KEMUDAHAN
KEMUDAHAN
Muhamaad Razis Ismail


Bermula sekadar mencuci mata dengan melihat jualan rumah di Internet, siapa sangka pasangan suami isteri ini berubah fikiran untuk memiliki kediaman pertama.

Pada ketika itu, Siti Nor Adibah Baharudin, 29, dan suaminya, Mohd Miqdad Zakaria, 31, tidak bercadang untuk membeli rumah dalam masa terdekat kerana masih mempunyai komitmen lain.

Bagaimanapun, selepas meneliti iklan jualan apartmen lima tingkat di Rawang, Selangor yang memenuhi kriteria diiinginkan, mereka tertarik untuk melihat sendiri rumah contoh.

Siti Nor Adibah berkata, apabila melihat rumah contoh, mereka terus jatuh cinta dan membuat keputusan untuk membeli kediaman itu.

"Tak sangka tiba-tiba kami akhirnya buat keputusan untuk membeli kediaman itu kerana tertarik dengan kawasan berkenaan yang strategik dengan harga mampu milik.

"Kemudian kami terus berjumpa pemaju untuk membuat bayaran tempahan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BEBAS menghias kediaman
BEBAS menghias kediaman

Katanya, proses permohonan pinjaman untuk rumah ini dibuat pada November tahun lalu dan lulus dengan mudah.

"Saya bersyukur kerana urusan pembelian rumah berjalan sangat lancar tanpa berdepan sebarang masalah.

"Kami beli kediaman berkeluasan 898 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air pada RM248,000. Keluasan rumah yang sederhana amat sesuai untuk keluarga kecil kami.

"Sepatutnya kunci rumah diserahkan pada Mac lalu, tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami menerima kunci rumah pada Mei lalu," katanya.

Jelasnya, kemudian, mereka mula membeli kelengkapan dan membuat sedikit pengubahsuaian rumah.

"Saya akui kos untuk pengubahsuaian agak tinggi. Mujurlah kami sudah membuat persiapan awal dengan menyediakan duit simpanan untuk proses ini.

"Memandangkan saiz rumah sederhana, kami hanya membuat pengubahsuaian di bahagian tertentu sahaja dengan mengutamakan keselesaan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, mereka sekeluarga tinggal di kuarters perguruan di Sg Choh, Rawang dengan kadar sewa yang murah selama hampir tiga tahun.

"Suami pula bekerja sebagai juruteknik di Brickfields, Kuala Lumpur. Biarpun perlu berulang-alik agak jauh tapi suami tidak kisah asalkan saya tinggal berhampiran dengan sekolah, tempat saya mengajar.

SITI Nor Adibah
SITI Nor Adibah

"Sebenarnya dalam tempoh itu, kami ada juga mencari rumah sewa lain namun harganya agak mahal," katanya.

Katanya, dia tertarik untuk membeli kediaman ini kerana lokasinya terletak di kawasan yang tenang kerana dikelilingi dengan pokok besar dan bukit-bukau.

"Biarpun lokasinya agak tersorok, sebenarnya ia sangat dekat dengan bandar Rawang dan kemudahan lain seperti hospital, sekolah, stesen kereta api dan pejabat pos.

"Selain itu, pemaju turut menyediakan kemudahan lif, pengawal keselamatan dan setiap penghuni diberi kad akses.

"Rumah ini turut dilengkapi dengan kabinet dapur, pendingin hawa dan pemanas air sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan untuk pengubah suaian," katanya.

Siti Nor Adibah berkata, tidak dinafikan membeli rumah memerlukan pengurusan kewangan yang sangat teliti.

"Walaupun saya dan suami mempunyai pekerjaan tetap, namun kami turut berniaga untuk menambah pendapatan," katanya.

Beliau menasihatkan bakal pembeli rumah, supaya membuat keputusan mengikut kemampuan diri tanpa terlalu mengikut trend.

"Nak beli rumah bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara perlu diambil kira termasuk komitmen dan perbelanjaan keluarga.

"Jika kewangan belum stabil, mungkin boleh cuba cari pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 7:00 AM