terlalu terikut-ikut trend.

"Bagi usahawan kecil, pastikan aliran kewangan sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ia penting untuk kelulusan pinjaman bank dan pastikan perniagaan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 6:30 AM