MOHAMAD Aizul Faiz  amat mementingkan pengurusan kewangan dalam memiliki rumah.
MOHAMAD Aizul Faiz amat mementingkan pengurusan kewangan dalam memiliki rumah.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


BAGI lelaki berusia 27 tahun ini, meletakkan matlamat untuk memiliki rumah sendiri adalah kunci dalam mengumpul dan menguruskan aliran tunai.

Malah, bagi usahawan teknologi ini juga, kerja keras dan tidak boros dalam berbelanja adalah amalan yang boleh dilakukan untuk mengumpul wang.

Ternyata, strategi si pemilik nama Mohamad Aizul Faiz Zainal Abidin berhasil apabila dalam tempoh sekitar tiga tahun dia mampu mengumpul RM200,000 untuk membina rumah sendiri.

Meskipun, rumahnya tidak terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, tetapi aset itu menjadi lokasi 'penenang' untuk keluarga kecilnya.

Katanya, dia baharu 'mendirikan' rumahnya pada awal tahun ini di Bukit Beruntung, Selangor. Dia juga mendapat rezeki terpijak kerana kediaman itu adalah sebuah rumah terbengkalai yang berusia 20 tahun.

"Rumah ini dahulunya dibeli bapa mentua saya, tetapi akhirnya terbengkalai begitu sahaja.

"Sehingga pada awal tahun ini, segala proses itu dapat diselesaikan termasuk dokumen pindah milik dan saya perlu mengeluarkan kos pembinaan semula yang berjumlah RM200,000," katanya.

Katanya, dalam tempoh enam bulan rumah sekitar 2,500 kaki persegi dengan keluasan tanah keseluruhan 5,300 kaki persegi miliknya mampu disiapkan mengikut jadual.

RUMAH Mohamad Aizul Faiz yang mempunyai konsep ringkas dan moden.
RUMAH Mohamad Aizul Faiz yang mempunyai konsep ringkas dan moden.

"Membangunkan rumah sendiri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran yang perlu saya hadapi antaranya ialah apabila kita tidak mempunyai pengalaman dan perlu membuat banyak bacaan serta merujuk kepada orang yang lebih berpengalaman mengenainya.

"Selain itu, pemilihan kontraktor adalah perkara paling penting kerana saya tidak mahu berlaku pembaziran apabila idea yang diinginkan tidak dapat dizahirkan walaupun pada peringkat awal pihak kontraktor faham mengenainya," katanya.

Mohamad Aizul Faiz berkata, pengurusan kewangan sebelum dan ketika proses membangunkan rumah itu adalah elemen penting supaya tidak berlaku kekurangan wang.

"Saya praktikkan jika rumah saya menelan kos pembangunan kasar RM200,000, di dalam simpanan sebaik-baiknya mempunyai wang kecemasan yang mencukupi.

"Tidak dinafikan, walaupun pada awalnya kita berbincang dengan kontraktor dengan harga yang dipersetujui, tetapi kelak bakal ada penambahan kos lain disebabkan kemungkinan berlaku kesilapan mana-mana pihak dalam menzahirkan idea yang diinginkan," katanya.

RUANG tamu yang luas.
RUANG tamu yang luas.

Ketika ditanya mengenai lokasi rumahnya, Mohamad Aizul Faiz berkata, dia begitu gembira dengan kedudukan kediaman pertama miliknya kerana tidak terletak di kawasan yang sibuk.

"Saya gemarkan keadaan yang tenang terutama dekat dengan alam semula jadi. Di belakang rumah sahaja ada anak sungai yang bersih untuk aktiviti rekreasi.

"Untuk ke Kuala Lumpur juga tidak begitu jauh kerana ambil masa sekitar 30 atau 45 minit sahaja pemanduan. Malah, saya sudah terbiasa duduk di kawasan ini, jadi tiada rasa terlalu jauh untuk ke pusat bandar," katanya.

Tambahnya, sebelum dia membangunkan rumah itu dia juga menitikberatkan mengenai persekitaran kejiranan.

"Di kawasan ini, banyak rumah yang sudah dibangunkan dan mempunyai penduduk. Jadi, mengenai keselamatan saya tidak begitu bimbang jika tiada di rumah.

"Selain itu, kemudahan lain seperti pusat komersial juga berada dekat dengan kawasan ini memudahkan untuk saya membeli barangan keperluan dan akses ke labuh raya juga mudah," katanya.

Nasihatnya, untuk pembeli rumah pertama kedudukan kewangan adalah perkara paling penting dan cara pengurusan juga tidak boleh diketepikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:00 AM